NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Friday 28 June 2013

Sihir Dan Kaitannya Dengan Kehidupan


Sihir adalah perkara nyata yang terkeluar dari agama Islam kerana Rasulullah s.a.w.  mengkufurkan ahli-ahli sihir walaupun sihir digunakan untuk tujuan kebaikan dan kemaslahatan. Larangan tersebut adalah muktamad.

Oleh itu; ingatlah, ambil ingatan dan tindakan segera bahawa:- 

1.Sihir tidak dapat memudarat seseorang kecuali dengan izin Allah s.w.t.. 

2.Orang yang mengamalkan sihir sebenarnya telah memudaratkan diri mereka sendiri tanpa disedari. 

3.Apabila mereka mengikuti jalan syaitan, bermakna mereka telah mengarahkan diri ke jalan kekufuran dan ia mengundang laknat. 

4.Antara jalan  syaitan adalah sihir kerana tujuannya adalah untuk memporak-perandahkan keluarga dan masyarakat sedangkan perkara tersebut amat dimurkai. 

5.Kepada ahli sihir dan mereka yang bersekongkol dengannya, sedarlah! 

6.Jika kamu tidak sedar, kemudaratan dan masalah akan menimpa kamu semua. 

7.Oleh itu bertaubatlah. Sebelum musibah bala berlaku.


Sabda Nabi s.a.w., maksudnya:

“Sesiapa yang mendatangi sihir atau bomoh lalu dia mempercayai kata-kata mereka, maka sesungguhnya dia telah mengkufuri apa yang telah diturunkan kepada Muhammad s.a.w.” (H.R.  Bazzar dar Ibnu Mas’ud r.a.)

"Sesiapa yang mengambil ilmu daripada ilmu ramalan (nujum), maka ia telah terjerumus ke dalam kategori sihir.” (H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Ibnu Abbas r.a.)

“Tidak akan masuk syurga para penagih arak, orang yang mempercayai sihir dan orang yang memutuskan silaturrahim.” (H.R.Ibnu Hibban daripada Abu Musa Al-Asy’ari r.a.)

Sihir adalah sesuatu mentera yang diucap, dilafaz, dihembus  atau diletakkan pada suatu tempat dengan tujuan supaya orang di sihir itu akan berubah tindakannya daripada sedia ada kepada ikut naluri penyihir bagi maksud mengkhayal atau mengelirukan dan memecahbelahkan manusia. Penyihiran itu bagi mengalih perhatian daripada perkara realiti kepada khayalan supaya kekeliruaan menjadi nyata.

Firman Allah s.w.t.:

A102

A103

“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.” (Q.S. al-Baqarah: 102-103)

Bagi mereka yang telah di sihir tidak dapat membezakan antara hakikat dan sihir kerana mereka dalam keadaan mamai dan tidak dapat menguruskan diri; berlebih-lebihan dalam tindakan, bertindak diluar sifat kebiasaan, mudah terlalai, tanggungjawab diabai disebabkan mereka dikhayalkan oleh sihir tersebut.

Ahli sihir pula walau bagaimanapun kuatnya sihir mereka tetap tidak boleh mengubah ketetapan yang telah ditentukan di Lauh Mahfuzh lagi. Tidak boleh mengubah qada dan qadar. Tidak boleh mengubah pertukaran siang dan malam. Tidak boleh mengubah petukaran masa hari-hari silih berganti.

Kefahaman hanya diperolehi dengan usaha gigih dan pemikiran jernih agar cahaya ilmu pengetahuan memenuhi seluruh kalbu dan sesuatu ilmu, fakta diingini, jawapan dan penyelesaiannya dicapai melalui kebenaran.

Perlu diingatkan bahawa golongan zalim-orang zalim, menganiayai orang, berwirid kedustaan, menyebarkan fitnah, meuar-uarkan kepalsuan, agen pemusnah, perosak kedamaian, ligat dalam mengadu-domba, tamak dan mereka akan menerima balasannya.

Bila?

Masa akan menentukan balasannya kerana ia akan berlaku dalam pelbagai kaedah dan keadaan, amat malang bagi mereka jika kesedaran tidak berlaku sehingga nyawa dihujung halkum. Kita mesti ingat bahawa bergantinya musim akan berlakulah sesuatu perubahan.
  











