NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Tuesday 23 April 2013

Pengalaman: Bertekak Dahulu Kemudian Memeluk Islam



Rentetan daripada perubahan sikap Arnoud van Doorn, mantan anggota Parti Kebebasan haluan kanan, Belanda,  yang sebelum ini  terlibat secara langsung dalam pembikinan sebuah filem menghina peribadi Rasulullah s.a.w. telah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia kini dilaporkan telah memeluk Islam.

Ketika ditanya apakah punca yang mendorongnya memeluk Islam; antaranya kata beliau sebenarnya reaksi dan kemarahan luar biasa umat Islamlah telah mendorongnya untuk mengkaji dan mencari apakah rahsia sebenar di sebalik kecintaan yang begitu mendalam umat Islam terhadap peribadi agung tersebut. Akhirnya terjawab dengan kerelaan beliau mengucap dua kalimah syahadah.


Lapan tahun dahulu, saya pernah menghadapi satu keluarga yang anaknya memeluk Islam kerana akan berkahwin dengan seorang lelaki Melayu. Kemasukan wanita cantik itu ke dalam Islam, telah saya syahadahkan dihadapan kedua ibu bapanya yang bukan Islam dan disaksikan oleh bakal suami serta seorang saksi lagi kerana individu yang hendak masuk Islam dikehendaki membawa dua orang saksi dari kalangan umat Islam bagi melengkapkan borang permohonan dan memudahkan proses pendaftaran pengislamannya teratur dan mengikut prosedur yang dikehendaki oleh jabatan pada ketika itu.   

Kebiasaannya selepas disyahadahkan, saya akan memberikan penjelasan serba ringkas tentang agama Islam kepada mualaf bersama-sama dengan saksi-saksi yang hadir.  Dalam tempoh beberapa minit, saya fokus kepada persoalan akidah dan ibadah. Selepas itu baharulah saya cadangkan supaya mualaf rajin menghadiri kelas-kelas pengajian agama sama ada dibawah kelolaan JAWI, JAIS, PERKIM, masjid surau atau  pertubuhan Islam bagi memahami Islam secara terperinci. Di samping itu memberi ruang sesi pertanyaan dan bersembang-sembang dari hati ke hati.

Dalam masa bersembang itu terkeluar daripada mulut saya:

“Mak cik dan pak cik tak nak masuk Islam?”  

“Saya tetap dengan agama saya, kerana anak nak kahwin dengan orang Islam sebab itu saya datang,” tegas ibu mualaf.

“Saya dengan suami tidak fikir untuk masuk Islam,” sambungnya lagi.

“Manalah tahu, saya cuma tanya sahaja,” jawab saya.

“Selepas menerima surat pengesahan Islam, proses untuk nikah boleh dilakukan di Bahagaian Nikah Kahwin di blok sebelah sana,” sambil saya menunjukkan arah pejabat nikah kahwin.

Sebenarnya, panjang lagi dialog saya dengan ibu mualaf itu. Manakala suaminya mendiamkan diri. Majlis pengislaman dijalankan selepas salat Jumaat.

Pada hari Isnin, saya menerima panggilan daripada ibu mualaf menyatakan bahawa beliau dan suaminya berhasrat hendak masuk Islam. Barangkali tempoh berehat selama tiga hari selepas pengislaman anaknya, Allah s.w.t. telah mengilhamkan kepada keluarga tersebut. 

Sehingga hari ini saya mendapat pengajaran bahawa manusia akan berubah sekelip mata jika dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa mengetuk hati yang keras. Allahu Akhbar.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”