NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Tuesday 8 December 2015

KUMPULAN INDIVIDU TULIS SURAT TERBUKA KEPADA RAKYAT MALAYSIA




Kumpulan individu tulis surat terbuka kepada rakyat Malaysia

Media Statement |  Diterbitkan pada Disember 08, 2014 15:03 MYT


Kumpulan individu tulis surat terbuka kepada rakyat Malaysia
Sebagai orang Islam yang bersederhana, kami amat prihatin dengan kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, sebagai reaksi penghakiman Mahkamah Rayuan mengenai hak golongan mak nyah. - Gambar fail



KUALA LUMPUR: Sekumpulan 25 individu daripada pelbagai organisasi dan kementerian melahirkan rasa kecewa dengan perbalahan yang berterusan atas nama agama.

Dalam sebuah kenyataan media hari ini, kumpulan tersebut yang turut terdiri daripada tokoh terkemuka dalam kementerian, ketua pengarah dam bekas duta, berkata bahawa isu sebegitu hanya akan mengancam komitmen negara dalam menegakkan demokrasi.

"Perdebatan yang berlanjutan mengenai perkara ini menunjukkan kurangnya penjelasan dan pemahaman tentang kedudukan agama Islam dalam demokrasi Perlembagaan. Lebih daripada itu, ia mencerminkan kepincangan kuasa antara negeri dan Persekutuan dalam kedua-dua bidang jurisdiksi sivil dan jenayah,” kata kenyataan itu.

Berikut adalah kandungan kenyataan itu yang ditujukan kepada rakyat Malaysia:

Surat untuk rakyat Malaysia: Juarai perdebatan terbuka
dan wacana perundangan Islamik

Kami, kumpulan warga Malaysia yang prihatin, ingin menzahirkan rasa kurang senang dan kekecewaan yang mendalam terhadap perbalahan tanpa penyelesaian yang berlanjutan terhadap kedudukan dan aplikasi perundangan Islamik di negara ini.

Perdebatan yang berlanjutan mengenai perkara ini menunjukkan kurangnya penjelasan dan pemahaman tentang kedudukan agama Islam dalam demokrasi Perlembagaan. Lebih daripada itu, ia mencerminkan kepincangan kuasa antara negeri dan Persekutuan dalam kedua-dua bidang jurisdiksi sivil dan jenayah.

Kami secara khusus merujuk kepada situasi semasa di mana badan-badan agama dilihat membuat tondakan melampaui bidang kuasa mereka; termasuk mengeluarkan pelbagai fatwa yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta melanggar proses demokrasi dan konsultatif syura; selain meningkatnya suara NGO-NGO menuduh pihak lain sebagai anti-Islam, anti-monarki dan anti-Melayu yang menyukarkan penyelesaian konflik serta perbincangan rasional; dan paling penting, penggunaan Akta Hasutan sebagai ancaman berterusan terhadap pihak yang mempunyai pendapat berbeza.

Perkembangan ini menyulitkan komitmen Malaysia untuk menegakkan prinsip demokrasi dan ketetapan undang-undang, menghasilkan golongan yang tidak boleh bertolak ansur taksub, meningkatkan kebimbangan dalam usaha mencapai keamanan dan kestabilan negara.

Sebagai orang Islam yang bersederhana, kami amat prihatin dengan kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, sebagai reaksi penghakiman Mahkamah Rayuan mengenai hak golongan mak nyah berpakaian mengikut identiti mereka.

Beliau berkata bahawa hak mak nyah dan tindakan Sisters in Islam (SIS) menuntut keadilan sebagai “gelombang baharu penghinaan ke atas Islam” dan percubaan untuk mencabar keimanan orang Islam, serta membicarakan institusi-institusi agama dalam mahkamah sekular.