Sila layari pautan berikut: http://ms.wikipedia.org/wiki/Sihir
                                         http://id.wikipedia.org/wiki/Lauh_Mahfuzh

Monday 24 June 2013

Program 'Retreat' Jam'iyah



Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (Jam'iyah) telah mengadakan program penilaian semula berkaitan program-program yang sedang dan yang akan dilaksanakan serta merangka program baru yang bersesuaian dengan keupayaan dan kemampuan Jam'iyah untuk tempoh yang akan datang. Satu plan tindakan telah disediakan dan dibincangkan dalam penilaian tersebut. 

Barangkali perkataan 'retreat' dalam program itu bukan bermaksud pengunduran atau berundur tetapi lebih membawa maksud mencari ketenangan dan penyelesaian. Dalam konteks ini mungkin boleh dinamakan sebagai 'Program Mencari Ketenangan Jam'iyah'. 

Semoga dalam tempoh Jawatankuasa Jam'iyah sesi 2013-2015 akan terhasil suatu yang boleh meningkatkan Jam'iyah dan ahli-ahli ke persada mardatillah. 






Jerebu Datang



A041


"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Q.S. Ar-Ruum: 41)
  
Jun 2013 Malaysia telah dilanda jerebu akibat aktiviti pembakaran. Dalam tempoh yang sama pergerakan angin agak perlahan. Jerebu tersebut adalah salah satu bala yang tempiasnya kepada kita yang liat memahami tentang keagungan Allah s.w.t.  Berlakunya jerebu itu barangkali sebagai isyarat bahawa sesuatu bala boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga. Kita memohon kepada Allah s.w.t. supaya tempias tersebut berlalu tanpa meninggalkan kesan buruk.





















                             http://ms.wikipedia.org/wiki/Jerebu_Asia_Tenggara_2013

Sunday 23 June 2013

Penyakit: Menimpa Diri atau Jiwa



Penyakit atau sakit disebabkan oleh dua perkara:

Pertama: Ada sesuatu yang menimpa badan seseorang.

Kedua: Ada sesuatu menimpa jiwanya.


Firman Allah s.w.t.: 


A010


“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Q.S. al-Baqarah: 10)


A031


“Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.” (Q.S. al-Muddaththir:31)


A048
A049
A050


“Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).

Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya).

(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).” (Q.S. an-Nuur:48-50)


A061


“Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara kamu yang lelaki, atau di rumah saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya, atau di rumah sahabat kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya), supaya kamu memahaminya.” (Q.S. an-Nuur:61)


Dalam keadaan atau kaedah perubatan, tiga perkara mestilah dipatuhi, iaitu: 

Pertama: Memelihara kesihat.

Kedua: Mencegah dari segala yang merosakkan.

Ketiga: Mengeluarkan zat-zat yang rosak.


A184



“(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Q.S. al-Baqarah:184)



A196


“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).” (Q.S. al-Baqarah: 196)


A043


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (Q.S. an-Nisaa':43 )

Dialog Antara Tabib Dengan Pesakitnya


Berlaku dialog antara seorang tabib dengan pesakitnya, Qutbah Umair Mubasysyir yang bertanyakan tentang masalah kesihatan. Tabib yang tawaduk itu secara spontan telah memberikan jawapan yang cukup berkesan. Pesakitnya dengan rasa syukur berharap semoga semua nasihat daripada tabib tersebut dapat direalisasikan dalam kehidupannya.

"Tuan Dr., apakah yang menyebabkan kita sakit?"


"Sakit disebabkan ada sesuatu yang menimpa badan seseorang dan  menimpa jiwanya. Kedua-dua perkara tersebut dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 10, surah al-Muddaththir ayat 31 dan surah an-Nuur ayat 48-50 dan 61 dan banyak lagi termasuk juga daripada hadith Nabi s.a.w. dan pengamal-pengamal perubatan"

"Dalam keadaan atau kaedah perubatan, tiga perkara mestilah dipatuhi, iaitu: pertama memelihara kesihat, kedua mencegah dari segala yang merosakkan dan ketiga mengeluarkan zat-zat yang rosak. Perkara ini dinyatakan dalam surah  al-Baqarah ayat 184 dan 196 dan surah an-Nisaa' ayat 43 dan banyak lagi yang boleh dirujuk di dalam al-Quran dan hadith Nabi s.a.w.."

"Apakah penyebab penyakit tuan Dr.?"

"Banyak sebabnya, walaupun barangkali tidak selalu diketahui, tetapi besar manfaatnya jika diketahui dan menyelidiki sebab-sebabnya supaya penyakit itu dapat diubati dengan tepat. Jika kita ketahui penyakit itu, dua perkara perlu dilakukan: pertama menghilangkan sebab-sebabnya dan kedua menjauhkan diri dari penyakit tersebut."

"Penyebab-penyebab kepada penyakit, kelemahan atau kelesuan dan kematian, bolehlah dikategorikan kepada lima perkara: pertama disebabkan oleh kekurang zat-zat berfaedah untuk tubuh dalam makanan, kedua gangguan jiwa, ketiga akibat panas dan kesejukan yang berlebihan,  keempat racun atau keracunan dan kelima luka-luka. Jika dihuraikan lima perkara itu amatlah panjang ceritanya"


"Islam menganjurkan supaya berubat bila sakit. Ubat menjadi mujarab ketika sakit. Ubat adalah penyembuh kepada pesakit dan ubat bukan penyembuh orang sihat. Jika sihat tidak perlu makan ubat. Ubat hanya sesuai untuk mereka yang sakit sahaja. Sabda Nabi s.a.w., yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Zubair, dari Jaabar bin Abdullah, maksudnya: Setiap penyakit itu ada ubatnya, jika tepat ubatnya maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah Azza wa Jalla.""

“Apakah ubat yang mujarab itu?”

“Mengosongkan perut.”

“Bagaimana caranya?.”

“Berpuasa. Berlapar. Berpantang.”

“Ya, kerana perut adalah punca penyakit.”

“Berpuasa, lazimkan berlapar, kosongkan perut.”

“Lapar itu ubat. Nasihat pun ubat.”

“Makan dan minumlah, jangan berlebih-lebihan.”

“Jagalah kesihatan melalui perut.”

"Makanan yang baik?"

"Makanlah makanan yang baik-baik. Tidak memudaratkan. Tidak beracun."

"Elakkan makan binatng-binatang ganas/buas, jangan makan binatang-binatang yang dilarang dalam Islam terutamanya anjing dan babi. "

“Baginda s.a.w. sangat menyukai yang manis-manis dan madu.”

“Baginda s.a.w. makan roti dengan lauk, jika ada dan adakalanya lauknya adalah daging.”

“Sabda Nabi s.a.w., maksudnya: Daging adalah penghulu makanan penduduk dunia dan akhirat.”

“Rasulullah s.a.w. meletakkan kurma kering di atas roti dan bersabda: Ini lauknya.”

“Baginda s.a.w. memakan buah-buahan dalam negeri bila telah tiba musimnya. Baginda tidak berpantang mengenainya. Ini termasuk cara utama bagi memelihara kesihatan.”

“Orang yang tidak mahu makan buah-buahan kerana takut sakit itulah yang menyebabkan sakit badannya, jauh dari kesihatan dan kekuatan.”

“Makanlah dengan sopan, jangan makan sambil bersandar.”

“Menyuap makanan dengan sederhana, jangan gelojoh, cepat dan kelam kabut.”

“Nabi melarang tidur sebelum makan malam kerana ia boleh mengeraskan hati dan membahayakan kesihatan. Sabda Nabi s.a.w.: Meninggalkan makan malam itu menyebabkan lekas tua.”

“Sebaik-baiknya selepas makan malam hendaklah berjalan-jalan beberapa langkah atau mengerjakan salat supaya makanan itu masuk semuanya ke dalam perut dan memudahkan pencernaannya.”

“Rasulullah s.a.w.  tidak pernah mencelah makanan. Jika berselera di makannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

“Nabi pernah bersabda: Barangsiapa berada dalam keadaan badan yang sihat, aman dalam penghidupannya dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”

"Bagaimana pula tentang minuman?"

"Minuman adalah yang paling sempurna, untuk pemeliharaan kesihatan."

“Baginda minum madu dicampur dengan air.”

“Kadang-kadang Nabi s.a.w. minum susu asli tanpa dicampur apa-apa dan kadang-kadang dicampur air.”

“Baginda s.a.w. tidak pernah minum ketika sedang makan, sama ada minuman sejuk atau panas kerana ia boleh merosakkan dan tidak sesuai dengan keadaan perut.”

