NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Tuesday 15 December 2015

KELANTAN NEKAD LAKSANA KANUN JENAYAH SYARIAH



Kelantan Nekad Laksana Kanun Jenayah Syariah

Posted on Wednesday, December 09 @ 12:42:26 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah


Sejak awal pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kelantan 25 tahun yang lalu, perjuangan untuk melaksanakan undang-undang Islam berkait dengan hudud, qisas dan ta'zir telah diusahakan sebaik mungkin. Pada 7 Mei 1992, Almarhum Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar ketika itu telah menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri Malaysia memohon untuk melaksanakan sebahagian daripada undang-undang jenayah Islam. Namun pada 15 ogos 1992 Perdana Menteri menghantar surat balas menolak permohonan tersebut.

2- Usaha diteruskan lagi dengan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) pada 25 November 1993. Tok Guru sekali lagi menulis surat pada 21 Mac 1994 kepada Kerajaan Persekutuan memohon untuk melaksanakan hudud, akan tetapi ditolak melalui surat yang dihantar bertarikh 15 Julai 1994.Tok Guru seterusnya menghantar lagi sepucuk surat pada 17 November 1994 bagi memberi gambaran jelas bahawa hudud yang akan dilaksanakan ini adalah tuntutan dan perundangan Allah, ianya tiada kena mengena dengan agenda politik sebagaimana yang ditohmah oleh Barisan Nasional pada masa itu. Walaupun berkali-kali ditolak, tetapi tidak timbul pada masa itu PAS yang mentadbir Kerajaan Kelantan telah ditipu oleh Umno/BN!

3- Usaha Kerajaan Negeri diteruskan lagi dengan diadakan Sambutan Hari Hududullah saban tahun sehingga ke hari ini. Sambutan ini diadakan bagi menjelaskan kepada rakyat Kelantan pelbagai kaum agar dapat memahami tentang Kanun Jenayah Syariah (KJS) yang bersifat mendidik dan bukannya semata-mata menghukum. Jika disemak melalui ucapan-ucapan Tok Guru semasa beliau menjawat jawatan Menteri Besar, terlalu kerap beliau mengaitkan ucapannya dengan kewajipan melaksanakan hukum Allah di atas muka bumi. Walaupun kompenan BN tidak berhenti menyerang usaha ini dengan tuduhan ianya agenda politik PAS, Tok Guru terus berdakwah dan menerangkan peri-penting pelaksanaan KJS. Kini, perjuangan Tok Guru telah disambung oleh YAB Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob, sebagai penerus kepimpinan Kelantan Membangun Bersama Islam.

4- YAB Ustaz Dato' dengan tegas menyebut berkali-kali dalam ucapannya bahawa KJS ini adalah agenda utama yang sentiasa diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri dan PAS sehingga ianya terlaksana. Usaha untuk menjadikan tahun 2015 sebagai ‘tahun mula’ pelaksanaan KJS sentiasa diuar-uarkan kepada khalayak bagi mempertingkatkan persediaan dari semua sudut disamping memberi semangat kepada rakyat dalam mendokong serta menyokong penuh pelaksanaan KJS di Kelantan.

5- Beliau memandang serius usaha-usaha untuk menjayakan pelaksanaan KJS semasa diberi mandat sebagai Menteri Besar. Menurutnya, tiada guna beliau memegang jawatan tersebut tanpa mempastikan usaha pelaksanaan KJS berjaya sepenuhnya di Kelantan. Namun, malangnya sesetengah pihak yang sengaja mencari kesalahan beliau, mengambil peluang menghujum dan mendesak supaya beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar kerana dikatakan gagal untuk melaksanakan KJS pada tahun 2015 ini.

6- Pada hakikatnya, beliau beserta kepimpinan Kerajaan Negeri telah berusaha semaksima mungkin antaranya dengan memperuntukan sejumlah RM1 juta setiap tahun bermula tahun 2014 demi untuk menjayakan persiapan prasarana kearah pelaksanaan KJS. Sehingga kini, semua persediaan termasuk pindaan enakmen, tatacara, persediaan Kerajaan Negeri dan beberapa prasarana lain telah disediakan. Akan tetapi, usaha pada tahun ini belum lagi berjaya apabila usul pindaan akta 355 yang diangkat ke Dewan Rakyat masih tidak diberi laluan.

7- Kerajaan Negeri telahpun berusaha sedaya-upaya, namun pelaksanaan KJS masih terhalang. Yakinlah, Allah telah mengira usaha ini sebagai jihad dalam melaksanakan tuntutan-Nya dan Allah pasti meredhai kepimpinan Kerajaan Negeri yang tidak berputus-asa bekerja untuk menjayakannya. Soal usaha ini ditipu atau masuk perangkap Umno sebagaimana dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab adalah ucapan yang tiada asas bahkan tidak sepatut keluar daripada mulut seseorang muslim yang telah memahami tuntutan memperjuangkan Islam dan tribulasi yang bakal dihadapi.

