Amaran Tidak Cukup, Pecat Penjawat Awam Terlibat Ketirisan |
Berita Bekas Menteri Kewangan Tun
Daim Zainuddin menggesa Putrajaya memecat penjawat awam yang terlibat dalam
ketirisan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan memberi amaran sahaja tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya kerajaan perlu tegas membuang mereka bagi memberi contoh terbaik supaya berdisiplin.
"Amaran-amaran ini tidak
boleh, buat salah terus sahaja tendang keluar. Kamu (kerajaan) perlu lakukan.
(Dengan) memecat, dapat beri contoh.
"Mereka perlu berdisiplin,
bila tidak berdisiplin, ini masalahnya. Mereka tidak kisah," kata beliau
kepada media selepas merasmikan buku berjudul "The Colour of
Inequality" di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac), Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, pendedahan yang dibuat
saban tahun melibatkan kebocoran wang negara menunjukkan mereka tidak peduli
dan bimbang walaupun berkali-kali diberi amaran.
"Sejuta, dua juta mereka
buat tak faham. Buang terus. Kenapa perlu simpan? Kalau mahu jujur, tendang
mereka," katanya.
Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara (PAC) terkejut kerana lebih banyak kementerian bakal dipanggil
jawatankuasanya berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 3 yang baru
didedahkan.
PAC akan memanggil 13 kementerian
dan dua agensi berdasarkan kepada laporan tersebut dan prosiding dijangka
bermula pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Antara kementerian yang akan
dipanggil segera adalah Kementerian Pendidikan berhubung program 1Bestarinet
dan Kementerian Kesihatan bagi pembinaan hospital di Shah Alam.
Laporan Audit Negara mendapati
projek 1Bestarinet yang bernilai RM663 juta mempunyai tahap penggunaan yang
sangat rendah.
Laporan itu menyatakan
penyambungan Internet ke 4,176 tapak pengguna lewat disiapkan, antara 12 ke 439
hari dari tempoh pelaksanaan yang ditetapkan.
Tambahan, tiada lanjutan masa
dilakukan dan kontraktor tidak dikenakan denda lewat sejumlah RM2.4 juta.
Bagi prosiding kategori program,
PAC bakal memanggil Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
Sementara itu, PAC juga sudah
menghantar surat teguran pengesahan penyata kewangan 2013 dikenakan terhadap
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Finas, Lembaga Pembangunan Seni Visual, Lembaga
Wakaf Hindu Penang, Perbadanan Aset Keretapi, dan Perbadanan Perusahaan Kecil
dan Sederhana.
No comments:
Post a Comment