Kronologi pencerobohan pantai timur Sabah
Astro Awani | Kemas kini: Mac 22, 2013
(Diterbitkan pada: Mac 09, 2013 06:32 MYT)
Berikut adalah rentetan peristiwa yang berlaku sejak 9 Februari lalu
sehingga hari ini:
9 Februari: Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan
bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung
Tanduo, Lahad Datu.
11 Februari: Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan
sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat
laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata
api berkampung di Kampung Tandou.
12 Februari: Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di
kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung
itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.
14 Februari: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
kerajaan Malaysia
akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu
pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal
pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah
sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.
Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar
Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu
dihantar pulang ke negara asal.
Beliau juga berkata rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan
bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan
darah.
Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan
pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata
kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk
membincangkan isu tanah di Sabah .
16 Februari: Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan
kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan
menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.
Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu'
antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke
wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan
Sulu.
18 Februari: Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa
bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan
secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
24 Februari: Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi
kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal
bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah
sejak 12 Februari lalu.
26 Februari: Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih
dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
28 Februari: Kerajaan Malaysia
digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di
Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.
Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang
menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja'
meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
1 Mac: Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan
kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis
di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta
tiga lagi cedera.Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.
2 Mac: Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud yang
terkorban dalam pertempuran dengan sekumpulan penceroboh bersenjata di Lahad
Datu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 12.43 tengahari.
Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dikebumikan di Tanah Perkuburan
Kampung Gong Bayor, Jertih manakala jenazah Koperal Sabarudin Daud dikebumikan
di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah di Kampung Sungai Lias, Sungai
Besar.
Pada hari yang sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melawat
dua anggota komando yang cedera iaitu anggota komando polis, Kpl Mohd Tarmizi
Hashim, 32, dan Kpl Azman Ampong, 39, di Hospital Lahad Datu.
3 Mac: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan kesengitan
di Semporna dengan penceroboh 'Kesultanan Sulu' berakhir dengan jumlah sebanyak 12 kematian, termasuk
enam anggota polis. Insiden berkenaan berlaku di Kampung Sri Jaya, Siminul,
Semporna, Sabah pada 2 Mac, jam 8 malam.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan mengambil
tindakan keras terhadap pihak penceroboh.
4 Mac: Jenazah Supt Ibrahim Lebar dari cawangan khas Bukit Aman, ASP
Micheal Padel dari cawangan khas IPD Semporna, Sarjan Baharin Hami dari cawangan khas IPK Sabah, Sarjan Aziz
Sarikun dari BN 14 PGA Tawau, Koperal Salam Togiran dari IPD Tawau dan Lans
Koperal Mohd Azrul Tukiran dari BN 14 PGA Tawau dibawa ke kampung
masing-masing.
DARI LAMAN WEB
Siti Saleha: Lebih Daripada Wajah Yang Menawan [Wawancara]
Imoney
Get Healthy With These 10 Superfoods!
HungryGoWhere
Recommended by
Jenazah Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dan Lans Koperal
Mohd. Azrul Tukiran, 27 diterbangkan ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) Subang dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat Charlie. Jenazah
mereka tiba pada jam 7 petang.
Semasa sidang media di Manila , Presiden
Filipina Benigno Aquino III berkata pentadbiran beliau akan meneruskan membantu
menyelesaikan pencerobohan di Sabah melalui
jalan keamanan.
5 Mac: Pada jam 7 pagi, pasukan keselamatan melancarkan serangan ke
Kampung Tanduo. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan
mengumumkan serangan itu adalah "bagi menjaga maruah dan kedaulatan
negara".
Operasi diberi nama Ops Daulat.
Pada 11 pagi, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media
bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan
Ops Daulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.
Dalam sidang media lebih kurang pukul 2 petang, Menteri Dalam Negeri
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak pasukan
keselamatan.
Pada pukul 4 petang, Ketua Polis Negara mengadakan sidang akhbar
mengatakan operasi susulan dan penggeledahan masih diteruskan kerana polis percaya
masih ada musuh di kawasan itu.
Sehingga pukul 7 petang, polis belum mengesahkan jumlah kematian,
kecederaan atau tangkapan di pihak anggota kumpulan penceroboh bersenjata itu.
