NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Wednesday 10 July 2013

Isteri: Antara Sama Darjat



"Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)."  (Q.S. at-Tahrim: 10)

Isteri: Antara Sama Darjat; wanita yang diceritakan dalam ayat tersebut adalah isteri rasul: isteri Nabi Nuh a.s. dan isteri Nabi Lut a.s.,  yang membawa risalah tauhid kepada umat manusia. Risalah tersebut bukan hanya disampaikan kepada manusia tetapi juga kepada keluarga terdekat; isteri dan anak-anak. 

Secara ringkasnya, isteri Nabi Nuh a.s. dan isteri Nabi Lut a.s. mereka senentiasa mendampingi suami masing-masing; siang  dan malam seperti isteri-isteri yang lain. Mereka memasak untuk suami, makan bersama, tinggal bersama, tidur bersama tetapi tidak beriman bersama kepada ajaran yang dibawa oleh suami mereka. Orang lain mengakui suami mereka sebagai nabi dan melaksanakan perintahnya tetapi mereka sendiri tidak mengakuinya sebagai nabi. Malahan memberi maklumat kepada musuh-musuh tentang aktiviti dakwah suaminya.

Dalam ayat  itu dikatakan mereka mengkhianati suaminya. Ibarat gunting dalam lipatan. Api dalam sekam.   Mengkhianati suaminya bukan bererti mereka mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain; berpoya-poya, bersundal atau berzina, kerana isteri-isteri para nabi terpelihara dari perkara-perkara seperti itu. Khianat dalam ayat itu maksudnya tidak beriman kepadanya. Tidak ikut arahan suami. Tidak beriman kepadanya atau tidak mengakui kerasulannya.

Pengkhianatan isteri nabi-nabi itu tidak berbeda dengan pengkhianatan isteri-isteri dalam konteks yang sama pada sepanjang zaman. Ia hanya berbeda dari segi status seorang nabi dengan manusia biasa. Isteri nabi tidak mengakui kerasulannya dan tidak mahu mengikutnya.

Kalau ada orang yang beriman  kepada  Nabi Nuh a.s., isterinya segera melaporkannya kepada pemimpin-pemimpin orang kafir supaya mereka tahu tindakan apa yang  patut dilakukan kepadanya.  Ketika Nabi Nuh a.s mengajak kaumnya supaya naik atas kapal kerana akan terjadi banjir besar, isterinya tetap berdegil sehingga dia termasuk di antara orang yang karam.

Manakala pengkhianatan isteri Nabi Lut a.s. kepadanya, dia tidak mengakui kerasulan  suaminya dan tidak mengikut ajarannya.  Ketika Nabi Lut a.s. didatangi oleh dua malaikat yang menyamar seperti dua orang pemuda kacak, isterinya segera pergi menceritakannya kepada orang-orang jahat yang bernafsu kepada liwat. Tujuannya supaya tetamu yang datang itu diganggu atau dirogol. Akhirnya dia pun ikut mati dalam bencana akibat gempa bumi yang berlaku pada waktu subuh. Dia mati bersama-sama  golongan yang sesat dan menyesatkan.

Sebelum peristiwa dahsyat itu berlaku, dua malaikat  menziarahi Nabi Ibrahim a.s. di Palestin. Nabi Ibrahim a.s.  menyangka mereka sebagai pengembara,  menyambut mereka sebagai tetamu dan melayan mereka sebagai sifat tetamu yang terhormat. Menjamu mereka dengan hidangan makanan tetapi tetamu itu tidak menyentuhnya dan tidak makan. Tetamu itu memperkenalkan diri bahawa mereka adalah malaikat di utus kepada kaum Lut kerana mereka telah melampaui batas, melakukan kezaliman secara terang-terang dan membunuh untuk mengekalkan hegemoni mereka. Sesiapa sahaja yang berlaku zalim tetap  menerima balasan tunai di dunia lagi.

“Sila makan.”
“Maaf, kami tidak makan.”
“Kami dalam perjalanan kepada kaum Lut.”
“Kami sesungguhnya diutus kepada kaum yang berdosa.”
“Apakah urusan kamu yang penting (selain itu) wahai orang-orang yang diutus?” Tanya Ibrahim a.s.
“Untuk urusan penting, iaitu untuk menghancurkan kaum Lut yang banyak berbuat dosa dan ingkar itu,” jawab mereka.
“Wahai Ibrahim, Khabar gembira bahawa Allah s.w.t. akan mengurniakan kamu anak,” maklum malaikat.
“Alhamdulillah.”

Nabi Ibrahim a.s. telah lama menginginkan anak. Usianya telah melebihi seratus tahun tetapi belum mendapat anak. Dengan perkhabaran daripada malaikat itu beliau bersyukur kepada Allah s.w.t.. Rombongan malaikat itu mohon izin daripada Nabi Ibrahim a.s. untuk meneruskan perjalanan ke Sadum.
  
Malaikat memasuki perkampungan Sadum dengan cara menyamar sebagai lelaki kacak dan tampan. Setiap orang yang terpandang pasti terpikat kerana penampilan mereka yang luarbiasa dan mempersonakan. Semasa menghampiri Sadum, mereka bertemu seorang anak gadis sedang mengambil air untuk keperluan harian keluarganya. Mereka minta izin kepada gadis itu supaya dapat menginap di rumahnya. Anak gadis itu menjawab denagn sopan akan bertanyakan kepada ayahnya terlebih dahulu tentang permintaan mereka. Nabi Lut mengizinkan dua orang muda itu datang dan menginap di rumahnya.

Penduduk Sadum yang peliwat cuba menceroboh masuk rumah Nabi Lut a.s. tetapi sebelum mereka bertindak agresif malaikat telah butakan mata mereka. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan mereka pulang ke rumah masing-masing. 

“Wahai para peliwat! Di rumahku ada dua orang lelaki kacak.”
“Dari mana mereka datang?”
“Entahlah.”
“Mari kawan-kawan kita pergi ke rumah Lut.”
“Jangan buang masa pergi cepat.”
“Wahai Lut engkau serahkan kepada kami pemuda-pemuda itu.”
“Pemuda-pemuda itu adalah tetamuku. Jangan ganggu mereka. Jika kamu suka saya ada anak gadis yang boleh dijadikan isteri .”
“Kami tidak berminat dengan perempuan.”
“Sesungguhnya kamu wahai Lut benar-benar sudah tahu bahawa kami tidak mempunyai selera sedikit pun terhadap anak-anakmu yang perempuan sekalipun mereka cantik belaka.”
  
Malaikat meminta Nabi Lut a.s.  supaya meninggalkan kawasan tersebut tanpa menoleh ke belakang. Allah s.w.t. telah menurunkan bala kepada kaum peliwat dan mereka yang bersekongkol dengannya. Kaum yang degil balasanya mudah sahaja, dikumpul beramai-ramai dan ditamatkan riwayatnya. Begitulah yang berlaku kepada kaum-kaum zalim sebelum ini.


Catatan:
Artikel: Isteri: Antara Sama Darjat yang dipapar di halaman ini ada kaitan dengan al-Quran surah  Hud ayat 69-83. Kepada anak-anakku yang tersayang, rajin-rajinlah baca al-Quran ya.





 













No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”