NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Sunday 1 November 2015

SAAT-SAAT KEMENANGAN DI HADAPAN



BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 05 Jun 2015

UCAPAN DASAR PRESIDEN PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)
Muktamar Tahunan PAS ke – 61 2015

Yang dihormati Dato’ Pengerusi Tetap, YBhg. Sohibul Fadhilah Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din Mursyidul ‘Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), YAB Dato’ Timbalan Mursyidul Am, Ashab al-Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda, Muslimat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Dato’ Setiausaha Agung dan seluruh Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, NGO, seluruh para perwakilan dan pemerhati, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekelian.

Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bi kum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua para perwakilan dan tetamu yang memeriahkan Muktamar Agung Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang julung kali bertandang ke Kuala Selangor pada tahun 2015 ini. Marilah dengan penuh yakin kita memohon kepada Allah SWT akan keberkatan dan fadhilat, serta pahala yang berlipat ganda daripada kelebihan ribat fi sabilillah, kerana keyakinan terhadap dasar dan matlamat perjuangan kita.

Muktamar kita kali ini diadakan dalam suasana kita kehilangan murabbi parti dan ummah yang begitu banyak jasanya kepada perjuangan Islam di tanah air kita, al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada malam 22 Rabiul Akhir 1436 Hijriah bersamaan 12 Februari 2015 yang baru sahaja berlalu. Marilah kita sama-sama mendoakan agar roh beliau dan pimpinan serta ahli parti yang telah kembali ke rahmatullah agar ditempatkan di kalangan para syuhada dan solihin. Al-Fatihah.


MENGANGKAT TEMA MUKTAMAR

1. Marilah kita sama-sama menghayati dan memahami firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan umatnya yang beriman dan setia:

(Beristiqamah kamu (wahai Muhammad SAW) dan sesiapa yang bertaubat bersama mu dan jangan sekali-kali kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Melihat apa-apa yang kamu amalkan. Dan jangan sekali-kali kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, nanti kamu disentuh oleh api neraka, dan tidak ada penolong bagi kamu selain Allah. Kemudian kamu tidak diberi pertolongan)


2. Muktamar Agung Tahunan kali ke-61 pada tahun ini mengangkat tema “BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”. Istiqamah adalah bermaknatetap berada di atas dasar, amalan dan perjuangan yang benar daripada Allah, iaitu Islam yang sempurna, tetap dalam perkara prinsip dan anjal dalam pelaksanaan di sepanjang zaman. Ianya bukanlah satu retorik untuk mencapai kemenangan dunia yang sementara, tetapi yang paling besar ialah kemenangan akhirat yang berkekalan


3. Kemenangan adalah menjadi matlamat dalam setiap perjuangan. Islam mempunyai konsepnya yang tersendiri mengenai maksud “kemenangan”, dan ianya adalah berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama atau ideology serta fahaman lain. Kemenangan juga hendaklah dikaitkan dengan kemenangan di akhirat yang merupakan kemenangan yang sebenar. Walaupun pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan. Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.


4. Marilah kita menghayati apa yang di firmankan oleh Allah SWT:


 A014


"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putra Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: Kami lah penolong-penolong agama Allah, lalu segolongan dari Bani Israel beriman dan segolongan (yang lain) kafir; maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." [As-Sof : 14]

Firman Allah lagi;


 A100


"Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun rida kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” [at-Taubah : 100]


5. Tema “istiqamah” diangkat sekali lagi dalam muktamar kali ini bagi menegaskan betapa pentingnya “istiqamah” dalam perjuangan Islam yang sangat mencabar, sehingga ada yang terhenti di pertengahan jalan, ada yang tercicir dan terpesong, dan sebilangan terus bersama dengan jemaah ini sehingga ke akhir hayat mereka. Istiqamah inilah yang menjadi doa kita semua agar hidup kita berakhir dengan husnul khatimah. Ingatlah apa yang dinyatakan oleh Allah SWT;


A042


"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak berapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: ""Jika kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu"" Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” [at-Taubah : 42]


Istiqamah di atas prinsip dan dasar PAS


6. Ingin saya memperingatkan para hadirin sekelian, bahawa apa sahaja yang kita bicarakan dalam memandu perjuangan ini hendaklah merujuk kepada panduan yang menyeluruh dari al-Quran dan as-Sunnah, serta memahami bahawa PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengambil jalur tarbiyah, dakwah dan siyasah. Manakala Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum tertinggi bagi PAS adalah al-Quran, Hadis, Ijma’ Ulama dan Qiyas.


7. Inilah yang membezakan kita dengan suara demokrasi Barat yang melaungkan slogan Suara Rakyat Suara Keramat, Hidup Rakyat, atau pun kita mengikut kehendak rakyat yang jahil atas nama demokrasi, sehingga melanggar sempadan Allah.


8. Maka Muktamar dan musyawarah kita adalah syura yang tidak boleh mengatasi hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS. Inilah pegangan PAS yang wajib difahami dan dipegang oleh semua pimpinan dan ahli. Konsep ini tidak ada pemisahan di antara ulama dan para ilmuan dalam apa jurusan sekalipun. Inilah yang membezakan kita dengan pihak lain. Maka PAS wajib memelihara jati dirinya sendiri dalam semua keadaan. Laksana ikan yang tidak menjadi masin, walau pun berada dalam lautan masin yang luas mengelilinginya.


9. PAS menegakkan konsep demokrasi beraqidah Islam bertuhankan Allah Yang Maha Esa. Bukan demokrasi barat yang bertuhankan manusia walau sebijak 10. Kita ingin tegaskan sekali lagi pada hari ini, bahawa PAS tidak mengamalkan konsep Teokrasi yang mempertuhankan ahli agama sebagai pencipta peraturan dan dasar yang tidak boleh dipertikaikan. Kita menolak konsep teokrasi berpandukan peringatan Allah.

“Mereka jadikan para paderi dan pendita, tuhan-tuhan yang lain daripada Allah.”


11. Golongan ahli kitab itu menjadikan para pendita dan rahib mereka sebagai pembuat dasar yang bercanggah dengan hukum Allah serta mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah. Firman Allah:


A021


“Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (dilantik menjadi tuhan) kepada mereka, yang berkuasa mengadakan hukum syariat dalam apa-apa perkara yang tidak diizin Allah ,dan kalaulah tidak kerana adanya keputusan yang difirman Allah, sudah tentu meraka sudah dihukum di kalangan mereka. Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu disediakan kepada mereka azab yang sangat menyeksakan.” [as-Syuura : 21]


Istiqamah menolong agama Allah


12. Istiqamah juga menjadi menjadi syarat mendapat pertolongan dari Allah SWT, dengan kita berpegang kepada tiga prinsip yang utama:

i. Berpegang dengan Islam
iii. Tidak terpengaruh dengan mereka yang zalim


13. Ketiga-tiga prinsip ini adalah bagi mencapai kemenangan yang luas berkekalan, sepanjang dunia hingga akhirat. Memberi kebahagiaan bagi diri, keluarga dan masyarakat. Kita mahu berjaya di dunia ini sehingga memerintah Negara berkebajikan terhadap rakyat dan mengurus alam, melalui pertolongan Allah Rab‘Alamin. Firman Allah SWT:


وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
A041


“Dan Allah pasti menolong sesiapa yang menolong (agamanya) dan sesungguhnya Allah itu Maha kuat Lagi Maha Perkasa. Orang-orang yang kami berikan kepada mereka kuasa memerintah, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah sahaja akibat (penentu kesudahan segala perkara dengan ganjaran pahala dan balasannya.”


