NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Monday 25 January 2016

CHINA CABAR AMERIKA SYARIKAT SEBAGAI KUASA KETENTERAAN DUNIA



China cabar Amerika Syarikat sebagai kuasa ketenteraan dunia
11 Januari 2016 12:47 AM


KESELAMATAN dan kesejahteraan sesebuah negara bukan semata-mata bergantung kepada politik dan ekonomi, namun turut dinilai berdasarkan sistem pertahanan yang kukuh.

Sistem pertahanan yang kukuh pula dinilai berdasarkan kekuatan pasukan ketenteraan yang merangkumi jumlah anggota tentera, pemilikan dan kecanggihan senjata, serta kuasa tenaga nuklear yang kini menjadi saingan antara negara kuasa besar dunia.

Malah, agensi risikan juga berperanan penting dalam kejayaan pelbagai fungsi ketenteraan.

Menurut senarai yang dikeluarkan penyedia data terkini kuasa ketenteraan dunia, Global Firepower (GFP) tanpa mengambil kira kekuatan nuklear yang dimiliki sesebuah negara, Amerika Syarikat (AS) masih kekal berada di kedudukan teratas sekali gus menjadi negara paling kuat daripada segi ketente­raan pada masa ini.

Kelebihan AS ternyata didorong oleh aset pertahanan yang dimiliki dan juga faktor kewangan apabila kerajaan pimpinan Presiden, Barack Obama itu memperuntukkan kira-kira AS$577 bilion (RM2.2 trilion) sebagai bajet pertahanannya, tahun lalu.

Dari sudut aset ketenteraan, AS masih melebihi negara-negara lain apabila memiliki 13,892 buah pesawat, 2,797 jet pejuang, 6,196 buah helikopter, dan 72 buah kapal selam.

Namun, dari segi jumlah keanggotaan, tentera China mendahului AS apabila mempunyai kira-kira 2.3 juta anggota yang masih aktif berbanding AS dengan hanya 1.4 juta anggota tentera.

Dalam masa sama juga, China dilihat bakal mencabar kekuatan AS apabila memiliki aset pertahanan yang lebih hebat termasuklah memiliki 6,426 meriam serta kelengkapan maritim antaranya termasuk kapal pemusnah, kapal selam serta kapal peronda sebanyak 2,030 berbanding AS yang hanya memiliki 300 kelengkapan.

Pada masa ini, keadaan dunia yang berdepan keadaan ‘huru-hara’ memberi peluang kepada China untuk menonjolkan diri. Bilangan rakyat China yang semakin ramai, kecanggihan dalam bidang teknologi, dan kedudukan geografinya yang unik adalah faktor yang mampu membawa China mendominasi dunia.

China mula membangun sejak 1978 melalui sektor sains dan teknologi yang didorong oleh kepentingan ketenteraan.

Pembangunan itu bermula sejak zaman pemerintahan Mao Zedong pada tahun 1945. Beliau menginginkan pembangunan ketenteraan yang kuat mengatasi segala-galanya.

Kuasa yang dimiliki oleh China hari ini dilihat bakal menjadi satu kuasa yang mampu menstabilkan kuasa dominan yang dimiliki AS dan negara-negara kuasa besar yang lain.

Jadi tidak mustahil China mampu mendominasi dunia pada satu masa nanti, sekali gus ‘menjatuhkan’ AS.

Keupayaan China dari segi teknologi moden dan pengamalan sistem pintu terbuka mampu membentuk China sebagai kuasa utama dunia dan memberi persaingan yang hebat kepada negara-negara kuasa besar yang lain.

Oleh itu, tindakan pemimpin China dalam melakukan pembaharuan dari segi penstrukturan semula ekonomi dan bidang ketenteraan juga perlu dipandang serius kerana langkah-langkah tersebut merupakan tindakan mewujudkan sebuah kuasa baharu di dunia.

Begitu juga Rusia yang berkemungkinan menjadi negara yang mempunyai kuasa ketenteraan terbesar di dunia dengan simpanan senjata nuklear dan peralatan senjata yang canggih.

Secara keseluruhan, Rusia berada di tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan GFP apabila mempunyai 766,000 anggota tentera, hampir separuh daripada bilangan keseluruhan anggota tentera AS.

Dari segi senjata nuklear, Rusia sedikit ketinggalan di belakang AS.

Menurut statistik yang diperoleh BBC, Rusia mempunyai sebanyak 10,000 unit peledak nuklear, diikuti AS (8,500), Perancis (300), China (240), dan United Kingdom (225).

Selain itu, kehebatan Rusia terbukti melalui pemilikan peluru berpandu SS-18 Satan yang mampu mencapai jarak sejauh 16,000 kilometer, diikuti China dengan DF-5A yang mampu sampai pada jarak 13,000 kilometer, manakala AS dengan Trident D5 boleh menjangkau jarak 11,300 kilometer.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”