Kenyataan daripada seorang menteri persekutuan (dan bukan kali pertama) itu seolah-olah memberi mesej kepada umum bahawa komitmen Perdana Menteri ke arah pendekatan kesederhanaan tidak diberi perhatian serius, iaitu apabila menteri kabinet sering kali tidak mempedulikannya.

Isu-isu yang kami bangkitkan ini pastinya sukar untuk ditangani memandangkan di negara ini soal kaum dan agama dipolitikkan secara ekstrem. Namun kami percaya bahawa kita amat memerlukan proses konsultatif yang menghimpunkan pakar-pakar dari pelbagai bidang, termasuk bidang perundangan Islam dan Persekutuan, serta pihak yang terkesan dengan pelaksanaan undang-undang Islam.

Kami juga percaya bahawa langkah terbaik bagi Perdana Menteri adalah untuk menggunakan sumber maklumat dan pihak berkuasa untuk mengetuai proses konsultatif ini.

Adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk terlibat dalam mencari penyelesaian bagi konflik yang lama terjadi ini kerana ia memincangkan hubungan antara kaum, menghakis rasa jaminan keselamatan dan perlindungan undang-undang untuk rakyat dan menjejas kestabilan negara.

Terdapat banyak isu yang memberi tekanan kepada kita semua dan ini mendesak perhatian  daripada kepimpinan dan visi Perdana Menteri, sokongan kabinet dan semua rakyat Malaysia yang mengangkat konsep kesederhanaan. Ini termasuk:

1) Sistem perundangan plural yang telah membuka banyak ruang konflik dan pertindihan kuasa antara undang-undang syariah dan sivil. Secara khusus, terdapat keperluan segera untuk menilai semula undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah Malaysia.

Undang-undang ini menterjemah semua perkara yang dianggap ‘dosa’ sebagai jenayah terhadap negara seterusnya menyebabkan kekeliruan dan perbalahan dalam pemahaman serta pelaksanaan. Konflik yang berlaku dalam melaksanakan prinsip-prinsip perundangan Islam ini melanggar kebebasan fundamental serta menceroboh privasi rakyat.

Pada 1999, Kabinet telah mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk menilai semula undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah. Namun sehingga ke hari ini, ia terus dikuatkuasakan dengan lebih banyak ketidakadilan.

Ketidakpuasan hati orang awam, perdebatan isu bidang kuasa, cabaran penghakiman, pendakwaan yang dikenakan, diskriminasi gender, kes kematian dan kecederaan yang terjadi sewaktu serbuan anti maksiat telah mencacatkan kredibiliti undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah, proses penggubalan undang-undang dan keyakinan awam terhadap keadilan undang-undang Syariah.

2) Kekurangan kesedaran awam, walau dalam kalangan pemimpin politik tertinggi, mengenai bidang kuasa undang-undang, batas kuasa pihak berkuasa agama dan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang lain yang dilaksanakan termasuk undang-undang Islam tidak boleh mengatasinya, termasuklah soal kebebasan asas, dan perbezaan kuasa dan prosedur legislatif antara negeri-negeri dan Persekutuan.

Semua Akta, Enakmen dan undang-undang subsidiari, termasuk fatwa, adalah terikat dengan batas yang ditetapkan perlembagaan dan terbuka pada penilaian semula.

3) Keperluan bagi memastikan hak warganegara untuk membahaskan kaedah Islam digunakan sebagai sumber polisi dan undang-undang awam di engara ini. Draf undang-undang Islam Malaysia telah dibuat oleh bahagian eksekutif kerajaan dan digubal dalam badan undang-undang yang dibentuk oleh manusia.

Sumber mereka mungkin tiada cela namun undang-undang yang digubal adalah sebaliknya. Semua itu dibuat oleh manusia dan atas sebab itu ia mengandungi kesilapan dan terbuka untuk perdebatan.