14. Oleh itu, adalah tersangat penting untuk kita mengukuhkan keaslian jalan tindakan kita dalam menegakkan Islam di tanahair kita ini. Islam yang kita bawa pula adalah berteraskan Aqidah, Syariat dan Akhlak, dan tidak memisahkan urusan dunia dengan agama. Islam yang sempurna sehingga mampu menunaikan tugas dan matlamat kejadian manusia untuk : 
(1) Beribadah, 
(2) Berkhilafah dan 
(3) Menunaikan amanah.


15. Hal ini menuntut kita berpegang kukuh di atas dasar, matlamat dan cara yang benar, tanpa terpesong daripada landasannya, dengan cara dan adab yang betul. Kita juga tidak boleh jumud atau melampaui batas, tidak terpesong ke kanan atau kiri dan tidak berundur ke belakang, tidak juga melampau sehingga terjerumus ke lembah yang membinasakan.


Istiqamah Mengukuhkan Kepimpinan Ulama, Mengangkat Peranan Professional

16. Islam ini dipelihara Allah dalam kitab al-Quran yang tidak boleh diselewengkan. Sunnah Rasulullah SAW pula dijaga ilmu dan cara amalannya oleh para ilmuwan Islam yang dinamakan para ulama. Mereka perlu mewarisinya dengan benar dan amanah, sebagaimana yang ditegaskan oleh sabda Rasulullah SAW:



“Sesungguhnya para ulama itu adalah para pewaris pusaka (peninggalan para anbiya). Mereka (para anbiya) itu tidaklah meninggalkan pusaka mata wang dinar (duit emas) dan dirham (duit perak). Sesungguhnya mereka meninggalkan pusaka ilmu (daripada wahyu dan hikmah Rasulullah SAW. Maka sesiapa yang menerimanya nescaya dia mendapat bahagian yang banyak).


17. Para Rasul yang menegakkan negara besar, seperti Nabi Daud A.S., Nabi Sulaiman A.S. dan Nabi Muhammad SAW, dan pengikut Rasul seperti Zulqarnain, semuanya meninggalkan pusaka ilmu Islam yang dipelihara Allah. Mereka tidak meninggalkan tamadun kebendaan seperti Namrud dan Firaun, supaya manusia mengambil iktibar, dan bukannya berbangga dengan kesan jahiliyah itu.


18. Maka PAS meletakkan kepimpinan ulama bagi memelihara asas dan matlamat Islam yang kukuh bersama warisan ilmu daripada hidayah Allah. Semua keperluan yang lain yang menjadi urusan duniawi juga wajib beristiqamah di atas yang mampu memahami nas dan mampu berijtihad dalam perkara yang tidak terpesong daripada Islam.


19. Di zaman mutakhir ini, ijtihad perlu diwujudkan secara jama’ei (kolektif). Inilah landasan Islam. Maka para ulama feqah mewajibkan kepimpinan berilmu Islam ada nas dalam urusan dunia yang menjadi jambatan akhirat, sehingga tidak tujuannya diwujudkan Majlis Syura Ulama, yang menggabungkan para ulama dalam berbagai bidang ilmu Islam daripada kalangan kepimpinan PAS sehingga mampu mencapai tujuan nas dan berijtihad dalam perkara yang tidak ada nas.Para ilmuan dalam jurusan yang lain wajib diambil kira kepakaran masing-masing dalam membuat ijtihad.


20. Golongan profesional adalah tenaga yang sangat penting dalam parti, sebagaimana pentingnya golongan ulama dan aktivis parti. Bahkan kita menerima siapa sahaja yang ingin menyumbang kepada kemenangan Islam. Jangan ada di kalangan kita yang terperangkap dengan mainan musuh yang cuba memecahbelahkan kita dengan melontarkan slogan pengasingan antara ulama dan professional.


21. Sejarah PAS tersangat jelas, di mana kedua-dua golongan ini berganding bahu menubuh dan menggerakkan PAS hingga ke hari ini. Gagasan kita jelas dalam puluhan muktamar, bahawa kitalah yang menggerakkan usaha mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulama.


22. Para profesional dalam PAS telah dan secara berterusan memberikan sumbangan kepada parti samada dalam bidang ekonomi, pembangunan dasar dan polisi, strategi, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Kesemua ini adalah mutiara indah yang menjadi khazanah berharga dalam PAS di atas pengorbanan mereka untuk bersama memenangkan perjuangan Islam.


23. Sebenarnya tidak ada pemisahan di antara ulama dan profesional dalam bahtera PAS. Apa yang berlaku adalah kita berdepan dengan tempias sekularisma yang diwujudkan untuk penghalang kebangkitan Islam, yang cuba membolos ke dalam saf gerakan Islam. Usaha sebegini dilakukan oleh musuh Islam di seluruh pelusuk dunia, dengan mengambil kesempatan daripada kelemahan yang wujud dalam saf kebangkitan Islam terkini. Maka di sana wujud kalangan yang mahu menang secara cepat dan tergopoh-gapah, berjuang secara tasahul dan tasyaddud.


24. Kalangan berjuang secara tasahul, ingin menceduk setiap perkembangan yang berlaku daripada luar Malaysia, seperti Revolusi Islam Iran, AK Turki, Ikhwan dan Hizbu al-Nahdhah di negara Arab, tanpa melihat perbezaan waqie’ di bumi tempat kita berpijak. Sedangkan kita di tanahair ini telah jauh bergerak ke hadapan dalam matlamat memurnikan aqidah dan amalan masyarakat Islam ke jalan yang tulen berbanding dengan suasana masyarakat di tempat rakan rakan kita di luar sana. Mereka adalah rakan-rakan seperjuangan kita tetapi di bumi yang berbeza dan waqie yang juga berbeza.


25. Manakala dari kalangan yang kedua pula iaitu ber tasyaddud, iaitu mahu melaksanakan Islam dalam sekelip mata, atau menang secara cepat tanpa pilihan raya seperti Taliban, al-Qaeda dan ISIS atau DAAISH. Kumpulan ini jugamelibatkan kalangan ulama dan ilmuan yang bersemangat Islam tetapi tidak feqah dalam harakah Islamiyyah dan perlu dinasihati dan dibimbing.


26. Bagi mendepani berbagai mehnah, ujian, kekalahan dan kejayaan di sepanjang perjalanannya pada waktu ini, ada tiga sudut yang ingin ditekankan dalam halatuju PAS untuk tempoh setahun ini. Ianya adalah, (1) Istiqamah PAS dengan dasar; sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini; (2) Mempertegaskan bahawa PAS membawa mesej Islam, di mana semua urusannya berkait adalah dengan, Islam; dan (3) Mengadakan semua pedekatan dengan pihak lain mengikut panduan al-Quran dan Sunnah, seperti Tahaluf Siyasi, Ta’awun, Dialog dan lain-lain.


Hubungan Semua Urusan dengan Islam

27. Al Quran meletakkan sifat mendapat kuasa untuk memerintah negara (Tamkin), juga meletakkan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan seluruh aspek hendaklah berkonsepkan : Mendirikan sembahyang; di mana kepada kerajaan Islam bukan sekadar mendirikan masjid dengan bangunannya sahaja, tetapi perlembagaan, undang-undang negara dan pengurusannya adalah sebahagian daripada urusan agama yang termasuk dalam perhitungan dosa dan pahala.



