Melanggar persepsi selepas muktamar
Timmy Say
Penulis adalah seorang jurutera
semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka
mengikuti perkembangan politik Malaysia
Published: 15 June 2015
Melihat persepsi yang cuba dibentuk
di minda rakyat selepas Muktamar PAS ke-61, di sini saya ingin memberikan
beberapa hujah balas terhadap beberapa isu yang dibangkitkan.
Pakatan Rakyat (PR) retak kerana barisan kepimpinan PAS yang baru?
Tidak. Hakikatnya, PR sudah retak
berkecai di bawah kepimpinan PAS yang lalu yang kononnya mempunyai majoriti AJK
yang pro-PR.
Kepimpinan PAS yang lama juga
tidak berjaya menghalang DAP daripada membuat atau menarik satu keputusan
janggal untuk memutuskan hubungan dengan presiden PAS, tetapi masih mengekalkan
hubungan dengan PAS.
Berdasarkan keputusan DAP,
sepatutnya mereka yang dikatakan bermaruah dan berprinsip di dalam PAS
(meminjam kata terhangat minggu lalu) sudah pun meletakkan jawatan dari
kerajaan Pulau Pinang atau PAS. Mereka perlu memilih antara satu.
Bagaimana seseorang boleh duduk
di dalam kerajaan Pulau Pinang tatkala mereka mengaku Presiden PAS masih ketua
mereka sedangkan DAP sudah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS? Jika mereka
bersetuju dengan DAP pula, bagaimana mereka masih boleh terus bersama PAS
sedangkan PAS masih diterajui presiden PAS?
Namun ketika itu, tiada siapa
yang meletak jawatan di kerajaan Pulau Pinang mahu pun di dalam PAS – dan tiada
siapa yang menuduh mereka yang terus kekal dalam kerajaan Pulau Pinang sebagai
manusia tidak berprinsip mahupun bermaruah. Malah tiada siapa yang terus keluar
kenyataan bertubi-tubi meminta mana-mana ahli PAS untuk berundur dari kerajaan
Pulau Pinang jika masih mahu bekerjasama dengan presiden PAS.
Kepada mereka yang tidak berasa
janggal dengan keputusan DAP pada bulan Mac yang lalu, mereka juga tidak
perlulah berasa janggal dengan usul Dewan Ulama PAS yang menggesa Majlis Syura
untuk membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP tapi terus kekal dalam
PR dengan PKR.
Lagipun, PAS belum dapat membuat
keputusan muktamad kerana Majlis Syura hari ini tidak dapat lagi bersidang
kerana sudah tamat tempoh.
Bagi yang merasakan DAP boleh
bekerjasama dengan sebilangan pemimpin PAS tapi tidak sebilangan pemimpin PAS
yang lain, tidak perlulah berasa janggal kalau PAS boleh terus bekerjasama
dengan PKR tetapi tidak bukan dengan DAP di dalam kerangka PR. Betul tidak?
Kerajaan Pulau Pinang ialah kerajaan DAP?
Tidak. Di Pulau Pinang terdapat
40 kerusi DUN. DAP hanya mempunyai 19 kerusi. PKR mempunyai 10. PAS mempunyai
1. DAP hanya boleh membentuk kerajaan Pulau Pinang
dengan persetujuan PKR. Ini berbeza dengan kerajaan Kelantan di mana PAS boleh
membentuk kerajaan sendiri tanpa DAP dan PKR. Oleh itu, kerajaan Kelantan boleh
disebut sebagai kerajaan PAS.
Oleh itu, kerajaan Pulau Pinang
bukan kerajaan DAP, tetapi ia sebuah kerajaan PR yang majoriti kerusinya
dimiliki DAP. DAP jangan lupa PKR juga duduk dalam kerajaan Pulau Pinang.
Sepatutnya apa jua kerajaan Pulau Pinang, DAP perlu mendapatkan persetujuan PKR,
kerana tanpa PKR, tiadalah kerajaan Pulau Pinang yang dimenangi bersama oleh
PR. Tetapi kadang-kadang kuasa itu boleh menyebabkan seseorang itu lupa diri.