6 Mac: Dalam satu sidang media bersama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein mengesahkan tiga belas mayat pengganas dari Selatan Filipina ditemui di
Kampung Tanduo susulan operasi menggeledah.
Korban itu termasuk seorang pengganas yang ditembak mati dalam satu
pertempuran pada 6.45 pagi Rabu.
Sembilan daripada mayat itu ditemui dalam sebuah kubur.
Polis juga telah menahan empat lelaki dalam lingkungan umur 20 hingga
50 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh di Kampung
Sri Jaya Siminul, Semporna.
7 Mac: Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai waris Sultan
Sulu, mengumumkan gencatan senjata pada pihak Kesultanan Sulu berkuatkuasa
pukul 12.30 tengahari, menurut jurucakapnya, Abraham Idjirani.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melawat Lahad Datu, menolak
gesaan gencatan senjata dan mahu pengganas itu meletakkan senjata tanpa syarat
serta serah diri.
Najib juga mengumumkan pembentukan sebuah kawasan keselamatan khas yang
meliputi wilayah pantai timur Sabah dari Kudat
ke Tawau.
Kawasan itu merangkumi daerah Sandakan ,
Semporna dan Lahad Datu.
Tan Sri Ismail Omar pula berkata setakat ini 52 orang pengganas Sulu
termasuk ketua kumpulan itu yang berpangkat ‘jeneral’, telah terbunuh dalam Ops
Daulat.
Rakyat Malaysia
telah meluahkan perasaan terkejut serta
jijik dengan tindakan tidak berperikemanusiaan penceroboh Sulu di Sabah
yang dilaporkan telah mencacatkan anggota pasukan keselamatan negara yang
terbunuh dipertempuran di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna.
8 Mac: Tan Sri Ismail Omar berkata lebih 50 individu yang disyaki
mempunyai kaitan dengan penceroboh militan di Lahad Datu ditahan mengikut Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Ismail berkata kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menceroboh
Sabah dan berkubu di dua kampung dekat Lahad
Datu belum menunjukkan tanda-tanda mahu menyerah diri dan meletak senjata.
Beliau berkata, sehubungan itu, gerakan memburu saki-baki anggota
kumpulan itu diteruskan.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pihaknya
masih menunggu Wisma Putra berkaitan perkembangan kumpulan penceroboh akan
menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.
9 Mac: Keadaan di Felda Sahabat terkawal walaupun kedengaran beberapa
bunyi siri letupan dilepaskan di 'ground zero' selepas 24 jam tiada pertempuran
dilaporkan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengesahkan bahawa seorang
penceroboh ditembak mati pada jam 8
pagi. Jumlah penceroboh yang ditembak mati adalah seramai 53 orang manakala
seramai 79 suspek sudah ditangkap.
Pasukan keselamatan negara telah berjaya menahan seramai 27 suspek
berhampiran kawasan pantai Kampung Tanjung Batu dalam operasi hari ini.
Pasukan forensik yang berpangkalan di timur Sabah
akan melakukan bedah siasat mayat-mayat di kawasan tersebut hanya selepas
proses pembersihan selesai.
Jamalul Kiram III, yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu mahu
adakan ‘perbincangan’ dengan Malaysia
untuk menyelesaikan krisis di timur Sabah.
10 Mac: Tan Sri Ismail Omar berkata seorang remaja lelaki beusia antara
12 ke 15 tahun ditembak mati manakala seorang lelaki dewasa cedera di bahagian
kakinya apabila anggota keselamatan Malaysia menembak sebuah belukar di Kampung
Sungai Bilis pagi ini.
Beliau juga berkata dua orang lelaki dan tiga orang perempuan ditahan
untuk siasatan di tempat yang sama.
Manakala, di Semporna, enam orang yang dipercayai ada kaitan dengan
penceroboh Sulu di Sabah ditahan dalam dua kejadian yang berasingan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib pula berkata dua anggota
pasukan keselamatan telah cedera ditembak peceroboh dalam satu kejadian
berbalas tembakan di Tanjung Batu yang bermula dari 8 malam hingga 4 pagi tadi
(Sabtu).