“Dilarang minum kerana tidak baik untuk kesihatan selepas berolahraga, sukan, berenang, jogging, selepas melakukan kerja-kerja berat, sesudah jimak, sebelum dan selepas makan, selepas makan buah-buahan kerana ia tidak baik untuk kesihatan.”

“Nabi s.a.w. minum sambil duduk dan dilarang minum sambil berdiri kecuali dalam keadaan terpaksa.”

“Jangan minum sambil bernafas dalam gelas.”

“Jangan minum sambil bercakap. Jangan minum sambil berlari.”

“Jika minum hendaklah dihirup dan jangan minum yang banyak sekali teguknya, ia menyebabkan penyakit hati.”

“Nabi s.a.w. minum dengan tiga kali bernafas kerana ia melega dan lebih menyihatkan.”

“Jimak adalah paling terpuji di antara sebab-sebab pemeliharaan kesihatan.”

"Berapa kalikah kekerapan jimak yang baik?"

“Seminggu sekali, atau dua kali, jika lebih daripada dua kali dikhuatiri akan mendatangkan mudarat kepada lelaki.”

"Bagaimana pula jika beristeri empat?

“Menurut Imam al-Ghazali: Hendaklah lelaki itu jimak dengan isterinya empat hari sekali dan itu dianggap pekerjaan yang adil kerana menimbangkan bahawa dihalalkan oleh Allah Taala bagi lelaki itu empat isterinya, tetapi harus dia mengurangi atau melebihkan kekerapan itu.”

“Menurut Imam al-Ghazali lagi: "Nafsu syahwat itu, apabila mengeras dan tidak dapat disanggah oleh kekuatan takwa, nescaya dapat mengheret kepada perbuatan keji.” Dan katanya lagi: “Demi sesungguhnya, pada waktu syahwat itu ada hikmah yang lain lagi, selain dari memberi beban untuk memperolehi keturunan, iaitu memperolehi kesenangan pada perlaksanaan nafsu syahwat itu, yang tiada bandingan dengan kesenangan itu, oleh kesenangan mana pun jua, apabila kesenangan itu boleh kekal.”

“Sebutlah nama Allah ‘Bismillah’ ketika makan minum dan pujilah ‘Alhamdulillah’ setelah selesai.”

Qutbah terfikir selama ini beliau makan dan minum tidak menurut peraturan. Umpamannya ketika menghadiri seminar atau kursus, jamuan, majlis kahwin, berbuka puasa kecuali jika makan di rumah sendiri masalah peraturan/disiplin pemakanan tersebut boleh diatasi. Ya Allah Ya Rabbal Alamin.

Kuala Lumpur
22 Jun 2013M bersamaan 15 Syaaban 1434H (Sabtu)





Saturday 22 June 2013

Isteri: Antara Dua Darjat


Sinopsis:  Catatan  ini adalah petikan dari buku terjemahan yang sah daripada buku: al-Sirah al-Nabawiyah, Muhammad Rasulullah wa al-Lazina Ma’ahu (Hajar al-Misriyah Ibu Bangsa Arab), karangan al-Ustaz Abdul Hamid Jaudah al-Sahhar, diterjemah oleh Puan Safiah Abd Razak, dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (1991).

Isteri adalah perempuan yang dikahwini oleh seorang lelaki dan dihebahkan kepada pengetahuan umum. Setelah melalui proses maka dua pasangan itu telah diakui sebagai suami isteri. Mereka adakalanya akan menemui taman-taman syurga di dunia lagi dan tidak dinafikan pula menempah malapetaka neraka. Ia banyak bergantung kepada sikap, toleransi, situasi, saling memahami, keluarga dan masyarakat. Disiplin, tanggungjawab dan kerjasama adalah suatu kewajiban untuk mengekalkan kedamaian dan kerukunan rumahtangga.

Soda anak Saad, seorang gadis yang cantik. Menawan. Ismail menyukainya. Lalu Ismail berjumpa Saad untuk meminang Soda. Pinangannya diterima. Hajar ibu Ismail mendiamkan diri. Walaupun dia tidak suka kepada Soda. Ismail berkahwin dengan Soda. Hari terus berlalu. Minggu berganti bulan. Bunga mula memutik. Mantari setia memancarkan sinarannya.