“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta member zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (al-Haj : 41)


28. Maka di sinilah penghujung wawasan yang menentukan kemenangan yang besar sekiranya kita beristiqamah, bukan sekadar wawasan 2020 dan bukannya berhenti sekadar di Putrajaya. Wawasan kita ialah kemenangan dunia yang dekat dan kemenangan paling besar di akhirat. Inilah juga perbezaan kita dengan semua pihak yang lain sama ada kawan atau lawan.


29. Generasi awal zaman keemasan umat ini telah menjadi contoh, bukan sahaja mencapai kemenangan menegakkan negara di Madinah, selepasnya pula mereka melakukan Futuhat Islamiyyah, di mana Islam yang dibawa bukan sahaja menguasai wilayah yang luas bahkan membuka hati-hati manusia di negeri yang diperintah oleh Islam. Kedatangan yang membezakannya dengan penaklukan dan penjajahan. Bermakna kemenangan membawa rahmat dan adil terhadap semua. Bukannya membalas dendam dan zalim. Kemenangan membawa amanah bukannya mendapat peluang berkuasa semata-mata.


Pendekatan dengan pihak luar dari PAS

30. Sejarah PAS sejak dari tahun 1951 lagi, mencatatkan bahawa kita telah dan sedang melaksanakan berbagai pendekatan yang dirujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam kita menerokai siyasah. Maka kita melaksanakan Tahaluf, Ta’awun, Dialog, dan berbagai pendekatan lainnya.


31. Aspek Tahaluf siyasi atau kerjasama politik adalah merupakan dasar yang telah melalui satu perbincangan para ulama dan diterima oleh PAS sejak berpuluh tahun lalu. Sejarah panjang perjuangan PAS meyaksikan bagaimana PAS telah melakukan kerjasama politik dengan Parti Negara yang di asaskan oleh Dato Onn Jaafar bila mana beliau keluar dari parti UMNO yang diasaskannya. Demikian juga PAS menyertai Kerajaan Campuran dan BN selepas pergolakan politik tahun 1969, Majlis Perunding Ekonomi Negara bersama Angkatan Perpaduan Ummah 1990, bersama dengan PKR dan DAP tahun 1999 dalam Barisan Alternatif dan kini bersama Pakatan Rakyat yang di asas pasca pilihan raya umum 2008.


32. Sejarah ini membuktikan bahawa PAS bukanlah sebuah parti yang tertutup, atau juga bukan parti yang hanya menghafal hukum-hukum feqah semata-mata sehingga tidak memahami waqie politik negara. Namun kesemua ini dilakukan melalui kaedah - kaedah yang dibenarkan syarak dan syarat-syarat yang tidak mengikat kita untuk membawa Islam. Perlu kita ingat, bahawa apa sahaja persepakatan yang mengikat PAS untuk meninggalkan perjuangan dan agenda Islam yang dibawa adalah tidak boleh diikuti sama sekali.


33. Sepanjang sejarah tahaluf dan lain-lain, kita sering memperingatkan pimpinan dan ahli agar memelihara batas tahaluf, menjaga prinsip dan dasar perjuangan, memelihara ketaatan kepada parti agar tidak terlalu ghairah sehingga meninggalkan prinsip dan dasar perjuangan. Allah Taala menguji kita dengan sedikit kemenangan, namun jangan kita terlalai dengan kemenangan sehingga lupa amanah untuk menegakkan agama dan memastikan dunia diurus tadbir dengan peraturan agama.


34. Maka sebagaimana yang berkali-kali diperjelaskan sebelum ini, bahawa PAS melaksanakan tahaluf siyasi bersama PR ini adalah dalam perkara-perkara yang dipersetujui bersama, seperti - menentang kezaliman, rasuah, ketirisan, urustadbir telus dan lain - lain yang menjadi titik pertemuan. Agenda ini kita rangkakan sebagai panduan, sebagai perkara yang dipersetujui dalam Polisi Bersama PR.


35. Manakala perjuangan yang menjadi agenda yang berbeza yang sudah tentunya tiada dalam Polisi Bersama, adalah menjadi perjuangan parti masing-masing. Sebab itulah, walaupun kita tahu parti kawan kita adalah memperjuangkan perlembagaan sekular, yang tentunya sangat bercanggah dengan dasar PAS, tetapi PAS tidak pernah meminta mereka mengkaji dan membawa dasar secular ini dalam perbincangan. Apatah lagi kita tidak pernah mencampuri siapa yang patut atau tidak patut berada dalam kepimpinan parti masing-masing, walau kita diserang siang dan malam.


36. Oleh yang demikian, PAS akan terus dan tetap melaksanakan Tahaluf Siyasi

bersama Pakatan Rakyat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah. Tentunya dalam masa yang sama kita wajib berhati-hati dengan peringatan Allah SWT dalam al-Quran; yang sangat jelas peringatannya; firman Allah SWT:


“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu) dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu) dan kepada Allah jualah tempat kembali.”



MEMBANGUN NEGARA MALAYSIA

Menentang kezaliman dengan pendekatan demokrasi

37. PAS memilih pendekatan muwajahah silmiyyah melalui proses demokrasi yang tidak melampau dan hanyut, menentang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa, kedudukan, rakyat dan harta. Perjuangan kita berkonsepkan hadis Rasullullah SAW:

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Mereka berkata: Wahai Rasulullah !, yang dizalimi ini kami menolongnya, bagaimana pula menolong yang zalim. Sabdanya: Pegang tangannya supaya jangan berlaku zalim.”

38. Kita menentang kezaliman itu dengan memberi nasihat yang diberi kelebihan Jihad Akbar. Tegasnya sabda Rasulullah SAW:

“Jihad paling afdal ialah ucapan menegakkan yang adil di hadapan pemerintah yang zalim.”


39. Inilah pendekatan yang wajib dilaksanakan dalam masyarakat Islam di tanahair sendiri yang tenggelam dalam kejahilan setelah mengalami kesan penjajahan, sehingga meletakkan Islam tidak berkuasa memimpin dengan istiqamah. Keadaannya sangat berbeza dengan suasana menghadapi musuh luar yang menceroboh tanah air. Kewajipan kita ialah membetulkan pemimpin dan rakyat supaya kembali kepada Islam dengan beristiqamah.


40. Maka pendekatan demokrasi adalah paling aslah bagi kita, walau pun masih banyak kepincangan dan kecacatan yang menyulitkan kita untuk mencapai kejayaan dengan cara yang baik. Ini adalah kerana kejahatan wujud dengan berlesenkan demokrasi yang tidak adil. Antara kezalimannya ialah, keadaan demokrasi tempang tanpa hak media, pembahagian kawasan pilihanraya yang menzalimi PAS secara khusus, tidak beramal dengan konsep Federalisma yang lebih demokratik, khusus terhadap kerajaan yang dipimpin oleh PAS.


41. Maka kita wajib beristiqamah menentang kezaliman ini, tanpa melakukan perkara yang zalim juga terhadap rakyat dengan tindakan-tindakan yang melampaui batas yang diajar oleh Islam. Atau melakukan perkara yang member pulangan mudarat yang lebih besar. Inilah makna pelaksanaan Feqah Aulawiyyat yang sebenar.


Membela masyarakat peneroka dan luar bandar

42. PAS merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Felda, Generasi Kedua dan Ketiga yang telah menunjukkan isyarat jelas dalam PRK Rompin baru- baru ini. Pencapaian yang boleh dibanggakan hasil kerja keras seluruh ahli dan pimpinan parti, bagi mengangkat martabat warga Felda. Isu yang melibatkan kebajikan dan hak warga Felda seperti kadar Gred Perahan, kos Tanam Semula yang begitu tinggi, isu Koperasi Permodalan Felda (KPF), serta kedudukan saham FGV yang kini menjunam hampir sekali ganda menambahkan lagi bebanan kepada warga Felda.


43. Termasuklah isu Perumahan Rumah Generasi Kedua dan Ketiga yang gagal disediakan, manakala yang telah dibina pula tidak mampu dibeli oleh mereka. Kerajaan sepatutnya mengatasi masalah mereka dan bukannya menambah


44. PAS juga kesal kerana kerajaan gagal menunaikan tanggungjawab untuk mengganti Tanah Rezab Melayu yang telah digunakan bagi tujuan pembangunan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara. Begitu juga kampung tradisi dan Peneroka Bandar, samada tanah yang mempunyai hak milik atau bersifat sementara (Tol) turut menjadi mangsa seperti Kampung Abdullah Hukum, Kerinci, Kampung Chubadak Tambahan dan Puah Seberang.


45. Kesemua isu-isu yang melanda masyarakat peneroka dan rakyat ini, menuntut supaya PAS melipat gandakan usaha untuk membela dan membantu golongan yang dizalimi ini. Sasaran kita biarlah jelas, kerana kita bukan bermusuh dengan institusi Felda atau mana-mana institusi yang lainnya, dan kita juga tidak bermusuh dengan mana-mana kakitangan institusi ini, tetapi kita menggempur dasar yang menekan rakyat, bersama pimpinan BN yang tidak bersifat amanah ini. Felda adalah hak rakyat negara ini yang perlu diperbetulkan kaedah pengurusannya.


Mengolah Masyarakat Majmuk

46. Beristiqamah dengan Islam membolehkan kita menyelesaikan masalah masyarakat majmuk. Masalah masyarakat majmuk ini dipaksakan oleh penjajah, kerana berbagai kaum yang datang dipaksa oleh penjajah menjadi hambanya, namun secara kebetulannya inilah mesej Islam yang wajib kita sampaikan. Syaratnya bukan sekadar kita telah berjaya menghalau penjajah itu, kita juga wajib membebaskan diri daripada belenggu ideologi dan sistem yang ditinggalkan penjajah itu, serta membebaskan seluruh manusia dengan cara dan pendekatan Islam. Mengapa dibiarkan kapitalis, sosialis, komunis, pragmatis yang asing daripada kaum dan bangsa Asia ini membawa perjuangan mereka ke sini?


47. Mesej ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya Islam diberi peluang mentadbir negara, bukan sekadar menumpang pihak lain yang tidak memberi ruang supaya Islam dilaksanakan, tetapi hanya menjadi alat atau tangga, atau kuda tunggangan menjulang kemenangan tanpa istiqamah.


48. Islam menjadikan manusia seluruhnya adalah satu keluarga yang berasal daripada seorang bapa dan seorang ibu, Adam dan Hawa. Firman Allah:


“Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berta’aruf, dan yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui berkenaan diri kamu Lagi Amat Berpengetahuan berkenaan urusan kamu).”


49. Maka kewujudan masyarakat majmuk dalam negara kita ini mestilah diolah oleh PAS supaya ianya memperkuatkan negara kita ini. Oleh yang demikian, kita perlu juga melihat masyarakat majmuk ini dari kacamata dakwah yang menjadikan mereka sebagian mad’u kita, bukan hanya dari kacamata politik semata-mata. Kita hidup dalam rumpun berbagai kaum, bangsa, agama; yang wajib berta’aruf, kerana berasal daripada Adam dan Hawa.


50. Islam membawa konsep tidak ada paksaan dalam agama walaupun diwajibkan berdakwah kepada seluruh manusia, dan wajib berlaku adil terhadap semua, memberi hak menganut agama dan beramal dengan ajarannya oleh penganutnya. Semuanya ini ada kaedah dan feqahnya mengikut Islam. Firman Allah;


(Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan yang disaksikan menjadi contoh, dan janganlah dengan sebab permusuhan kamu terhadap sesuatu kaum sehingga menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Kamu wajib berlaku adil kerana ia lebih hampir kepada takwa. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan)


Membina Pendidikan dengan acuannya

51. Pendidikan adalah acuan pembangunan manusia dengan ilmu, namun hendaklah mengikut acuan Allah pencipta alam semesta. Makhluk manusia ini difitrahkan kejadiannya dengan sifat-sifat berjasad, roh dan akal, secara individu, berkeluarga dan bermasyarakat. Maka mereka diwajibkan beribadah kepada penciptanya, berperanan di alam bumi bagi memakmurkannya (Khilafah), dan wajib menunaikan amanah menegakkan syariat adil membawa rahmat dengan beriman dan akhlak.


52. Acuan pendidikan manusia mengikut acuan Islam, wajib merangkumi segala aspek fitrah kejadian dan peranannya di alam dunia ini. Sebagaimana jawapan Rasulullah SAW kepada soalan malaikat Jibril berkenaan Islam, Iman dan Ihsan. Ini adalah acuan Allah supaya pendidikan manusia itu merangkumi Aqidah (Iman), Syariat (Islam) dan akhlak (Ihsan) iaitu lah membangun jasad, roh dan akal. Inilah yang perlu dijadikan dasar pendidikan oleh pihak kerajaan supaya pendidikan awal ini melalui proses acuan yang menekankan aqidah, syariat dan akhlak.


53. Acuan ini telah berjaya melahirkan manusia generasi awal di tanah Arab yang tidak ada sumber ekonomi, dan tanpa tamadun duniawi yang dijadikan rukun kemajuan terkini, tetapi telah berjaya memimpin dunia dengan iman dan amal soleh yang menjadi syarat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah.


54. Kini pula kita menyaksikan kemusnahan tamadun barat yang beracuannya sendiri. Adapun kita masih lagi meminjam dan melaksanakan acuan pendidikan yang sama. Akibatnya ialah menerima hasil pemimpin dan masyarakat yang sedang dirasai bahang kemusnahannya juga. Inilah yang perlu diperbetulkan dalam negara kita ini.


55. Apa yang kita lihat sedang berlaku sekarang ialah, anak-anak kita dan guru menjadi bahan ujikaji pelaksanaan kaedah-kaedah baharu yang ingin dijalankan oleh pihak kerajaan tanpa persiapan prasarana yang benar mencukupi, bertukar ganti dasar apabila menterinya bertukar. Akibatnya murid dan guru dibebankan dengan kerja, yang akhirnya menyebabkan tugas sebagai pendidik akan terjejas.