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata Malaysia mahu penceroboh Sulu ini
samada ditembak mati atau ditangkap hidup-hidup untuk dibicarakan mengikut
undang-undang.
Manakala, sekumpulan wartawan dan jurugambar menempuh pengalaman
mendebarkan apabila terserempak anggota militan bersenjata ketika membuat
tinjauan di Kampung Tanjung Labian.
11 Mac: Pesuruhjaya Polis Sabah , Datuk
Hamza Taib menyatakan siasatan forensik masih lagi dilakukan untuk
mengenalpasti identiti mayat seorang pengganas Sulu yang berpangkat Jeneral
yang dipercayai sebagai Komander Haji Musa.
Siasatan dilakukan setelah pihak keselamatan menjumpai pakaian seragam
pengganas Sulu yang mempunyai pangkat Jeneral di kawasan operasi di kawasan
Kampung Tanduo.
Gerakan operasi ‘mopping-out’ kini giat diperhebat dan lebih
menfokuskan kawasan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.
Walaupun begitu, keadaan keselamatan di Bandar Lahad Datu dan Semporna
yang tegang sebelum ini telah kembali kepada keadaan normal dengan urusan
perniagaan berjalan seperti biasa dibawah kawalan pasukan keselamatan.
Usaha untuk mengeluarkan mayat-mayat pengganas di kawasan operasi pihak
keselamatan masih lagi berlangsung.
Sehingga kini, 54 pengganas Sulu telah terbunuh dalam pertempuran dengan
pihak keselamatan namun hanya 22 mayat sahaja berjaya dikeluarkan dari kawasan
operasi ‘mopping-out’ di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu.
18 dari 22 mayat pengganas Sulu yang kebanyakannya telah reput dan
busuk telah dibawa ke Hospital Lahad Datu manakala selebihnya pula telah
dihantar ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat.
97 orang yang mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu telah ditahan oleh
polis sementara 125 orang ditahan kerana cuba memasuki kawasan operasi pihak
keselamatan.
Polis turut menafikan pasukan keselamatan melakukan kekerasan dan
kekejaman dengan menyasarkan tembakan kepada kanak-kanak. Ini susulan seorang
budak berumur sekitar 12 hingga 15 tahun terbunuh setelah ditembak pihak
keselamatan di satu belukar di Kampung Sungai Bilis Ahad lalu.
Penduduk tempatan pula diingatkan untuk tidak memasuki kawasan operasi
pasukan keselamatan
Sementara itu, keluarga Kiram sedia berundur pasukan militannya dari
Lahad Datu demi menghentikan konflik di kawasan itu dan wakil 'Sultan Sulu'
telah memohon kebenaran untuk ke Sabah demi berbincang untuk penyelesaian
konflik berdarah itu.
12 Mac: Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin
mengesahkan bahawa seorang tentera Malaysia terkorban dalam satu
insiden pertempuran di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pagi ini semasa
diserang hendap oleh kumpulan pengganas
Beliau juga berkata dalam pertempuran itu tiga orang anggota pengganas
turut terbunuh.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata seorang lagi anggota
tentera meninggal dunia apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di
Lahad Datu hari ini.
Dalam perkembangan yang lain, Hamza mengesahkan dua pengganas ditembak
mati dalam pertempuran pagi tadi. Beliau berkata seorang lagi penceroboh yang
terkena tembakan sempat melarikan diri.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jenazah
Allahyarham Prebet Mohd Hurairah Ismail yang maut dalam pertempuran dengan
pengganas di Lahad Datu dijangka diterbangkan ke Lapangan Terbang Pengkalan
Chepa pada jam 4 pagi Rabu.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan
ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah
yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah
yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang
berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi
Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar.
Sementara itu, adik Jamalul Kiram III, Esmail Kiram II sedang berusaha
mendapatkan penjelasan daripada kerajaan Malaysia ketika pasukan keselamatan
negara terus memburu pengganas di Lahad Datu.