“Assalamualaikum!”
Salam tidak dijawab. Soda muncul di muka pintu dengan air muka masam.  Kegembiraan dan kasih sayang tidak terpancar di wajahnya.
“Saya ayah Ismail.”
“Ada sesiapa lagi di rumah?” Nabi Ibrahim bertanya.
“Tidak!” jawab Soda kasar.
“Bagaimana dengan makan dan minum kamu?”
“Sebenarnya kami dalam kesempitan.”
“Mana Ismail?”
“Keluar memburu.”
“Sekiranya dia pulang sampaikan salam ayah kepadanya. Katakan padanya ayah kamu mahu dia tukarkan daun pintu rumah ini.”

Soda, isteri Ismail keras hati. Isteri pendakwah mestilah ikhlas, amanah, melahirkan zuriat yang salih, menjauhi keluh-kesah, kekufuran, dengar nasihat suami, memanfaatkan waktu,  menginsafi diri sebagi seorang hamba, 'taqarrub ilallah' dan patuh kepada ajaran Islam.

Sekembalinya Ismail, Soda menceritakan pertemuan beliau dengan bapa mertuanya dan dialog yang berlaku. Lalu Ismail menerima nasihat ayahnya dan menceraikan Soda. Apabila Soda diceraikan Hajar  berfikir dan mengikhtiarkan mencarikan jodoh untuk Ismail. Akhirnya, Hajar memutuskan untuk mencari seorang gadis Mesir1. Hajar menghantar utusan ke rumah kawannya di Munif untuk mencarikan seorang gadis dijadikan isteri Ismail. Utusan itu pergi ke Mesir menunggang kuda. Setelah beberapa hari utusan itu telah membawa seorang gadis Mesir. Ismail berkahwin dengannya. Tidak berapa lama kemudian Nabi Ibrahim menziarahi rumah Ismail.

“Assalamualaikum!”
“Walaikum salam.”
“Saya ayah Ismail.”
“Mana suamimu?”
“Menternak kambing bersama-sama ibu.”
“Sila masuk.”
“Boleh saya duduk?”
“Silalah, duduklah. Ayah mahu makan dan minum?”
“Apa makanan yang ada?”
“Susu dan daging.”
“Minuman?”
“Susu dan air.”
“Sukakah kamu tinggal di sini?”
“Kami bahagia dengan segala kurniaan Allah.”
“Semoga Allah  memberkati makanan kamu.”

Nabi Ibrahim dan menantunya sama-sama turun menuju ke perigi Zamzam. Wanita itu membasuh kepala Nabi Ibrahim. Setelah itu Nabi Ibrahim dan menantunya kembali semula ke rumah. Kebetulan Ismail baru sampai di rumahnya. Sebaik sahaja terpandang kepada Nabi Ibrahim, Ismail terus memeluk dan mencium ayahnya yang dikasihi. Berlinangan air mata membasahi pipi. Sebak rasa dihati. Alhamdulillah. Ya Allah Ya Rabbal Alamin.

“Jagalah isterimu baik-baik. Dia seorang wanita yang baik.”
Allahu Akhbar.

Isteri yang baik memiliki ciri-ciri penyantun. Hormat ibu bapa dan orang tua. Menyayangi adik-beradik. Mendidik anak-anak dengan kesungguhan. Sikapnya disenangi. Menjaga kehormatan diri. Ikhlas dalam tindakan. Berprasangka baik dengan mertua dan ipar-duai. Proaktif dengan kebajikan keluarga. 


Ilham ini hasil cetusan pertemuan Amerika-Taliban di Dhoha, Qatar tanpa penyertaan kerajaan Afghanistan pimpinan Hamid Karzai. Apakah Taliban akan kembali memerintah Afghanistan? Ya, atau Tidak, atau Tidak Pasti. Satu persoalan yang tidak memerlukan jawapan pada ketika ini. 

Jumaat, 21/6/2013.

___________
1 Pada muka surat 21 Kitab Taurat menyatakan, ibu Ismail mencari seorang gadis Mesir menjadi isterinya. Menurut Ibnu Hisyam, gadis itu ialah ‘Atiqah binti ‘Amru. Menurut al-Waqidi pula, gadis itu ialah Syamsiah binti Mahalhal.


Rumah dua tingkat Moden

Rumah dua tingkat kampung

Rumah teres berkembar moden

Rumah teras berkembar kampung


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”