Ekonomi negara

56. Kebanyakan kita hanya mengenali dua mazhab ekonomi dalam mengurus negara dan rakyat, serta sumber hartanya. Pertama, mazhab Liberal Kapitalisma yang lebih berpihak kepada segelintir kroni golongan kaya raya dan kedua, mazhab Sosialisma dan pecahannya seperti komunisma yang kononnya berpihak kepada rakyat tertindas (pekerja dan petani) tetapi menzalimi golongan kaya yang patut membantu kejayaan ekonomi yang adil.


57. Mereka tidak tahu bahawa Islam adalah berbeza dengan semuanya, kerana Islam tidak menjadikan kebendaan sebagai dasar dan matlamat. Islam meletakkan manusia adalah modal ekonomi yang sangat penting. Modal insan ini hendaklah dibangun mengikut segala aspek fitrahnya, roh, jasad, individu, keluarga dan masyarakat. Beracuankan Islam daripada Allah, yang telah menetapkan juga perkara-perkara aqidah, syariat dan akhlak dalam aspek ekonomi sehingga tidak berpisah di antara satu sama lain.


58. Negara Malaysia tanahair kita ini berada di atas bumi yang subur dan bersumber di dalam perutnya hasil mahsul yang banyak, di mana Bank Dunia mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang terkaya dari segi sumber per kapita rakyatnya. Tetapi hasil yang banyak ini tidak befungsi sebagaimana sepatutnya. Ini semua adalah kerana kita membentuk manusia yang bertuhankan harta benda dan berlumba sekadar mengisi perut tanpa makanan roh dan akal, di mana kekayaan berlegar di kalangan pihak pemodal kaya-raya, ditambah pula dengan wujudnya kepincangan tadbir-urus dan tata-kelola kepimpinan negara.


59. Lihatlah bagaimana pengurusan ekonomi yang adil, berakhlak dan berkat, sebagaimana contoh Raja yang adil Zulqarnain yang menolak cukai yang hendak diberikan kepadanya oleh kaum yang lemah, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran:

“Mereka berkata: Wahai (Raja) Zul Qarnain sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj melakukan kejahatan dalam negeri kami. Adakah kami bayarkan cukai kepadamu supaya kamu dirikan kota pertahanan yang menghalang musuh. (Zulkarnain menjawab): Apa yang Tuhan kurniakan kekuasaan kepada ku lebih baik lagi (tidak perlu membayar cukai itu). Tolong sahaja dengan tenaga kerja yang kuat, nescaya aku dapat dirikan kota yang teguh boleh menghalang serangan mereka terhadap kamu“.


60. Manakala Raja Sulaiman A.S. pula menolak rasuah, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran:


A036


“Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).” [an-Naml : 36]


61. Negara yang kita idamkan ialah yang ditegakkan di atas hidayah daripada Allah yang dijamin keteguhannya, bukan negara jibayah yang bergantung dengan cukai daripada rakyat dan membeli rakyat. Negara inilah yang menerima janji Allah:


 A096


“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.


62. Sekiranya kita meneliti perspektif ekonomi dalam negara ini, kita akan dapati bahawa berbagai perancangan dan dasar dikemukakan oleh Kerajaan BN yang memerintah sejak puluhan tahun. Antaranya ialah Bajet Tahunan, Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak 1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan Dasar Wawasan Negara (2001-2010). Kemudianya, Dasar Transformasi Negara dan terkini pembentangan Rancangan Malaysia ke-11. Marilah kita dengan secara ikhlas membuat ukuran dan menilai pencapaian dasar-dasar ini secara adil dan berani, dengan berdasarkan kepada apa yang dikatakan oleh pihak ketiga, iaitu mereka yang lebih pakar dan sememangnya menumpu perihal kajian ekonomi dan kewangan negara.


63. Antaranya, sekumpulan penyelidik dari Universiti Islam Antarabangsa merakamkan dalam laporan kajian mereka (Fairness, Competition & Development – Foundation for A Social Market Economy in Malaysia, 2012), bahawa ‘sejarah pembangunan sosio-ekonomi Malaysia adalah satu yang bersifat ‘pencapaian agak rendah secara relatif atau perbandingan’. Sementara indikator pertumbuhan ekonomi dan sosial kita, mendahului negara-negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia, tetapi negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Hong Kong telah jauh meninggalkan dan mengatasi prestasi ekonomi Malaysia sejak 1980-an.


64. Lihatlah contohnya Korea Selatan yang mempunyai ‘pendapatan per kapita’ (GNI per capita) pada tahun 1970 sebanyak USD$270, di mana rakyat di Negara Malaysia ketika itu mengecapi pendapatan per kapita sebanyak USD$470 (mengikut data World Bank Atlas Method). Pada tahun 1980, Korea Selatan telah hampir menyaingi Malaysia. Korea Selatan telah meningkat kepada US$1,810 yang tidak jauh di belakang US$1,820. Namun, ketika Malaysia disajikan dengan pelbagai program dan dasar-dasar pembangunan, Korea Selatan terus memacu pertumbuhan per kapita rakyatnya. Pada tahun 2011, Korea Selatan terus memecut pertumbuhan per kapita rakyatnya sebanyak USD$20,870 sementara Malaysia terus berada di paras “Perangkap Pendapatan Sederhana” dengan hanya mampu mencapai USD$8,420 masih hampir 3 kali ganda ketinggalan.


65. Lebih mengaibkan lagi adalah negara-negara umat Islamlah yang tercicir dan terkebelakang dari segi tata-kelola dan tadbir-urus negara termasuklah gejala dan amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa penguasa politik negara.


66. Kita ingin mengingatkan kepimpinan negara supaya tidak hanya bermegah membentang dasar demi dasar, program demi program. Saya bersedia mengakui bahawa sebahagian dasar-dasar dan program-program ini adalah baik kerana dibuat oleh pihak birokrat negara yang sejak dulu sememangnya hebat dan kompeten, kerana mereka terdiri dari pemikir-pemikir anak watan yang terpelajar dan terlatih.


67. Unit Perancangan Ekonomi (EPU) adalah think-tank kerajaan sejak dahulu telah memerah otak fikiran mereka untuk menghasilkan kajian dan penyelesaian terhadap pelbagai kemelut dan gejala ekonomi yang serba bersimpang-siur dan pelbagai tuntutan yang saling bersilang dalam sebuah masyarakat majmuk berbagai kelas ekonomi.


68. Hari ini mereka sedikit diketepikan kerana kecenderungan kerajaan untuk memberikan kepada ‘konsultan atau perunding luar’ yang dibayar secara mewah sekaligus meminggirkan pakar-pakar tempatan dalam persiapan pelbagai kajian sosial, pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi. Ini sangat malang dan amalan ini harus dihentikan.


69. Maka seandainya kepimpinan negara tidak komited untuk benar-benar menghayati tuntutan Allah dan Syariat sebenar, khasnya dalam pembangunan ekonomi dan pengurusan kewangan, kesemua matlamat pembangunan ini akan 70. Terkini, hampir-hampir seluruh urusniaga dan pengurusan kewangan 1-Malaysia Development Berhad (1-MDB) adalah lambang segala kekalutan dan kecurangan pengurusan kerajaan BN.


71. Bermula sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) yang berhajat untuk mencagar wang royalti Terengganu dan kemudian bertukar menjadi 1-MDB, selepas 6 tahun penubuhan (2009) dan operasinya, apa yang dapat ditunjukkan hanyalah timbunan hutang ke paras RM42bilion ! . Manakala Aset RM 50 bilion, gagal menjana aliran tunai positif.