13 Mac: Jenazah Koperal Ahmad Hurairah Ismail dan Koperal Ahmad Farhan
Ruslan selamat dikebumikan di kampong halaman masing-masing.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata dua anggota
tentera yang terkorban itu dinaikkan pangkat kepada Koperal penuh.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib percaya ketua kumpulan
penceroboh militan Agbimuddin Kiram masih terkepung di kawasan operasi.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata
dua lagi mayat pengganas Sulu yang bertempur dengan pasukan keselamatan di
Sungai Nyamuk di Tanjung Batu semalam ditemui hari ini.
Beliau berkata turut ditemui di kawasan itu ialah selaras senapang
jenis M1 Garand dan sepucuk pistol Colt.45.
Selain itu juga, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membawa
masuk beberapa aset-aset pertahan mereka dalam mengukuhkan pertahanan di
kawasan yang terlibat termasuk helikopter dari Pasukan Udara Tentera Darat dan
12 kereta perisai (Armoured Personnel Carrier).
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis
akan menggembleng guna tenaga semua keanggotaannya dalam pasukan itu untuk
ditambahkan lagi dalam usaha Operasi Daulati.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menjelaskan seorang remaja berumur
12 tahun yang ditembak oleh pihak keselamatan di sebuah belukar di Tanjung Batu
tempoh hari mempunyai pertalian dengan salah seorang lelaki yang ditahan beramai-ramai
di sekitar kawasan itu.
Manakala, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Liow berkata
pihaknya sudah menyediakan empat kontena untuk menempatkan mayat-mayat
penceroboh Sulu.
14 Mac: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang lelaki
yang membawa bungkusan yang mengandungi dua bilah pedang samurai serta tiga
parang panjang ditahan oleh pihak polis semasa suatu sekatan jalan di Jalan
Tanjung Labian, Lahad Datu kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pihak
pengganas.
Anggota Parlimen Batu dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Tian
Chua dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menyebut perkataan
menghasut berhubung isu Lahad Datu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi berkata seramai 35 pengikut
waris Jamalul Kiram III yang ditahan di Filipina semalam akan didakwa di
mahkamah negara itu dalam masa terdekat.
Ahmad Zahid juga berkata Gazmin telah memberi jaminan bahawa Filipina
akan memberi kerjasama jangka masa panjang untuk menyekat orang-orang mereka
daripada memasuki perairan Malaysia
secara haram.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan juga diumumkan akan kini
bertanggungjawab menjaga perairan timur Sabah
sepanjang 1,400 km yang sebelum ini di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana
Menteri (JPM).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia tidak
menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Diraja (RCI) atau membuka kertas
putih bagi menyiasat dakwaan kemungkinan ada pihak yang menjadi dalang di
sebalik insiden pencerobohan di Lahad Datu.
Juga, Kementerian Kesihatan mengumumkan akan menyediakan sebuah
hospital bergerak terletak di Felda Sahabat, Lahad Datu bagi menampung
keperluan dan perkhidmatan kesihatan di zon konflik itu.
15 Mac: Ketua kumpulan pengganas Sulu, Azzimudie Kiram dipercayai telah
melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah dan
kembali ke tempat asalnya di Selatan Filipina.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin berkata
Azzimudie dipercayai telah melarikan diri dari Lahad Datu, Sabah
dan kembali ke tempat asalnya di Selatan Filipina.
Katanya pasukan keselamatan membuat kesimpulan tersebut selepas
menganalisa maklumat yang diterima daripada sumber risikan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota
pasukan keselamatan menjumpai tiga kubur baru di Kampung Tanduo.
Menurut beliau, kubur-kubur itu mengandungi 15 mayat dan berada
berhampiran dengan sebuah kubur besar yang ditemui di sana 10 hari lalu.
Hamza berkata setakat ini 61 orang Sulu telah ditembak mati dan 27
mayat telah berjaya dikeluarkan dari tempat pertempuran.
Polis juga telah menahan lapan pemuda dari Filipina yang menaiki bot
laju untuk memasuki kawasan operasi di Kampung Sungai Bilis semalam.
Hamza berkata pemuda-pemuda itu yang berusia dalam lingkungan 17 ke 18
tahun cuba
membawa 300 bekas air kosong dan wang tunai 369,000 pesos (RM28,300).
