NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Thursday 14 October 2010

Yusuf dan pengkomplotan jahat abang-abangnya


Yusuf berada di dalam dakapan ayahnya. Nabi Ya’aqub  merenung lama ke wajah anaknya itu. Beliau merasakan seluruh kecantikan yang ada di muka bumi ini telah dibahagikan antara Yusuf dan ibunya, Rahil. Beliau teringat suatu hari Yusuf bercerita kepada saudara-saudaranya bahawa dia telah bermimpi bersama-sama dengan abang-abangnya mengikat berkas-berkas kayu di ladang. Tiba-tiba berkas kayu Yusuf berdiri dan mengelilingi berkas-berkas kayu yang lain.  Kemudian berkas-berkas kayu yang lain itu sujud kepada berkas kayu Yusuf. Terngiang-ngiang juga kata-kata anaknya yang lain yang mengatakan bahawa Yusuf akan menjadi raja kepada mereka semua.

Kesemua anak Nabi Ya’aqub yang lain amat cemburu kepada Yusuf. Mereka sering memarahinya. Ayah mereka, Nabi ya’aqub menjadi penjaga kepada Nabi Yusuf daripada sasaran kemarahan dan cemburu abang-abangnya itu. Yusuf dijaga dilindungi dengan penuh hati-hati.

“Ayah, aku telah melihat sebelas butir bintang, matahari dan bulan sujud kepadaku,” kata Yusuf kepada ayahnya pada suatu hari.

“Wahai anakku! Janganlah kamu menceritakan mimpi engkau itu kepada saudara-saudaramu. Mereka akan membuat tipu daya kepada engkau. Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh yang nyata kepada manusia.”

Hinggalah pada suatu hari anak-anak Nabi Ya’aqub yang lain telah berbincangkan sesuatu sesama mereka. Berbincang tentang keluarga mereka sendiri.

“Ayah lebih menyayangi Yusuf dan adiknya  Bunyamin daripada kita semua, sedangkan kita satu golongan yang kuat. Ayah kita sebenarnya berada dalam kekeliruan yang nyata,” kata salah seorang dari mereka.

“Kalau begitu kita bunuh Yusuf atau buangkan dia ke suatu daerah supaya selepas ketiadaan Yusuf perhatian ayah akan tertumpu kepada kita sahaja.  Sesudah itu kita jadilah orang yang baik-baik,” cadang salah seorang yang lain pula.

“Janganlah Yusuf di bunuh. Cukuplah dengan mencampakkan dia ke dasar telaga supaya dia  dipungut oleh musafir  yang lalu,” cadang Yahuza pula.

Mereka pun pergi mendapatkan ayah mereka yang sedang berbual-bual dengan Yusuf.

“Ayah! Kenapa ayah tidak mempercayai kami untuk menjaga Yusuf, sedang kami pun inginkan kebaikan untuknya? Biarkanlah dia pergi bersama kami esok pagi agar dia dapat bersukaria dan bermain-main dengan kami. Kami berjanji untuk menjaganya dengan baik.”

“Sesungguhnya pemergian kamu bersama Yusuf akan menyedihkan aku. Aku bimbang kalau-kalau ia dimakan serigala, jika kamu lalai menjaganya.”

“Jika dia benar-benar di makan serigala, sedangkan kami golongan yang kuat, sesungguhnya kamilah orang yang rugi.”

Keesokan harinya, Yusuf bersama abang-abangnya dengan gembira pergi untuk bermain-main. Apabila mereka telah jauh dari rumah, mereka mula menunjukkan permusuhan dan kebencian mereka terhadap Yusuf. Salah seorang abangnya memukul Yusuf. Yusuf meminta tolong kepada abang-abangnya yang lain, tetapi permintaannya itu tidak diendahkan malah beliau menerima layanan yang sama. semua abangnya melepaskan dendam masing-masing. Diwajah mereka tidak kelihatan secebis pun rasa kasih sayang terhadap adiknya itu. Mereka memukul Yusuf dengan sewenang-wenangnya sehingga dia hampir-hampir terbunuh.

“Ayah! Tolong! Lihatlah apa yang sedang mereka lakukan terhadapku,” rintih Yusuf sayu.

“Tidakkah kamu  telah berjanji tidak mahu membunuhnya?” Yahuza bertanya kepada saudaranya yang lain.

Dia sebagai abang yang tua tidak suka melihat Yusuf diperlakukan sesuka hati.

Mereka pergi ke sebuah telaga untuk mencampakkan Yusuf. Yusuf meronta-ronta, namun tenaganya begitu lemah. Mereka cuba mencampakkan Yusuf  ke daalam telaga. Yusuf bergantung pada pinggir telaga. Mereka kemudiannya mengikat kedua-dua tangan Yusuf dan menanggalkan bajunya.

“Abang! Pulangkanlah bajuku, supaya aku dapat berselimut di dalam telaga ini,” rayu Yusuf dengan hiba sekali.

Sungguh tidak terlintas di fikirannya bahawa abang-abangnya akan bertindak sekejam ini. Yusuf menangis keseorangan.

“Panggillah matahari, bulan dan sebelas bintang agar menggembirakan engkau,” ejek salah seorang daripada abangnya.

Sementara itu Yusuf berhempas pulas menyelamatkan dirinya daripada tenggelam, dia berpaut pada batu dan dan duduk di atasnya.

Ketika Yusuf duduk keseorangan dalam perigi itu, Allah telah menenangkan jiwanya dengan wahyuNya.

“Sesungguhnya kamu akan menceritakan kepada mereka perbuatan mereka itu sedangkan mereka tidak ingat lagi.”

Selepas itu, abang-abang Yusuf pulang menemui ayah mereka sambil berpura-pura menangis.

 “Ayah! Sesungguhnya kami sedang berlumba dan kami tinggalkan Yusuf dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala. Ayah tentu tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang yang benar,” kata salah seorang dari mereka dengan sedu-sedan sambil memegang baju Yusuf yang berlumuran darah.

“Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan yang buruk itu. Maka kesabaran yang baik itulah kesabaranku.  Dan kepada Allah sahajalah dimohonkan pertolongan terhadap apa yang kamu ceritakan.”


Bersambung …



Akan datang: Yusuf antara duka nestapa dan cahaya kehidupan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”