Mengapa DAP bertalu-talu serang peribadi Hadi?
pada 23-06-2015 10:06 Ditulis
Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Mujur Pakatan Rakyat
yang dianggotai PAS, DAP dan PKR tidak menang pilihanraya umum ke-13 dua tahun
lalu. Jika tidak, negara pasti dilanda krisis politik yang paling besar dalam
sejarah.
Rupa-rupanya Pakatan Rakyat yang
berkokok mampu menggantikan Barisan Nasional tidak mempunyai calon yang handal
untuk menjadi perdana menteri sekiranya ia menang.
Perkara ini didedahkan oleh
penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa calon automatik bagi PKR dan DAP
iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak pernah dipersetujui dan direstui PAS
untuk menduduki kerusi berkenaan.
Sekali lagi sebagai satu trend
politik baru DAP, Kit Siang menyalahkan presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul
Hadi Awang yang cuba
dimomokkan sebagai pembawa angkara hingga ‘berkuburnya’ Pakatan Rakyat.
"Krisis Pakatan mungkin
berlaku lebih awal jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai majoriti kerusi
parlimen dalam pilihan raya umum ke-13 dua tahun lalu, kerana Hadi tidak pernah
menerima Anwar sebagai calon Pakatan menjadi perdana menteri," katanya
dalam satu kenyataan Ahad lalu.
Pendedahan rasmi itu adalah kenyataan
paling mutakhir DAP yang kini diamuk masalah ‘Hadifobia’ yang menggoncang
keutuhan Pakatan Rakyat hingga ‘menyembah bumi’.
Malah bagi mengukuhkan kempen
anti-Hadi itu, Kit Siang terus mendedahkan bahawa pukulan maut yang dikenakan
Hadi ke atas Pakatan Rakyat bukan tindakan baru.
"Sejak setahun lalu Pakatan
wujud hanya pada nama, bukan secara hakikatnya disebabkan Hadi melanggar dua
prinsip asas Pakatan, (iaitu) rangka kerjasama
Pakatan
"(Hadi juga melanggar)
prinsip konsensus operasi bahawa persetujuan ketiga-tiga parti komponen Pakatan
diperlukan bagi melaksanakan mana-mana cadangan Pakatan," katanya.
Adalah jelas bahawa perselisihan
di antara DAP dengan Hadi kini menyerlahkan betapa parti dominasi Cina itu
memang mempunyai agenda untuk membelah-bahagi perpaduan dalam PAS.
Dari satu perspektif DAP dengan
jelas tidak menghormati keputusan demokratik Muktamar PAS ke-61 awal bulan ini
yang menumbangkan kumpulan profesional yang menyokong pemikiran politik Anwar
dan DAP.
Justeru kenyataan terbaharu ini
hanya bertujuan menghiris luka kekalahan golongan profesional berkenaan dengan
mengadu-dombakan Anwarinas dalam PAS yang kecundang dengan ulama pimpinan Hadi.
Di peringkat ini memang agak
sukar membaca niat Kit Siang dan DAP tetapi jika dicongak dari segi strategi
politik, natijahnya jelas menunjukkan ia
membakar sentimen politik golongan yang kalah supaya angkat kaki
meninggalkan parti Islam itu
DAP mengaut laba besar apabila
berkerjasama dengan PAS. Sekonyong-konyongnya DAP mampu mengikis segala
prejudis rakyat, terutama Melayu-Islam, bahawa ia (DAP) adalah parti cauvinis.
Apabila PAS dan Anwar Ibrahim
berjaya ‘memutihkan hati budi’ DAP, maka luruhlah prasangka umum terhadap motif
politik DAP. Parti Kit Siang mulai memungut dividen apabila beban imej
perkauman itu beransur pudar
Kini DAP mula mendaftarkan Melayu
seperti Dyana Sofia, Datuk Abdul Samad Said, Zairil Khir, Ariff Sabri Abdul
Aziz (Sakmongkol AK47) dan mungkin juga bekas calon PKR, pakar perlembagaan, Dr
Abdul Aziz Bari sebagai ahlinya.