16 Mac: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini
menyatakan satu mesyuarat berhubung kawasan yang dipanggil Eastern Sabah
Security Command (ESSCOM) akan diadakan segera bagi membincangkan perkara
berhubung penubuhan kawasan keselamatan khas Sabah.
Ini berikutan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak mengenai penubuhan ESSCOM untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan
negara.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib semasa sidang media di Lahad
Datu hari ini mengatakan Malaysia akan memastikan ketua pengganas Sulu,
Azimuddie Kiram dihadapkan ke muka pengadilan untuk bertanggungjawab ke atas
perbuatannya.
Menurut beliau kerjasama diantara kerajaan Malaysia dan Filipina akan dapat
memastikan Azimuddie dihadapkan ke mahkamah jika dia ditangkap.
Pada sidang media yang sama, Hamza menegaskan bahawa pasukan
keselamatan perlu memastikan kawasan penduduk betul-betul selamat sebelum
membenarkan mereka kembali ke rumah masing-masing.
Ini kerana kawasan tersebut dikhuatiri terdapat jerangkap ditinggalkan
musuh serta kesan serangan yang dilakukan pihak keselamatan.
Sementara itu anggota keselamatan hari ini telah menahan seorang lelaki
yang dipercayai pengganas Sulu di kawasan Felda Sahabat 17.
Menurut Hamza, suspek ditahan pada pukul 6.30 pagi ketika pasukan
keselamatan sedang menjalankan operasi dan suspek telah dibawa ke balai polis
berhampiran untuk siasatan lanjut.
Operasi ‘mopping-out’ atau penggeledahan masih lagi diteruskan dan
kawasan operasi telah tertumpu ke kawasan Tanjung Batu.
Selain dari pemeriksaan rumah ke rumah, pasukan keselamatan juga
menumpukan usaha penggeledahan di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan
belukar.
Berhubung dakwaan terdapat tokoh pembangkang di Filipina membiayai
keluarga Jamalul Kiram III untuk menceroboh Lahad Datu, Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia akan menggunakan saluran
diplomatik untuk mendapatkan maklumat daripada kerajaan Filipina.
Beliau turut menyatakan bahawa beliau ada membaca kenyataan setiausaha
pertahanan Filipina, Voltaire T Gazmin yang menyatakan kerajaan Filipina telah
menemui beberapa bukti berhubung insiden itu.
Dalam satu kenyataan di Perak, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi menyangkal dakwaan media Filipina kononnya disekat daripada
mendapat gambaran sebenar Operasi Daulat di Lahat Datu.
Menurut beliau, kerajaan akan berbincang bagi membenarkan diplomat
Filipina di negara ini melawat suspek pengganas Sulu yang ditahan.
17 Mac: Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim memberitahu
pemberita pada sidang media di Lahad Datu hari ini bahawa anggota keselamatan
negara telah bertembung dengan kumpulan musuh yang terdiri dari empat orang.
Seorang daripadanya telah berjaya ditembak mati pada pukul 10:15 pagi
tadi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata saki-baki musuh
dilihat sudah bergerak dalam kumpulan kecil dan beliau berharap orang ramai
tidak memasuki kawasan operasi.
Beliau menambah, hampir 80 peratus daripada bedah siasat ke atas mayat
pengganas Sulu yang terbunuh dalam operasi Ops Daulat telah dilengkapkan.
Pada sidang media yang sama, Hamza berkata setakat ini seramai 104
orang telah ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas)
2012 (Sosma) manakala 241 orang lagi telah ditahan dibawah akta-akta lain.
Selain itu beliau berkata proses menjejaki musuh, pemeriksaan dan
pengeledahan sedang giat dijalankan dan Kampung Tanjung Batu dijangka akan
dibersihkan serta selamat dari pengganas Sulu secara sepenuhnya esok.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Umno Semporna, Datuk Seri Nasir
Sakaran hari ini menyatakan keyakinan beliau bahawa pilihan raya dapat
dilakukan dengan lancar di kawasan parlimen itu.
Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan kesesuaian persenjataan termasuk
logistik perlu diambil kira agar pasukan keselamatan negara mendapat
kelengkapan alatan kententeraan yang sesuai mengikut keadaan.
18 Mac: Pasukan keselamatan telah bertempur dengan saki baki pengganas
Sulu di kampung Tanjung Batu, Felda Sahabat 22, pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media pagi Isnin
berkata pihaknya percaya ada musuh yang cedera atau terbunuh tetapi beliau belum menerima laporan
mengenainya.
Sementara itu, kawasan persisiran pantai Felda Sahabat akan menjadi
kawasan pertama pengukuhan pertahanan negara melalui pembinaan pos kawalan baru
yang diperkukuh dengan peningkatan kekuatan anggota pasukan keselamatan di
bawah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom).
Cadangan itu akan dilaksana dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk
Seri Zulkiple Kassim berkata, Ops Pasir yang dilaksanakan Angkatan Tugas
Bersama 2 (ATB) bagi mengawal 1,400 kilometer pantai Sabah akan diteruskan
walaupun Esscom diwujudkan.
Beberapa buah kereta perisai berantai yang tiba di Lahad Datu adalah
untuk meningkatkan kekuatan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat.
Menurut Panglima Divisyen Pertama Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd
Zaki Mokhtar, kereta-kereta perisai itu dibawa dari Semenanjung Malaysia untuk
mengukuhkan lagi operasi serta mendominasi kawasan-kawasan Tanjung Labian
apabila operasi tamat.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib menolak kenyataan ketua pengganas,
Jamalul Kiram III mengenai genjatan sejata.
Katanya, beliau tidak pernah mempercayai kata-kata Kiram mahupun ahli
keluarganya sejak hari pertama lagi.
Hamza juga memaklumkan, dua pertempuran yang berlaku pagi tadi tidak
mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Kekuatan pasukan ketenteraan terus ditambah dalam usaha menghapuskan
saki baki penganas Sulu.
Petang tadi pula, sebanyak 17 kenderaan perisai jenis 'armoured
personnel carrier' (APC) Adnan tiba di Lahad Datu sebelum dibawa ke Felda Sahabat.
Kenderaan perisai itu tiba di bandar Cenderawasih dari Tawau kira-kira
pukul 5 petang Isnin.
Dibawa dengan lori pengangkut, ia turut diiringi 17 trak tentera yang
dipenuhi anggota tentera.
Setakat ini jumlah tangkapan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-langkah Khas) 2012 masih 104 dan tangkapan bagi kesalahan-kesalahan
lain, 240.
Mayat yang telah dikeluarkan pula sebanyak 28 dan jumlah musuh yang
telah ditembak mati, 62.
Ops Daulat yang telah memasuki hari ke-14 telah mengorbankan sembilan
anggota keselamatan negara, manakala sembilan lagi cedera.
20 Mac: Lapan lelaki Filipina telah didakwa di Mahkamah Majistret
sementara di ibu pejabat polis Lahad Datu kerana melancarkan perang terhadap Yang Pertuan
Agong dan penglibatan dalam aktiviti keganasan.
Suspek yang berusia antara 17 dan 67 tahun telah didakwa bawah Seksyen
130 Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan pengganas dan di bawah Seksyen
121 akta yang sama kerana melancarkan perang terhadap Yang Pertuan Agong.
Ia adalah tuduhan pertama yang sedang dijalankan di tengah-tengah
pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.
Kes itu bagaimanapun telah dipindahkan kepada ke Mahkamah Tinggi Tawau.
Dalam perkembangan yang sama juga, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar berkata bedah siasat pada 28 mayat pengganas Sulu telah siap dan untuk mengelakkan faktor
kesihatan dan ruang yang tidak mencukupi di rumah mayat Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau, semua
mayat akan dikebumikan di lokasi sementara yang tidak didedahkan.
Selain itu, Ketua Angkatan Tentera Malaysia , Jeneral Tan Sri Zulkifeli
Mohd Zin berkata operasi ‘mopping-out'oleh pasukan keselamatan di kawasan
kampung Tanjung Batu akan mengambil beberapa hari lagi sebelum penduduk kampung
dibenarkan untuk kembali ke rumah-rumah mereka.