72. Kerajaan juga tidak wajar memangsakan simpanan rakyat dan dana rakyat dalam apa jua tabung sekalipun samada KWSP, KWAP, LTAT, TH dan sebagainya. Cubaan untuk menggunakan dana Tabung Haji telah mencetuskan amarah ummat Islam khasnya dan rakyat seluruhnya kepada pihak kerajaan BN. Skandal demi skandal berulangan walaupun pimpinan negara bertukar; setengahnya sudah ditelan sejarah seperti isu BMF, Perwaja, Maika Holdings, PKFZ dan berbagai lagi.


73. PAS sekali lagi menekankan bahawa sebuah kerajaan yang dimandat rakyat, mestilah bertanggungjawab menunaikan amanah dan harapan rakyat ini. PAS memahami sebuah pemerintahan itu, antara tugas utamanya adalah terangkum dalam seperti ditegaskan dalam Surah Hud, ayat 61:


 A061


“Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya.” (Hud : 61)


HAK PELAKSANAAN SYARIAT

74. Usaha mendaulatkan syariat ini terus diperjuangkan sejak awal oleh PAS. Bacalah kembali apa yang pernah disebut oleh pimpinan PAS yang telah meninggalkan kita. Prof Zulkifli Mohamed mengungkapkan pada tahun 1956:

“Kita (PAS) adalah umat Islam, dengan sebab itu kita ingin melihat hukum-hukum Allah dapat dilaksanakan di bumi Allah ini..”.

Manakala Dr Burhanuddin al-Helmy menyebut dalam Ucapan Dasar Yang DiPertua Agung Pas pada 24 Ogos 1957:

“... kemerdekaan bangsa dan nusa sepenuhnya belumlah lagi berarti tercapainya cita-cita PAS, dan belumlah dihitungkan telah merdeka sepenuhnya, melainkan setelah berjalan hukum-hukum Islam pada orang seseorang, masyarakat dan negara, barulah tercapai kemerdekaan yang dicita-citakan oleh PAS.”


75. Maka adalah tidak benar sama sekali pandangan pihak yang tidak memahami sejarah dan dasar perjuangan PAS, bahawa PAS bersikap gopoh dalam mengambil langkah ke arah pelaksanaan syariat Allah SWT ini. Lihat sahajalah bahawa kita sangat beransur dalam tindakan (tadarruj), di mana PAS bercakap dari tahun 1950an lagi, hanya meggubal dan diluluskan enakmen pada tahun 1993, iaitu setelah berlalu 40 tahun lebih dan generasi pula telah berubah bertukar ganti. Sejak dari tahun 1990an, PAS dan Kerajaan Kelantan mengadakan perbagai kempen, seminar, dialog, perbincangan pakar dan lain-lain, tanpa melaksanakan enakmen itu sama sekali kerana kita menyedari akan kekangan yang wujud. Kepada mereka yang tidak memahami ini, jangan dibaca sejarah PAS hanya dari tahun 1990 ataupun tahun 1999.


76. Setelah lebih 20 tahun pula berlalu selepas enakmen ini diluluskan (menjadikannya lebih dari 60 tahun langkah-langkah diambil oleh PAS), maka kita lihat ada ruang kecil boleh dilakukan untuk mengangkat taraf mahkamah syariah yang kini hukuman di Mahkamah Tinggi Syariah pun adalah jauh lebih rendah dari Mahkamah Rendah (Sivil), maka kita mengambil langkah proaktif untuk membawa pindaan Akta 355 [Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965]. Itupun hanya untuk kesalahan rotan, denda dan penjara sahaja; untuk meningkatkan hukuman kesalahan syariah supaya tidak tertakluk kepada hanya 3 tahun penjara, denda maksima RM5000 dan 6 kali rotan sahaja sebagaimana pada waktu ini.


77. PAS menghadapi isu pelaksanaan syariat Islam ini sebagai satu senjata menolak Islam sejak zaman penjajah lagi. Namun kita menangani semua persoalan ini secara demokrasi bermula dengan pendekatan ilmu sehinggalah mencetuskan kesedaran melaksanakan undang-undang syariat yang dikemukakan oleh kerajaan negeri Kelantan. Pelaksanaan syariat ini, bahkan isu peningkatan taraf hukuman untuk kesalahan syariah pula adalah hak orang Islam yang wajib diperkukuhkan sesuai dengan Islam sebagai agama Persekutuan.


78. Kerajaan Kelantan pimpinan PAS wajib mengusahakan agenda ini kerana desakan umat yang sudah ingin kembali kepada Islam, kerana Islam menjadi hak setiap penganutnya dan manusia yang mahu melihatnya. Masyarakat pula dilanda wabak jenayah dan keruntuhan akhlak yang tidak terkawal oleh undang-undang ciptaan manusia. Ketepikan mereka yang degil melawan Allah walaupun tenggelam bersama tanda kemusnahan.


79. Allah pernah berfirman kepada Rasulullah SAW ketika menghadapi kumpulan seperti ini di zamannya:

(Dan hendaklah kamu berhukum di kalangan mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan berwaspada terhadap mereka daripada godaan terhadapmu supaya meninggalkan sebahagian daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka sekiranya mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah hendak mengenakan ke atas mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya ramai daripada kalangan manusia itu orang-orang yang fasik).


80. Maka PAS menolak mereka yang tidak mahu memberi jalan kepada pelaksanaan Islam atau Islamnya tidak istiqamah di atas konsep adil terhadap semua. PAS juga menolak kalangan bercita-cita untuk membalas dendam terhadap mereka yang dianggap musuh, kerana kita diajar oleh Rasulullah SAW menjadi penyelamat kepada seluruh manusia. Maka inilah perbezaan kemenangan Islam dengan revolusi barat dan timur yang banyak mengorbankan nyawa, mencabul maruah dan harta kerana membalas dendam.


81. Kita hendaklah membezakan PAS dengan kalangan yang mahu melaksanakan Islam tanpa feqahnya menyebabkan wajah Islam dirosakkan kerana tidak mengikut tasawurnya dengan istiqamah. Jangan siapa yang menyekat perjuangan kita atau memesongkan perjalanan kita secara berterangan atau menipu helah dengan cara mengikat PAS supaya tidak bergerak ke hadapan dalam membawa agenda Islam.


MENGUKUHKAN ORGANISASI PAS

82. Organisasi dalaman PAS mestilah bergerak seiring untuk diperkukuhkan dengan diberi suntikan baharu dalam merancang dan melaksanakan gerakerja. Penyelarasan bersama untuk merangka gerakerja antara Lajnah-Lajnah di peringkat Pusat dan Negeri-Negeri perlu dilakukan agar kita dapat memaksimakan gunatenaga ahli parti.


83. Penumpuan khusus menerokai negeri Sabah dan Sarawak secara intensif akan dilakukan nanti, terutamanya dalam aspek dakwah, diikuti tarbiyah memperkukuhkan kefahaman ahli dan persediaan berdepan dengan politik pilihanraya di Sarawak dalam tempoh dua tahun akan datang ini.


84. Sehubungan dengan itu juga, gerakerja dakwah yang menjadi tugas yang penting di era kepimpinan ulama ini perlulah dipertingkatkan, terutama di luar bandar, kawasan orang asal, kawasan kepadatan penduduk tinggi di pinggir perbandaran, dan di kalangan generasi muda yang disebut sebagai Gen-Y. Bahkan aktiviti dakwah jalanan yang dijalankan juga adalah sangat baik dan perlu diteruskan.


