Kebarangkalian kapal tangki MT Orkim Harmony dirompak lanun - APMM
Bernama | Kemas kini: Jun 15,
2015
(Diterbitkan pada: Jun 15, 2015
22:30 MYT)
Kapal tangki yang berdaftar di
Malaysia itu membawa 22 orang kru dengan 16 daripadanya adalah warga Malaysia,
lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.
PUTRAJAYA: Kehilangan kapal
tangki MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik muatan petrol RON95
dianggarkan bernilai RM21 juta menjurus kepada rompakan lanun, kata Timbalan
Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana
Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.
Beliau berkata ini kerana tiada
panggilan kecemasan diterima daripada kapal itu selain tiada tanda ia
menghadapi kemalangan ketika hilang pada 8.57 malam Khamis lepas.
Beliau juga menolak kemungkinan
kapal itu dirampas dan anak kapal dijadikan tebusan memandangkan sehingga 3.30
petang tadi tiada mana-mana pihak menghubungi untuk meminta wang tebusan.
"Kalau kapal bocor sekalipun
mesti kru kapal sempat membuat panggilan kecemasan. Jika karam atau kemalangan
pasti ada tumpahan minyak.
"Tetapi setakat ini tiada
tanda-tanda seperti itu. Jadi kebarangkalian kapal itu dirompak (lanun) adalah
besar setakat ini," katanya pada sidang media mengenai operasi mencari dan
menyelamat (SAR) kapal itu, di sini hari ini.
Kapal MT Orkim Harmony sedang
dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan apabila ia dilaporkan hilang.
Kapal tangki yang berdaftar di
Malaysia itu membawa 22 orang kru dengan 16 daripadanya adalah warga Malaysia,
lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.
Ahmad Puzi berkata MT Orkim
Harmony adalah kapal milik syarikat Magna Meridian Sdn Bhd dan muatan petrol
yang dibawa adalah milik Petronas.
Menurutnya berdasarkan modus
operandi kes rompakan terdahulu, muatan minyak akan dipindahkan ke kapal lain
di tengah laut dan kru akan dilepaskan untuk mengendalikan semula kapal
tersebut ke pelabuhan berhampiran.
Bagaimanapun, katanya, muatan
petrol RON95 dibawa kapal MT Orkim Harmony adalah sukar dan berisiko untuk
dipindahkan memandangkan ia mudah terbakar.
"Kami percaya mereka masih
mencari kemudahan untuk memindahkan minyak kepada pelanggan mereka," kata
Ahmad Puzi sambil menambah bahan bakar kapal itu boleh bertahan selama 22 hari.
Beliau berkata kapal itu
dilengkapi pelbagai alat perhubungan dan sistem pengesan yang boleh memberikan
kedudukannya sepanjang masa namun sehingga kini ia gagal dikesan.
Katanya operasi SAR besar-besaran
melibatkan 10 buah kapal, tiga bot dan satu pesawat milik APMM dan Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) dengan kira-kira 1,500 anggota yang meliputi kawasan
pencarian seluas 50,000 kilometer persegi diyakini akan membuahkan hasil
sedikit masa lagi.
"Jika keadaan cuaca baik ia
akan berada pada kelajuan konsisten. Kalau kapal menuju ke utara, pada ketika
ini ia dijangka berada di perairan Vietnam ,
kalau ke timur ia akan berada di perairan Sabah .
"Tetapi jika sebelum sampai
perairan Sarawak ia (kapal) belok ke kanan ia akan ke Pontianak
(Kalimantan) atau lebih jauh ke Tanjung Priok berhampiran Jakarta ," jelasnya.
Ahmad Puzi juga tidak menolak
kemungkinan kapal itu bersembunyi di perairan kepulauan Anambas dan Natuna (Indonesia ).
Sehubungan itu APMM dan TLDM
telah membuat sekatan di semua laluan keluar daripada perairan negara ,
katanya.
Katanya APMM juga telah berhubung
dengan semua pihak berkuasa negara-negara ASEAN serta mendapatkan kerjasama
Amerika Syarikat dan Australia
bagi menjejaki kapal itu.
Beliau berkata kehilangan kapal
MT Orkim Harmony adalah kes keempat di Laut China Selatan pada tahun ini dengan
tiga daripada kes itu merupakan rompakan.
Katanya APMM menyiasat kes
kehilangan kapal itu daripada semua sudut termasuk latar belakang anak kapal
serta laluan kapal tersebut.
Sehubungan itu beliau menggesa
semua syarikat perkapalan untuk membuat laporan kepada pihaknya secepat mungkin
sekiranya berlaku kecemasan atau kehilangan kapal bagi memudahkan pencarian.
Berikut senarai anak kapal MT
Orkim Harmony:-
Nor Fazly Sahat, 39 (Kapten)
Mohd Kholil Ashari Mohd Rozar, 27
Mohd Awis Aiman Abdullah, 26
Mohd Nur Firdaus Nawawi Akihito,
24
Ooi Jan Tong, 64
Nurul Hafis Abdul Rauf, 34
Khaw Hock Aun,61
Muhammad Hasren Ellaney Mohd
Nasir, 24
Ariff Adnan Mohd Tajudin, 24
Nor Zaini Ahmad Bustaman, 22
Osman Khalid, 23
Amirul Azim Zabarudin, 21
Mohd Ridzuan Suhaimi, 23
Mohamad Adib Jamaludin, 22
Tan Chee Hau, 23
Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 20
Bambang Suryawan, 43
Iwan Asriadi, 39
Nelson Hasiholan Sitorus, 35
Ntan Kombongan, 30
Mawit Matin, 46
Myint Oo, 49
No comments:
Post a Comment