Pada masa yang sama juga, satu mayat musuh telah ditemui dan ia
dipercayai bahawa lelaki itu dibunuh semasa pertempuran dengan pasukan
keselamatan pada 6 Mac.
Mayat tersebut akan diambil keluar dari kawasan itu hari ini.
21 Mac: Satu pertempuran di kampung Tanjung Batu berlaku tengahari
semalam menyebabkan seorang musuh dibunuh dan seorang wanita telah berjaya
ditangkap oleh pihak keselamatan.
Ketua Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd
Zin berkata kepada pemberita, seorang anggota ATM tercedera kerana terkena
serpihan peluru di jari kiri semasa satu pertempuran pada pukul 11:30 pagi
semalam.
Walaubagaimanapun, anggota ATM tersebut berada dalam keadaan stabil
setelah pembedahan mengeluarkan serpihan peluru itu telah selamat dilakukan.
Sementara itu, lapan warga Filipina yang berdepan dengan hukuman mati
dan penjara seumur hidup atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang
di-Pertuan Agong dan menjadi ahli kumpulan pengganas, hari ini didakwa di
Mahkamah Tinggi di Tawau.
Kira-kira 40 anggota lengkap bersenjata berada di sekitar kawasan
mahkamah tersebut yang telah ditutup kepada orang awam bermula 5.30 petang
semalam.
Kawasan luar mahkamah juga disita dan dikawal. Hanya pekerja mahkamah
dibenar masuk ke mahkamah manakala wartawan hanya dibenar berada di luar
kawasan.
Peguam Negara Tan Sri Gani Patail dilihat memasuki mahkamah pada pukul
8.23 pagi.
22 Mac: Polis telah menyiasat insiden yang berlaku di Kampung Kembara
Sakti, Lahad Datu namun masih tidak dapat memastikan insiden itu ada kaitan
dengan pengganas atau tidak.
Ini berikutan susulan sebuah rumah di kampung itu yang dijilat api pada
malam Khamis dan pihak berkuasa mempercayai kejadian tersebut lebih menjurus
kepada kecuaian pemilik rumah tersebut.
Dalam satu sidang media di Lahad Datu, Timbalan Pesuruhjaya Polis
Sabah, Datuk Tan Kok Lian mengesahkan kejadian tersebut namun menafikan adanya
tembak menembak berlaku pada kejadian itu.
Sehingga kini, tiada petunjuk yang kukuh menunjukan kejadian itu
berpunca dari angkara pihak pengganas.
Pihaknya telah meletakan beberapa anggota keselamatan di kampung itu
demi untuk meyakinkan penduduk tentang faktor keselamatan.
Sehingga hari ini, jumlah pengganas yang berjaya ditewaskan masih lagi
kekal sebanyak 63 orang manakala mayat musuh yang telah dibawa keluar dari
kawasan konflik juga kekal dengan 30 mayat.
Jumlah anggota keselamatan negara yang gugur di medan pertempuran juga masih lagi tidak
berubah iaitu sebanyak 10 orang.
Dalam masa yang sama juga, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN)
bersama-sama dengan pegawai pejabat daerah telah mula membuat penilaian
kerosakan harta benda di kawasan-kawasan terlibat di Lahad Datu bagi
mentaksirkan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa.
Dalam masa yang sama juga, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya
sebagai Sultan Sulu berkata pendakwaan keatas lapan warga Filipina atas tuduhan
pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang diPertuan Agong adalah “tidak
sah” atas alasan Malaysia tidak ‘memiliki’ Sabah.
Namun, dakwaan Jamalul Kiram III telah disangkal dan diberi amaran oleh
Peguam Negara Tan Sri Gani Patail yang mengatakan bahawa Jamalul Kiram III juga
akan didakwa atas tuduhan yang sama andainya dia menjejakan kaki ke Sabah .
Malah beberapa peguam dan pengamal undang-undang turut bersetuju dengan
tuduhan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia terhadap lapan suspek
pengganas yang dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.
Read more at: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kronologi-pencerobohan-pantai-timur-sabah-9460?cp
No comments:
Post a Comment