85. Proses dakwah kita mestilah meliputi semua golongan, kerana kita mesti menjadi agen penyelamat ummah. Lantaran itu semua ruang dan peluang yang ada mesti dimanfaatkan semaksima mungkin. Aktiviti dakwah kepada golongan bukan Islam mestilah dipertingkatkan. Perkembangan teknologi maklumat dan capaian media baru mesti dipenuhi oleh info yang berguna dan bermanfaat. Para daei juga mestilah meningkatkan kemahiran, ilmu pengetahuan serta keterampilan dengan akhlak Islamiyah.


86. Pemuda dan pemudi dalam parti, mestilah sentiasa beristiqamah meneruskan gerakerja kebajikan dan kemasyarakatan, sehingga mampu menjadi contoh yang dikagumi oleh masyarakat. Aktiviti tarbiyah mesti dirancakkan, terutama kepada ahli dan medan baharu di kalangan masyarakat awam. Program khusus menjelaskan tentang dasar parti, dan pengisian fikrah perjuangan PAS mesti dilaksanakan dengan segera kepada semua ahli baharu parti. Usrah disemua peringkat terutamanya di Negeri, Kawasan dan Cawangan mestilah digerakkan, dan dijadikan satu agenda penunjuk prestasi (KPI) dalam mesyuarat Cawangan, Kawasan dan Negeri.


87. Kaedah untuk mentarbiyah, berurusan dan menarik generasi muda yang dikenali sebagai Gen-Y ini mestilah tanpa kita meninggalkan asas dasar PAS, bukannya kita mengikut mana-mana kehendak mereka yang bersalahan dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah semata-mata untuk memenangi hati mereka. Di sinilah letaknya peranan tarbiyah, bukan sekadar ilmu, bahkan ilmu bersama iman, kemampuan beramal dan berakhlak. Bukan sahaja untuk kemenangan, termasuk juga memenuhi syarat kemenangan dan mengisi kemenangan selepas mencapainya.


88. Golongan ulama di seluruh peringkat dalam PAS, mestilah senantiasa bersedia dengan ilmu dan kefahaman yang sentiasa di pertingkatkan dalam berdepan dengan cabaran baharu yang sangat hebat pada masa kini. Kita bukan sahaja mesti memahami kitab-kitab Turath yang menjadi khazanah ilmu Islam, tetapi dapat membaca – menganalisa - menjelaskan kefahaman baharu sebagai suatu tajdid untuk membawa umat ini ke hadapan, berpandukan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah itu sendiri.


89. Ulama - Pemuda - Muslimat perlulah juga proaktif dalam mengemukakan penyelesaian masalah semasa yang wujud hasil dari zaman yang terus berkembang, terutamanya dalam zaman tanpa sempadan ini. Masyarakat menunggu sesuatu penyelesaian Islam yang selalu disebut oleh kita sebagai
satu cara hidup. Zaman kita hanya berucap tanpa memgemukakan apa-apa penyelesaian yang berpijak di alam nyata ini sebenanrya sudah berlalu.


90. Hubungan yang proaktif dengan NGO yang tidak menentang Islam dan mendampingi masyarakat awam mestilah menjadi agenda ketiga-tiga Dewan ini agar penyelarasan kefahaman dan tindakan dapat dilaksanakan dengan efektif.


91. Kepada seluruh ahli PAS, kita semua mempunyai tanggungjawabnya tersendiri sebagaimana yang disebut dalam Perlembagaan parti. Bermakna PAS wajib menyediakan ahlinya sebagai ‘Aamilin dan Du’aat yang berjati diri mengikut acuan Allah.


92. Marilah kita semua menjadi ahli PAS yang menyempurnakan sifat atau ciri-ciri kumpulan Islam yang dapat memenuhi syarat dijanjikan kemenangan oleh Allah:

“Allah berjanji kepada kalangan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia akan jadikan mereka berkuasa memerintah negeri di bumi ini, seperti pernah dikurniakan kepada kalangan sepertinya di zaman dahulu, lalu Agama yang Diredainya (Islam) berkuasa (Tamkin) dan bertukarlah keadaan daripada ketakutan kepada keamanan, dalam keadaan mereka beribadah kepadaku (tanpa gangguan) dan mereka tidak berlaku syirik terhadapku. (Ingatlah) sesiapa yang kufur selepas itu, maka merekalah orang-orang yang fasik”.


93. Dewan Himpunan yang menjadi satu sayap penting PAS perlulah juga diperkukuhkan peranannya. Organisasi DHPP wajar diberi lonjakan baharu dari segi keahlian, struktur organisasi dan perancangan gerakerja. Pembinaan modul kursus untuk memahami sejarah dan dasar PAS, kursus organisasi, dan lain-lain yang perlu hendaklah dirangkakan dengan segera pada sessi ini.


94. Sejak beberapa muktamar yang lepas, saya banyak memberikan peringatan kepada perwakilan berhubung keperluan mendekati senjata terkini ICT dan Media Baru dalam memperkasakan jentera pentadbiran, penerangan dan dakwah serta pilihan raya kerana internet merupakan lebuhraya maklumat yang terbesar yang perlu dimanfaatkan.


95. Internet kini telah menjadi sebahagian gaya hidup dan keperluan dalam mencari maklumat dan melakukan tugasan harian. Satu perkara yang perlu ditekankan kepada pimpinan dan pengguna berbagai aplikasi-aplikasi IT ini ialah isu keselamatan siber dan penyamaran identiti online yang menyebabkan berlakunya banyak gelaja-gejala buruk, adu-domba dan fitnah di alam siber. Justeru itu, banyak kali saya menegaskan supaya pimpinan PAS tidak menerima bulat-bulat apa yang terdapat atau dipetik dari Internet, terutama apabila sumbernya tidak sahih dan meragukan. Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW dalam satu hadis yang panjang dalam Riyadhus Shalihin:


“Adapun orang yang engkau datangi, ia sedang dipotong-potong hujung mulutnya sampai ke tengkuknya dan dari lobang hidung sampai ke tengkuknya dan juga dari matanya sampai ke tengkuknya itu ialah orang-orang yang pergi dari rumahnya lalu membuat kata-kata dusta dengan kedustaan yang sampai mencapai ke segala penjuru.”


96. Seperti yang ditegaskan dalam muktamar sebelum ini, media parti seperti Harakah, Harakahdaily dan radio internet hijau.fm, mestilah tidak terlibat dengan fenomena-fenomena negatif dalam berkarya dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan pendekatan sensasi-songsang yang bertujuan melariskan jualan semata-mata dengan menjejaskan kredebiliti sebagai sebuah media Islam. Sebaliknya hendaklah sentiasa berusaha membentuk fikrah dan menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti untuk memberi kefahaman sebenar kepada


MEMPOSISIKAN PAS DI PENTAS ANTARABANGSA

97. Di persada antarabangsa, PAS amat bimbang dan tersentuh dengan konflik dan pertumpahan darah yang berlaku di Semenanjung Tanah Arab seperti di Yemen, Syria, Iraq dan Libya. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa pertumpahan berdarah yang sedang berlaku ini mesti dihentikan segera. Apa yang kita sedang lihat adalah amat trajis dan memilukan kita semua umat Islam.