Jika Majlis Syura bersetuju
dengan Dewan Ulama, maka PAS hanya berpisah dengan DAP, tetapi PAS tetap
meneruskan kerjasama dengan PKR. DAP tidak boleh memaksa PAS mahupun PKR untuk
memutuskan hubungan sesama sendiri. Apakah kerana DAP dan PAS putus cinta, maka
DAP hendakkan PKR juga memutuskan hubungan dengan PAS? Takkanlah sebuah parti
demokrasi bersifat diktator sampai tahap sebegitu?
Professional tewas, ulama menang?
Tidak. Professional tidak tewas.
Yang tewas ialah majoriti kepimpinan yang lama.
Jadi, mengapa kepimpinan lama
tewas?
Perbezaan utama pemilihan PAS
kali ini berbanding pemilihan yang lain ialah wujudnya dua gelombang yang
terhasil daripada laporan-laporan mengenai pencalonan kawasan-kawasan.
Sebelum ini, media, orang awam
dan juga perwakilan tidak akan tahu dan diberikan maklumat mengenai jumlah
pencalonan mana-mana calon yang bertanding. Ini memberikan keadilan kepada
perwakilan untuk menilai calon-calon yang layak secara objektif tanpa
dipengaruhi jumlah pencalonan yang diterima mana-mana calon.
Namun, tradisi ini dipecahkan
oleh PAS Kota Baru pada 9 Mac – di mana ia sengaja mengadakan sidang media
untuk mengumumkan ia mencalonkan Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bertanding presiden PAS.
Tindakan PAS Kota Baru kemudian
diikuti beberapa kawasan lain yang mengadakan mesyuarat agong lebih awal dan
mengumumkan kepada media mereka turut mencalonkan calon lain untuk bertanding
presiden PAS mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dengan bantuan media, keputusan
mengumumkan pencalonan beberapa kawasan awal mewujudkan satu persepsi wujudnya
gelombang besar di dalam PAS yang menginginkan perubahan pada tampuk kepimpinan
PAS.
Persepsi ini diperkuatkan lagi
oleh kenyataan-kenyataan yang dilakukan PasMa sebelumnya dan mencapai
kemuncaknya apabila DAP, pada 24 Mac, mengumumkan keputusan janggalnya untuk
memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, tetapi tidak dengan PAS.
Mereka yang mempercayai persepsi
yang dibina ini terus menekan kerana merasakan peluang mereka untuk berjaya
adalah besar. Politik ialah mainan persepsi, dan suka mahupun tidak, tindakan
DAP yang tepat pada waktunya menimbulkan persepsi DAP cuba
mempengaruhi pemilihan PAS kali ini.
Bagaikan spring yang ditekan,
maka kawasan-kawasan yang ingin mengekalkan kepimpinan Hadi pula mula
mengumumkan keputusan pencalonan mereka. Tindakan mereka adalah untuk melawan
persepsi yang cuba
dibentuk.
Perbezaan besar jumlah pencalonan
yang diterima antara pencabar Hadi dan dirinya akhirnya mewujudkan satu
gelombang mempertahankan kepimpinan Hadi. Gelombang ini jauh lebih besar
daripada gelombang untuk menukarnya. Ini yang menjadi faktor penentu di
Muktamar PAS pada Jun 4 yang lalu dan menyumbang kepada lahirnya tsunami untuk
menukarkan kepimpinan baru di semua peringkat PAS.
Renungkan apakah semua ini akan
terjadi kalau tiada stunt daripada PAS Kota Baru?
Siapa yang patut bertindak dulu, PAS atau DAP?
Kejayaan Hadi mengekalkan kerusi
Presiden PAS bererti keputusan janggal DAP bulan Mac yang lalu untuk memutuskan
hubungan dengan beliau di samping mengekalkan hubungan dengan PAS terus kekal.
Sepatutnya mereka yang menyindir
PAS tatkala DAP terus mendesak PAS untuk mengeluarkan diri daripada kerajaan
Pulau Pinang sebelum Majlis Shura bersidang
juga perlu menyindir DAP kerana masih belum mengambil apa-apa tindakan daripada
keputusan mereka di bulan Mac yang lalu. Betul tak?
Begitulah hujah melanggar
persepsi umum daripada saya. Para pembaca
tidak perlu bersetuju dengan saya, kerana saya mengerti apa yang dimaksudkan
dengan dasar setuju untuk tidak bersetuju. – 14 Jun, 2015.
- Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment