NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Friday 18 December 2015

DIANTARA BEBAS DAN BABAS



Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

DIANTARA BEBAS DAN BABAS


Ada segelintir kalangan manusia spesisnya menolak hukum Allah, khususnya perkara halal dan haram diatas konsep kebebasan dan hak asasi manusia. Tanpa peduli betapa rahmat dan sayangnya Allah terhadapnya dan tidak sedar kelemahan makhluk manusia yang tidak tahu semuanya, termasuk kejadian dirinya sendiri, juga makhluk yang lain. Pengetahuan manusia hanya sekadar kemampuan diri dan akalnya sahaja. Masih terlalu banyak perkara mengenai dirinya sendiri dan makhluk disekelilingnya diluar kemampuan akal dan pancaindera, apatah lagi berkenaan Tuhannya yang tidak sama dengan makhluknya.

Islam membetulkan akidah kepercayaan kepada adanya Tuhan oleh semua manusia mengikut nalurinya, termasuk kalangan manusia asli dirimba dan paling jahil yang jauh sekali tahu membaca dan menulis, lebih jauh lagi daripada mengenal media baru yang sangat dibanggakan kini hasil kemajuan sains dan teknologi ini sehingga ditasbihkan laksana Tuhan yang disyirikkan, pun percaya adanya Tuhan. Kalangan atheis juga akhirnya percaya kepada Allah apabila terdesak dihimpit bencana bahaya dan kesusahan, apabila hilangnya kemampuan diri dan tempat pergantungan, sama ada di daratan, udara atau lautan bergelora.

Ada kalangan yang dianggap paling bijak oleh kaum bangsa di zamannya, digelar ahli falsafah pemikir dan sebagainya, apabila menolak hidayah Allah, tiba-tiba meletakkan manusia menyembah dan memuja sama-sama manusia walau pun zalim dan bodohnya, sehingga memuja binatang, batu, kayu yang lebih rendah martabatnya daripada manusia. Pada hal Allah menjadikan manusia mempunyai kelebihan menguasai dan mentadbir makhluk yang lain kerana kemuliaan kejadian manusia.

Al Quran menegaskan semua para Rasul menyatakan Allah Sahaja Tuhan yang Maha Esa, banyak nama-namanya yang terbaik dan sifat-sifatnya yang terpuji, tidak sama dengan makhlukNya dalam semua perkara. Allah yang Maha Esa sahaja yang bernama dan bersifat setiap satu daripada yang tersebut. Diantaranya Maha Mengetahu, Maha Rahmat, Maha Adil, Maha Pengampun terhadap hamba dan makhlukNya.

Setiap penganut Islam diwajibkan bersolat, setiap rakaatnya diwajibkan pula memuji dan memuja Allah dengan membaca Surah Al Fatihah yang disebut pada awalnya:


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

(Segala puji bagi Allah Rabb (Tuhan) kepada seluruh alam).


Perkataan Rabb bermaksud mencipta, mentadbir dan mengurus. Bukan sahaja diibadatkan kepadanya sahaja dengan hati yang ikhlas, bahkan menjadi akidah (iman dan kepercayaan) dalam aspek tersebut, yang disebut Tauhid Rububiyyah.

Allah mencipta alam seluruhnya dengan setiap makhluk yang ada pada masing-masing sifat fitrah atau naluri (nature). Diantara rahmatnya dalam masa yang sama meletakkan sempadan supaya tidak terkeluar daripada fitrah atau nalurinya. Semua makhluk diwajibkan Islam (menyerah diri ) kepada sempadan ketetapan Allah .

Firman Allah:


أفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ (83) آل عمران.

(Adakah mereka mahu selain daripada peraturan Allah, Pada hal telah Islam (menyerah diri) kepadanya oleh semua makhluk diseluruh langit dan bumi, sama ada secara taat dengan pilihan sendiri atau terpaksa sacara naluri (tabii), dan kepadanya mereka akan dipanggil (pada hari kiamat) menemui Tuhannya(untuk dibicarakan) ('Ali Imran: 83)

Para makhluk diangkasa yang banyak tidak terhitung, berada dikawasan yang luas tidak terukur luasnya, tetap mempunyai peraturan ketetapan Allah yang tidak tercipta dengan sendirinya. Matahari, bulan dan bintang-bintang berada dalam orbit masing-masing, tidak boleh keluar daripada kawasannya, termasuk para malaikat yang sangat mulia. Begitu juga makhluk dibumi yang tidak terkira banyaknya.

Setiap satu makhluk mengikut sempadan naluri masing-masing, bebas dalam sempadannya sahaja. Kalau terkeluar maka babaslah namanya dan terjerumus kepada binasa dirinya sendiri dan semua pihak di kelilingnya. Haiwan darat tidak mampu hidup di kawasan air, haiwan laut masin tidak mampu hidup di kawasan air tawar, begitulah juga kalau dilakukan sebaliknya. Begitu juga pemakanan masing-masing berbeza. Termasuk juga alam tumbuhan berada dalam kawasan dan mengikut kawasan tanah dan baja masing-masing. Kalau ditukar manjadi rosak dan tidak mampu bertahan.

Kejadian manusia juga ada nalurinya yang tidak sama dengan makhluk yang lain, kerana bukan sahaja mempunyai jasad, nyawa serta akal, termasuk juga roh dan moral serta maruah dalam hubungan diri individu, kaitan berkeluarga dan bermasyarakat serta berkemampuan menguasai makhluk yang lain bagi memakmurkan bumi. Maka Allah menetapkan sempadan nalurinya, bukan menyekat kebebasan tetapi mengawal kebebasan supaya tidak terkeluar daripada sempadan yang merosakkan jati diri dan masyarakat, serta alam keliling yang ada kaitan dengan peranan dan hikamah diciptakan manusia yang mulia itu.

Firman Allah:


وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا (70) الإسراء.

(Dan sesungguhnya kami muliakan anak-anak Adam (manusia) dan kami tanggungkan mereka didarat dan laut dan kami berikan rezeki kepada mereka daripada yang terbaik dan kami muliakan mereka mengatasi kebanyakan daripada makhluk yang kami ciptakan) (Al Isra' : 70)


Setiapa aspek dalam diri manusia seperti jasad, roh, akal, individu dan masyarakat diadakan sempadan nalurinya. Semua yang merosakkan naluri itu diharamkan oleh Allah kerana merosakkan sama ada diri sendiri, keluarga atau masyarakat atau alam sekitar. Seperti arak dan dadah merosakkan akal dan jasad. Berzina merosakkan jasad, keluarga dan masyarakat, begitulah seterusnya. Islam mengharamkan merompak, mencuri dan menipu, walaupun niatnya memberi nafkah keluarga atau menunaikan haji yang diwajibkan, walaupun menggunakan Maqasid Syariat, namun dianggap penggunaan yang haram kerana caranya yang haram mengganggu hidup bermasyarakat.

Apabila seorang Badwi (darat) yang buta huruf dan terlampau jahil, meminta dihalalkan berzina. Rasulullah S.A.W. memanggil dan bertanya: "Adakah engkau redha seseorang berzina dengan ibumu?" Dia menjawab: tidak”, ditanya lagi: ”Dengan isterimu?” dijawabnya: ”tidak!” ditanya lagi: ”dengan anak perempuanmu?” dijawabnya: "tidak” ditanya lagi: ”dengan adik atau kakak mu?” dijawabnya: "tidak”. Sehingga disebut lagi keluarganya yang terdekat, semuanya dijawab: ”tidak!”. Akhirnya dia insaf dan meminta Rasulullah S.A.W. mendoakan untuk dirinya supaya bencikan akhlak yang buruk itu. Inilah dia jati diri secara naluri, sehingga diakui oleh semua agama, kalangan kaum di rimba dan ada juga kalangan binatang. Kecuali agama Mazdak di Parsi purba sebelum masihi yang sudah pupus .

Kajian saintifik mendedahakn seks bebas dan homoseks mendatangkan penyakit yang menggerunkan. Kajian terkini mendedahkan penyakit Aids berasal daripada monyet kerana dimakan dagingnya . Inilah hikmah Islam mengharamkan monyet walau pun makanannya adalah buah buahan.

Sangat mengejutkan apabila muncul di tanahair kita yang sudah lama memeluk Islam, spesis manusia yang mendesak supaya ditiadakan undang-undang hukuman terhadap maksiat bergaul bebas.

Manusia yang bijak mampu mengadakan undang-undang sendiri dalam skop yang diizin oleh Allah, bagi keselamatan dirinya, maruah, keluarga dan harta. Contohnya undang-undang jalanraya, setiap orang yang berlesen memandu dibebaskan mengikut jenis lesennya dan bebas memandu mengikut sempadan undang-undang nya. Apabila melanggar undang-undangnya dan berlaku kemalangan maka dikatakan keretanya terbabas bukannya bebas.

Kecederaan terbabas dijalanraya boleh diubat dan dirawat, tetapi terbabas melakukan yang haram kalau tidak bertaubat menyebabkan celaka didunia dan neraka di hari akhirat .

Allah memberi amaran:


وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ (179) الأعراف.

(Sesungguhnya kami telah sediakan neraka jahanam itu kepada banyak di kalangan jin dan manusia, mereka ada akal yang tidak berfikir dengannya, ada mata yang tidak melihat mengambil pengajaran dengannya dan ada telinga yang tidak mendengar mengambil peringatan dengannya, Mereka itu laksana binatang, bahkan lebih sesat lagi daripadanya.Merekalah orang-orang yang lalai) (Al A'raf:179)


Abdul Hadi Awang
PRESIDEN PAS
01 Rabiul Awal 1437 H / 13 Disember 2015 M
12hb Disember 2015

Sumber


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”