Diterbitkan: 23 Jun 2015 Ditulis oleh ABDUL
HADI AWANG
Menemui semua ahli PAS semoga
berada dalam limpahan rahmat Allah SWT,
Setiap pengikut perjuangan Islam
wajib menyedari dan faham, bahawa ada dua aspek penting dalam perjalanan
perjuangan Islam yang sangat mencabar. Gagalnya kita memahaminya, boleh
menyebabkan ada kalangan yang kecundang atau tercicir di tengah jalan dalam perjalanan
perjuangan ini, kerana tidak menghayatinya dengan betul. Kedua-dua aspek
tersebut mewajibkan hidayah, melalui ilmu, kebijaksanaan dan terpentingnya
memohon petunjuk Allah dengan khusyu’ setiap rakaat salat dan bila-bila masa
sahaja.
Pertama: ‘Aqidah perjuangan; dan
Kedua: Pendekatan yang dilakukan, beramal, dakwah dan melaksanakan
Islam bagi membawa rahmatnya kepada seluruh manusia.
Kedua-dua aspek ini dilakukan
oleh Rasulullah S.A.W. bersama para sahabatnya R.A. yang setia bersamanya
dengan petunjuk Allah daripada al-Quran, dalam semua keadaan. Ianya ditunjukkan
dalam Marhalah Makiyyah dan Madaniyyah, iaitu di masa lemah dan kuat, di masa
belum wujudnya negara dan setelah tegaknya negara.
Pertama
Beristiqamah bersama aqidah
perjuangan Islam adalah sangat berbeza dengan perjuangan yang hanya bergantung
kepada ideologi ciptaan manusia.
Ianya menuntut kita tetap bersama
Islam dengan keimanan kepada Allah dengan segala nama dan sifatnya yang mulia.
Islam adalah benar, rahmat dan adil, dalam segala hukumnya yang wajib, sunat,
makruh, haram dan harus. Percaya kepada janji Allah daripada dunia sehingga
akhirat, walau pun perkaranya ghaib dan tidak dapat dicapai oleh akal dan
pancaindera.
Perkara aqidah adalah tetap dan
tidak berubah dan tidak boleh diubah; walau apapun dugaannya.
Kedua
Aspek ini menuntut kita
beristiqamah melaksanakan pendekatan yang dizinkan Allah, halal dan haramnya
adalah dengan cara yang diizinkan oleh Allah, berhubungan dengan bukan Islam
dan musuh dengan cara yang diizinkan Allah juga. Walaupun hukumnya dari segi
aqidah tegas dan tetap.
Sirah Nabawiyyah melaporkan
pendekatan Rasulullah S.A.W. menerima perlindungan keluarganya yang dipimpin
oleh Abu Tolib di atas semangat kekeluargaan tanpa menerima Islamnya, menerima
pembelaan salah seorang pemimpin kaumnya Mut’im bin ‘Adi yang menentang
kezaliman walaupun dia bukan Islam, meminta khidmat petunjuk jalan berhijrah ke
Madinah daripada seorang bukan Islam bernama Abdullah bin ‘Uraiqit dengan
keimanan menegakkan negara di Madinah dan menjanjikan hadiah gelang emas
kerajaan Parsi kepada Suraqah bin Malik, musuh yang datang untuk membunuhnya di
tengah jalan.
Hakikatnya ialah, apabila Abu
Tolib dan lain-lain menawarkan keamanan dengan meninggalkan aqidah, maka ianya
ditolak dengan keras. Apabila pemimpin Makkah menawarkan pertabalan menjadi
raja yang berkuasa dan tawaran harta kekayaan dengan syarat meninggalkan aqidah
perjuangan maka ditolak dan bersedia untuk mati kerana mempertahan aqidah dan
perjuangannya.
Sikap yang sama ditunjukkan oleh
semua para sahabat R.A. ketika berada di-Makkah, sehingga bersama melakukan
Hijrah yang menghasilkan kejayaan. Maka bersabdalah Rasulullah S.A.W.:
“Sesungguhnya semua amalan itu mestilah mengikut niatnya, dan setiap
orang akan menerima ganjaran dan akibat mengikut niat masing-masing. Sesiapa
yang melakukan hijrah kerana Allah dan Rasul, nescaya dia mendapat fadilat
hijrah kerana Allah dan Rasul. Sesiapa yang niat hijrahnya kerana dunia, atau
seperti kerana mengikut wanita yang hendak dinikahinya maka terimalah dia
mengikut naitnya itu.”
Hadis ini adalah bersempena
dengan peristiwa Hijrah dan menjadi dalil kepada semua amalan seseorang. Hijrah
adalah pendekatan, wujudnya aspek “niat” adalah menunjukkan bahawa urusan
hijrah ini mempunyai “aqidahnya”.
Allah melakukan penapisan dunia sebelum penapisan akhirat.
Apabila tegaknya negara di
Madinah, Allah secara tegas menunjukkan jalan istiqamah di antara Aqidah dan
pendekatan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, dalam keadaan yang
lebih mencabar dalam masyarakat majmuk berbagai agama, kaum dan sikap. Islam,
bukan Islam dan munafik. Allah berfirman:
“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan
orang-orang yang kamu musuhi dari kerabat kamu itu (dengan jalan menjadikan
mereka insaf dan memeluk Islam) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas
tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” ( Al-Quran, surah Al-Mumtahanah ayat 7-9 )
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” ( Al-Quran, surah Al-Mumtahanah ayat 7-9 )
Ayat-ayat al-Quran tersebut
bermaksud bahawa Allah menunjukkan kepada kita supaya berlaku baik kasih sayang
terhadap seluruh manusia mengikut sempadannya. Maka Rasulullah S.A.W,
menjalinkan segala pendekatan hubungan dengan kalangan bukan Islam, secara
bertahaluf, berta’awun, berdamai, memaaf kesalahan dan lain-lain.
Apabila berlakunya sikap bermusuh
yang mahu merosakkan Aqidah maka dibatalkan segala bentuk hubungan walupun
terhadap kaumnya di Makkah. Menunjukkan banyaknya keterbukaan dalam perkara
pendekatan dan sangat tegas dalam perkara Aqidah perjuangan.
Maka setiap ahli PAS mestilah
bersama dengan jama’ah yang ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat beraqidah
yang teguh bersama konsep pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut
kenyataan nas serta sejarah.
Sesiapa yang mengikuti perjalanan
bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku
perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong
secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.
Adapun perkara yang akan datang
berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa
berilmu, berdoa dan bertawakkal kepada Allah.
ABDUL HADI AWANG
23 Jun 2015
No comments:
Post a Comment