Semakin kuat Hadi ditekan sebagai
anti-Anwar, anti-pemikiran liberal dan progresif, semakin mudahlah DAP
memancing pejuang-pejuang yang terkulai dalam pemilihan muktamar lalu, menjadi
ahlinya.
Jika Kit Siang ahli politik yang
jujur dan berintegriti, tidak perlulah beliau menggembar-gemburkan mengapa
beliau mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur secara unilateral.
Sepatutnya apa yang lebih penting
dilakukannya sekarang ialah memperjelaskan bila dan bagaimana mahu membentuk
pakatan baru menggantikan Pakatan Rakyat yang sudah mati.
Sebaliknya, Kit Siang dan DAP
dilihat menggandakan usaha memburukkan Hadi dan PAS bagi memastikan momentum
“benci Hadi dan ulama” di kalangan Melayu-Islam di dalam dan di luar PAS dapat
terus digerakkan.
Lebih kuat kempen ini berjalan
lebih mudah dan jelas rakyat Melayu dan Islam ‘melihat’ kemungkinan betapa DAP
sendiri adalah satu alternatif yang baik bagi PAS.
Strategi ini adalah sesuatu yang
lumrah. Belajar daripada krisis pemilihan Menteri Besar di Selangor tahun lalu
dan di Perak pada 2008, DAP tidak mahu kecewa lagi.
Di Perak selepas pilihanraya umum
2008, DAP mempunyai kerusi terbanyak di kalangan pembangkang tetapi terpaksa
melepaskan peluang meletakkan ahlinya di kerusi Menteri Besar kerana tiada
calon Melayu.
Begitu juga di Selangor tahun
lalu. Meskipun ia mempunyai kerusi sama banyak dengan PAS di Dewan Negeri,
sekali lagi ia terpaksa berdiam diri dan memerhatikan sahaja isu itu
diperdebatkan oleh PAS dan PKR.
Bukan satu rahsia lagi bahawa
parti ‘paling suci’ dalam Pakatan Rakyat ialah PAS. Kisah rasuah, salahguna
kuasa dan juga skandal yang pelbagai, payah dipalitkan ke atas pimpinannya.
Malah ia mempunyai jentera
politik yang ampuh, ikhlas dan berani. Jika PAS pecah, dan golongan Anwarinas
bertindak keluar dan kemudian menyertai DAP, ia adalah satu anugerah paling
besar bagi parti itu.
Kepetahan Mat Sabu, Husam Musa,
Salahuddin Ayob, Hanipa Maidin, dan kewarakan ulama progresif seperti Ustaz
Ahmad Awang adalah aset besar bagi DAP jika mereka boleh dipujuk menyertainya.
Buat sementara ini,
panglima-panglima PAS yang terluka dalam pemilihan lalu biarlah ‘diparkir’
dalam kurungan parti kecil dan kurang dana seperti yang mahu dilakukan PasMa
Apabila apabila disapa realiti
bahawa menggerakkan parti politik memerlukan dana besar dan pelbagai hambatan
pentadbiran, mereka pasti akan memandang menganggotai DAP adalah satu alternatif yang baik.
Menggabungkan diri dengan PKR
bukanlah opsyen yang berbaloi. Parti itu rata-rata dipimpin Melayu dan
masing-masing sedang menempa nama dalam politik Malaysia . Kehadiran mantan pemimpin
PAS pasti kurang dialu-alukan.
Buat masa ini biarlah DAP
mengajar mereka menghafal lirik dan nasyid membenci ulama dan PAS. Kata frasa
kempen ‘menolak profesional’ keluar PAS masih tetap sama yang berjaya digunakan
ke atas Umno iaitu ABU.
Asal Bukan Umno (ABU) menjadi
slogan berkesan meremehkan parti induk orang Melayu itu. Cuma kali ini akronim
ini digunakan terhadap ulama dalam PAS. Ia bermula dengan menyerang peribadi
Hadi.
Namun DAP insaf bahawa jendela
politik ini terbuka untuk tempoh yang terhad – sebelum PKR sedar dari lena dan
ruang selesanya hidup sejahtera tanpa Anwar Ibrahim menabur titah perintahnya.
No comments:
Post a Comment