8- Ketahuilah, bahawa tabiat perjuangan Islam sudah pasti akan ada ranjau dan penghalangnya. Ia adalah sunatullah dalam kehidupan pejuang yang menegakkan tuntutan agama. Jika perjuangan Rasulullah S.A.W pun pernah didustai, dipinggirkan serta dihalang, maka begitulah juga tabiat perjuangan golongan yang berada diatas landasan perjuangan Islam. Baca dan fahamilah Al-Quran yang menjelaskan tentang liku-liku pahit yang dilalui oleh generasi terdahulu, firman Allah:


وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُواْ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ


Maksudnya: Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka sememangnya menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka, kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya. (Al-Anfal: 30)

Dalam kisah lain, Allah berfirman :


وَقَدْ مَكَرَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلِلَّهِ الْمَكْرُ جَمِيعًا يَعْلَمُ ما تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ وَسَيَعْلَمُ الْكُفَّارُ لِمَنْ عُقْبَى الدَّارِ


Maksudnya: Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka telah melancarkan rancangan jahat (tipu daya terhadap Nabi-Nabi mereka). Oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Dia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri dan orang-orang kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan buruk) pada hari akhirat kelak. (Al-Ra'd:42)

9- Sebilangan Mufassirin menghuraikan ayat diatas berikutan kisah Nabi Isa A.S yang dikhianati oleh pengikutnya dan orang-orang Yahudi yang telah merencana pelbagai tuduhan dan tipu daya terhadap Baginda A.S. Mereka merancang untuk membunuh Nabi Isa A.S. Namun, Allah menyelamatkan Nabi Isa daripada musibah tersebut. Terlalu banyak kisah perjuangan para Rasul yang telah didustai oleh kaum mereka sendiri daripada kalangan kuffar dan munafiqin, namun mereka tetap bersabar. Sementara para Hawari atau pengikut Rasul tetap istiqamah menyokong usaha Rasul mereka dan sama sekali mereka tidak pernah menyalahkan Rasul-Rasul diatas tipu daya yang telah dilakukan oleh musuh mereka.

10- Umat Islam perlu sedar bahawa tipu daya daripada pihak musuh ketika memperjuangkan Islam, adalah perkara yang sudah pasti. Baki lagi kita hendaklah berwaspada dan selebihnya diserahkan kepada kuasa Allah. Perlu diingat, bahawa kita sebagai umat Islam memperjuangkan tuntutan agama adalah bukan kerana wadah politik dan kerana habuan tertentu. Kita berhempas-pulas berjuang adalah semata-mata kerana Allah. Kita juga telah menimbang baik atau buruk serta mafsadah dan maslahahnya sebelum melaksanakan sesuatu agenda.

11- Maka atas dasar inilah, pimpinan PAS dan juga Kerajaan Negeri Kelantan telah membincangkan agenda pelaksanaan KJS secara syura dan keputusan yang dibuat adalah keputusan sepakat! Apa sahaja halangan dan risiko selepas ini, kita serahkan kepada Allah. Jika musuh Islam atau musuh politik ingin menipu usaha ini, sesungguhnya mereka bukanlah menipu PAS atau Kerajaan Kelantan, sebaliknya mereka menipu dan menafikan hak Allah! Renunglah sebuah penegasan dan motivasi Allah SWT kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW dikala menghadapi tipu daya musuh dan pelbagai halangan:


قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَٰكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ. وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ فَصَبَرُوا عَلَىٰ مَا كُذِّبُوا وَأُوذُوا حَتَّىٰ أَتَاهُمْ نَصْرُنَا وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ وَلَقَدْ جَاءَكَ مِن نَّبَإِ الْمُرْسَلِينَ.


Maksudnya: Sesungguhnya, Kami mengetahui bahawasanya apa yang mereka katakan itu menyedihkan hatimu, (Maka janganlah kamu bersedih hati) karena mereka sebenarnya bukan mendustakan kamu, akan tetapi orang-orang yang zalim itu mempertikaikan ayat-ayat Allah. Sesungguhnya Rasul-Rasul sebelum kamu juga telah didustai, akan tetapi mereka sabar terhadap penipuan dan penganiayaan yang dilakukan, sehingga datang pertolongan Kami kepada mereka. Tiada seorangpun yang dapat merubah janji-janji Allah dan sesungguhnya telah datang kepadamu sebahagian daripada berita Rasul-Rasul itu. (Al-An'am:33-34)

12- Usahlah orang-orang PAS khususnya dan penganut agama Islam dalam parti lain mengambil posisi menyerang Kerajaan Negeri Kelantan dalam hal pelaksanaan KJS. Ianya sangat rugi kerana akan menjejaskan ‘mood’ rakyat yang sudah bersemangat untuk melihat pelaksanaan KJS benar-benar terlaksana. Islam sama-sekali tidak membenarkan seseorang muslim untuk bertindak mengelirukan masyarakat apatah lagi menyebabkan umat Islam ‘undur ke belakang’ dalam memahami tuntutan Allah. Hargailah usaha pejuang-pejuang terdahulu yang telah berjaya memperlihatkan kepada ummah bahawa KJS adalah tuntutan Allah dan ianya pada hari ini tidak lagi diratib sebagai agenda politik kepartian. Sokongan padu yang telah diberikan dan perbincangan secara meluas berkaitan hudud, qisas dan ta’zir adalah merupakan kemenangan yang insya-Allah kemenangan lebih besar akan dikurniakan oleh Allah peringkat demi peringkat, yakinlah!


Mohd Asri Mat Daud
Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kelantan





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”