98. Di Syria, kini lebih 250,000 rakyat awam yang terbunuh dan lebih dari 7 juta rakyatnya terpaksa menjadi pelarian di negara-negara jiran. Di Iraq peperangan terus disemarakkan oleh musuh sehingga mengakibatkan ratusan ribu yang terkorban dan menjadi pelarian. Perbezaan mazhab yang sudah ribuan tahun dapat ditangani, kini diapi-apikan semula sehingga seseorang itu dihukum akibat dari perbezaan mazhabnya. Begitulah juga dengan apa yang sedang berlaku di Yemen di mana peperangan proksi Kuasa-Kuasa Besar mengakibatkan ribuan rakyat awam Yemen yang menjadi mangsa korban.


99. Saya juga ingin tegaskan sekali lagi, PAS tidak mahu campurtangan asing berlaku di bumi umat Islam. Biarlah rakyat Yemen, Syria, Iraq dan Libya menentukan masa depan negara mereka tanpa sebarang campurtangan Kuasa Asing yang cuba memporak-perandakan negara-negara ini.


100. PAS amat tersentuh dengan kezaliman terbaru yang dilakukan kepada umat Islam di Mesir oleh pihak yang bersekongkol dengan kudeta. Mahkamah yang didokong oleh junta tentera Mesir telah menjatuhkan hukuman mati kepada lebih 100 orang pejuang Islam, termasuk Presiden Mesir yang sah Dr Mohammad Morsi, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Dr.Mohammad Badi', serta Sheikh Yusuf Qardhawi yang kini menetap di Qatar. Apakah dosa sebenar mereka ini melainkan dendam kesumat yang ada pada pemimpin kudeta yang gagal meredakan kemarahan rakyat Mesir meskipun sudah hampir 2 tahun berlaku rampasan kuasa.


101. Kezaliman yang dilakukan oleh pihak rejim Zionis terhadap penduduk awam di Gaza dan Palestin juga nampaknya tiada penghujungnya. Agensi antarabangsa, terutamanya Kerajaan Malaysia yang berada dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mestilah menggunakan semua ruang yang ada untuk membantu umat Islam yang disembelih setiap hari ini.


102. Begitu jugalah dengan apa yang berlaku di Bangladesh. Rejim Sheikh Hasina yang zalim telah menjalankan hukuman mati ke atas beberapa pimpinan gerakan Islam Jamaat Islami Bangladesh termasuk Abdul Qader Mulla dan Penolong Setiausaha Agung Jamaat Mohamed Kamaruzaman. Sementara itu Amir Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Motiur Rahman Nizami sedang menunggu saat hukuman di tali gantung ke atas beliau.


103. Di Myanmar, PAS menentang sekerasnya penafian berterusan terhadap hak asasi manusia kaum minoriti di Myanmar yang berasaskan kebencian terhadap agama. Penafian ini tidak memberi petanda yang baik untuk penyatuan Myanmar mahupun kestabilan komuniti Asean. Penduduk minoriti Rohingya telah di halau dari bumi mereka sendiri dengan dibakar perkampungan mereka, sekolah-sekolah serta masjid-masjid yang mengakibatkan beribu-ribu umat Islam Rohingya kini menjadi pelarian.


104. PAS ingin membuat seruan terbuka kepada kerajaan Malaysia selaku rakan ASEAN dengan Myanmar agar melihat isu ini secara tegas dan matang dengan menyatakan secara tegas terhadap kerajaan Myanmar. Bantuan kemanusiaan kepada ribuan pelarian Rohingya yang sedang terumbang-ambing di tengah-tengah laut harus dilaksanakan secepatnya tanpa bertangguh.


Pemerhati dan Perwakilan yang dihormati sekelian,

Bertitik tolak di atas tema “Beristiqamah Hingga Kemenangan” ini, maka marilah sama-sama kita pada hari ini memahaminya dan menggerakkan jemaah ini untuk menghadapi apa juga cabaran yang sedang menunggu di hadapan dengan penuh yakin kepada dasar dan prinsip perjuangan ini dengan mengambil tindakan-tindakan berikut:


1. Marilah sama-sama pada hari ini kita menyatakan kesetiaan kita kepada perjuangan Islam dengan penuh istiqamah, berdasarkan kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dengan penuh keikhlasan kepada Allah SWT.


2. Marilah kita memahami maksud kemenangan yang dinyatakan oleh Allah SWT. Kemenangan yang mahu dicapai adalah sebahagian dari usaha mendapatkan redha Allah SWT. Kita berjuang siang dan malam adalah kerana mencari redha Allah SWT. Justeru itu, marilah kita pastikan diri kita semua, dan jemaah yang menjadi platform perjuangan kita memenuhi syarat kemenangan yang telah digariskan oleh Islam dengan makna kemenangan yang sebenar.


3. Marilah kita sama-sama memantapkan tarbiyah ahli dan kepimpinan, dengan setiap dari kita bersungguh-sungguh melibatkan diri dalam program tarbiyah yang dijalankan oleh jemaah. Tarbiyah inilah yang akan menyediakan diri kita untuk lebih faham dan yakin terhadap fikrah perjuangan ini yang sempadannya bukan sahaja di dunia tetapi hingga ke akhirat.


4. Marilah kita mengemaskini pentadbiran parti di semua peringkat, semua Dewan-Dewan dan Lajnah, termasuklah Cawangan, Kawasan dan negeri. Saya menyeru kepada semua perwakilan dan pemerhati supaya merapatkan saf perjuangan bersendikan fikrah perjuangan yang jelas dan tulen, melipat gandakan gerakkerja amal jamaie dan Islammi, dengan tumpuan kepada halatuju perjuangan untuk meraih kemenangan di dunia melalui dakwah dan siasah berpilihanraya, serta menang pula di akhirat iaitu mendapat syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT.


5. Marilah kita membawa mesej Islam sebagai penyelesaian kepada masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita ini. Semua pihak dan peringkat dalam organisasi ini mestilah memahami fiqhul-waqie, dengan merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.


6. Marilah kita meneruskan kerjasama Tahaluf dalam Pakatan Rakyat dengan rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Islam mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah, dan berta’awun dengan semua pihak dalam perkara kebaikan umat Islam dan bukan Islam dalam negara kita, serta tidak bertolak ansur dalam perkara kezaliman dan kemungkaran.


7. Marilah kita mengukuhkan kedudukan dan peranan PAS di peringkat antarabangsa, membela pihak yang dizalimi, mengusahakan penyelesaian konflik di rantau ini dan antarabangsa untuk mewujudkan dunia yang lebih aman, dan menolak campurtangan kuasa besar dalam konflik di dunia umat Islam.

Akhirnya, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengerusi, Pengarah dan Jawatankuasa Panitia Muktamar, Badan Perhubungan PAS Selangor, Petugas-petugas, anggota Jabatan Amal dan semua pihak yang menjayakan Muktamar ke 61 ini.


Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Saya RASMIKAN Muktamar PAS kali ke 61 ini dengan menyebut sabda Rasulullah SAW:

سيروا على بركة هللا .
وآخر دعوانا أن الحمدهلل رب ا لعالمين .
هللا أكبر ,هللا أكبر ,هللا أكبر ,وهلل الحمد .

-         HARAKAHDAILY 4/6/2015










No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”