NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Friday 4 December 2015

MARIANI ISMAIL, SENIWATI YANG DIINGATI


Ucapan Takziah kepada keluarga seniwati Mariani Ismail, telah selamat dikebumikan. Moga-moga roh allahyarhama dicucuri rahmat dan di golongankan mendapat maghfirah daripada Allah s.w.t.

Suatu yang menarik tentang allahyarhamah, beliau memiliki kekuatan ingatan dan dapat mengulas perkembangan-perkembangan semasa yang berlaku dalam negara tercinta.

Seminggu selepas tragedi helikopter AS3655N2 Dauphin (9M-1GB) yang mengalami kemalangan di Sungai Pening, Semenyih, Selangor amat menarik apabila allahyarhamah bercerita tentangnya. Cantik juga anak gadis dalam helikopter itu ya.


---------------------


Mariani selamat dikebumikan

Melissa Saila menyiram air di pusara ibunya, Allahyarham Mariam Ismail yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi
  
TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN  |  03 Disember 2015 12:43 AM
 KUALA LUMPUR 2 Dis. – Jenazah Allahyarham Mariani Ismail, 82, selamat dikebumikan bersebelahan pusara adiknya, Puan Sri Saloma di Tanah Perkuburan Jalan Am­pang, di sini kira-kira pukul 11 pagi, hari ini.

Sebelum itu, Allahyarham yang meninggal dunia pukul 7.32 malam Selasa lalu telah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah, Jalan Sentul pada pu­kul 10 pagi.

Seniwati filem Melayu klasik itu meninggal dunia setelah menderita penyakit kanser usus sejak setahun lalu di rumah anaknya, Siti Haslinda Syed Hamid di Sentul.

Sejak pukul 7 pagi, rakan-rakan artis antaranya Datuk Seri Shah Rezza, Ebby Yus, Lydiawati, Datin Nina Juren, Zaiton Sameon, Afdlin Shauki, Datin Seri Umie Aida, U-Wei, Hail Amir, Uji Rashid, Datuk A Sa­mad Said, Noor Kumalasari dan Rosnah Mat Aris sudah pun menunggu di masjid untuk memberi penghormatan terakhir.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada seniwati itu ialah Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan isteri, Puan Sri Masnah Rais

Sementara itu, anak bongsunya, pelakon dan pengarah, Melissa Saila memberitahu, dia rasa syukur kerana segala urusan pengebumian ibunya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, semuanya telah selesai. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menyempurnakan upacara pengebumian ini.

“Mummy memang disahkan menghidap kanser usus sejak setahun lalu tetapi dia tak mahu dedahkan kepada orang ramai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mariani adalah antara Seniwati terkenal dan berjaya ketika zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas di Singapura dan arwah meninggalkan 13 orang anak, 30 cucu dan lapan cicit.

Sepanjang kariernya yang bermula pada tahun 1952 sehingga kini, Mariani pernah membintangi ratusan filem dan drama seperti Istana Impian, Kembali Seorang, Labu Labi, Nasib Labu-Labi, Tiga Abdul dan Masam-Masam Manis.


----------------

Mariani meninggal dunia pada usia 82 akibat kanser usus
02 Disember 2015 12:59 AM

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Seniwati filem Melayu klasik, Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail, 82, yang menghidap kanser usus sejak setahun lalu, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.32 malam ini.

Anak bongsunya, Melissa Saila Alias mengesahkan berita sedih itu.

Melissa yang ditemui di rumah kakaknya di Sentul di sini memberitahu, ibunya menjalani diagnosis selama setahun akibat kanser usus.

“Seminggu lepas, mummy sudah mula menjadi lemah dan kira-kira pukul 6 pagi tadi dia sudah koma di rumah.

“Sebelum ini dia tinggal bersama saya tetapi Sabtu lepas, dia ada minta supaya dibawa ke rumah kakak saya, Sasha (Siti Haslinda Abdul Hamid),” katanya ketika ditemui di Sentul malam ini.

Tambah Melissa Saila, anak-anaknya yang tinggal di Singapura juga sempat melawat sebelum Allahyarham meninggal dunia malam ini.

“Adik beradik lelaki tiri saya di Singapura juga semuanya sempat bersama dengan mummy selama 45 minit sebelum dia meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Mariani akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang berdekatan kubur Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma pada pukul 10 pagi esok.

Mariani merupakan seniwati Melayu terkenal yang juga kakak kepada biduanita Saloma.

Antara filem yang pernah dibintanginya termasuklah Tiga Abdul, Saudagar Minyak Urat dan Setinggan.

Membintangi hampir 40 buah filem sejak 1952, Mariani paling sinonim dengan watak Manisah dalam filem Nasib Si Labu Labi.
  







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”