4) Keperluan untuk mempromosi kesedaran dan menzahirkan pendapat mengenai perundangan dalam tradisi Islam. Ini termasuk penggunaan sumber sokongan perundangan yang wujud dalam tradisi bagi membolehkan perubahan dibuat, selain menegakkan prinsip keadilan dan kesaksamaan. Itu semua perlu bagi sebagai maklum balas kepada perubahan dalam aspek permintaan, peranan dan status wanita dalam keluarga serta negara.
5) Keperluan bagi Perdana Menteri untuk menegaskan kepimpinan peribadi dan juga melantik pemimpin-pemimpin utama yang menjuarai perdebatan yang adil, mengenai pentadbiran undang-undang Islam di negara ini.

Kami mendesak barisan pemimpin negara agar memberi isyarat jelas tentang perdebatan yang rasional mengenai undang-undang Islam di Malaysia dan bagaimana semua itu dikod dan dilaksanakan bukan untuk menghina Islam atau pihak berkuasa agama.

Isu-isu ini mungkin nampak rumit bagi banyak pihak, namun di akhir cerita, ia merumuskan bahawa – sebagai orang Islam, kita mahukan undang-undang Islamik, malah lebih daripada undang-undang sivil, bagi mencapai standard tinggi dalam keadilan kerana ia melambangkan undang-undang yang bebas cela. Maka dengan itu, mereka yang bertindak atas nama Islam melalui perundangan Islam perlu bertanggungjawab membuktikan bahawa keadilan sejati dilaksanakan.

Apabila Islam disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW pada kurun ketujuh di tanah Arab, ia sememangnya bersifat revolusi dan progresif. Sepanjang zaman berlalu, agama ini telah membimbing penganutnya melalui tempoh yang sukar dan mencabar.

Kami amat yakin bahawa Islam akan terus relevan dan universal sifatnya. Pemahaman, perincian dan implementasi ajaran kepercayaan itu perlu terus berevolusi.


Yang ikhlas,

1. Tan Sri Datuk Abdul Rahim Haji Din, bekas Setiausaha Agung Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
2. Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar, bekas Setiausaha Agung Kementerian Luar
3. Tan Sri Dr Aris Othman, bekas Setiausaha Agung Kementerian Kewangan
4. Tan Sri Dr Ismail Merican, bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan
5. Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, bekas Setiausaha Agung Kementerian Kewangan
6. Tan Sri Dr Mustaffa Babjee, bekas Ketua Pengarah Jabatan PerkhidmatanVeterinar
7. Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid, bekas Setiausaha Agung Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia
8. Tan Sri Dr Yahya Awang, pengasas Institut Jantung Negara
9. Datuk Seri Shaik Daud Md Ismail, bekas Hakim Mahkamah Rayuan
10. Datuk' Abdul Kadir Mohd Deen, bekas duta
11. Datuk Anwar Fazal, bekas penasihat kanan, Program Pembangunan PBB
12. Datuk Dali Mahmud Hashim, bekas duta
13. Datuk Emam Mohd Haniff Mohd Hussein, bekas duta
14. Datuk Faridah Khalid, wakil suara wanita
15. Datuk Latifah Merican Cheong, bekas Penolong Gobenor Bank Negara
16. Lt Jen (B) Datuk Maulob Maamin, bekas Leftenan Jeneral
17. Datuk Noor Farida Ariffin, bekas duta
18. Datuk Ranita Hussein, bekas Pesuruhjaya Suhakam
19. Datuk Redzuan Kushairi, bekas duta
20. Datuk Dr Sharom Ahmat, bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
21. Datuk Syed Arif Fadhillah, bekas duta
22. Datuk Zainal Abidin Ahmad, bekas Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia
23. Datuk Zainuddin Bahari, bekas Timbalan Setiausaha Agung Kemeneterian PErdagangan Domestik, Koperasi dan Konsumer
24. Datin Halimah Mohd Said, bekas pensyarah Universiti Malaya dan Presiden Persatuan PCORE
25. Puan Hendon Mohamad, bekas Presiden Majlis Peguam Negara.








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”