NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Saturday 27 June 2015

GELAGAT 'PROFESIONAL' BAK API DALAM SEKAM PAS




Gelagat 'profesional' bak api dalam sekam PAS

pada 20-06-2015 10:06 Ditulis Oleh Lokman Ramlee


[ULASAN] Saf kepimpinan ulama PAS benar-benar menghadapi ujian getir ketika ini. Bukan sahaja mereka perlu menangani gelagat DAP yang bertindak lebih daripada seteru politik, tetapi golongan profesional yang ditumpaskan awal bulan ini.

Ketika Datuk Seri Haji Abdul Hadi sibuk mengatur pasukan pengurusan dan kepimpinan PAS, golongan yang mengaku masih menjadi ahli PAS ini sibuk pula membina persepsi yang agak negatif terhadap parti itu sendiri.

Ada di kalangan tokoh-tokoh golongan profesional itu cuba menyindir dan membayangkan betapa lemahnya kepimpinan beliau hingga perlu ada parti baru ditubuhkan menggantikan PAS.

Selain Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) kini menggembar-gemburkan khabar ia akan ‘bersalin kulit’ menjadi sebuah parti politik, ada juga pemimpin PAS sendiri yang memberi gambaran suram tentang masa depan PAS.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, misalnya berkata, pembentukan parti baru akan diusahakan jika kepimpinan PAS yang dipilih pada Muktamar PAS kali-61 lalu tidak dapat berfungsi dengan baik.



Secara langsung atau tidak kenyataan ini memberi gambaran yang kurang mengujakan terhadap mutu kepimpinan PAS yang umumnya ditunjangi pemimpin dari golongan ulama.

Ia memberi isyarat seolah-olah keberangkalian kepimpinan ulama yang baru dipilih oleh perwakilan PAS akan gagal, adalah agak tinggi; lantas perlu dipersiap parti pengganti. Jika ini bukan kritik kurang membina apakah namanya?

Mungkin Khalid tidak berniat mencemoh wibawa ulama. Namun dalam suasana peralihan kepimpinan PAS, kenyataan yang bersifat ‘gergaji dua mata’begitu pasti tidak membantu pengukuhan politik PAS.

“Kami masih mempunyai peranan untuk menentukan bahawa Pas akan terus memainkan peranan yang seperti mana sepatutnya.



"Jika tidak, kami akan ke hadapan. Penubuhan parti baharu ini hanya akan terlaksana bergantung kepada keupayaan pemimpin baharu," katanya.



Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Pusat berkata, PAS perlu memainkan peranan menegakkan Islam, menyatupadukan kaum dan memenuhi keperluan rakyat jika mahumengelak parti baru ‘ala-PAS’ditubuhkan.



"Kami akan memberikan masa kepada mereka melihat sejauh mana peranan yang dimainkan pemimpin baru.

Tetapi tiada garis masa tempoh itu. Jika mereka gagal, kami akan terus ke hadapan," katanya.

Sebagai ahli politik, cakap Khalid dilihat berlapik. Bagaimanapun seorang lagi profesional yang gagal mempertahankan kedudukan dalam jawatankuasa Pusat, Hanipa Maidin segera melontarkan pandangan supaya PAS keluar Pakatan Rakyat.

Jika tidak, hujahnya, PAS akan dilihat mahu berpaut pada kuasa politik yang diraih bersama Pakatan Rakyat walaupun pada dasarnya Dewan Ulama sudah mengesyorkan supaya hubungan politik dengan DAP diputuskan.


Seorang lagi tokoh profesional yang nampaknya masih belum dapat menyembunyikan kekecewaan tumpas dalam pemilihan lalu ialah bekas Timbalan Presiden, Mat Sabu.

Dalam tembual bersama sebuah portal berita, beliau meramalkan bahawa PAS tidak akan mendapat kembali sokongan orang bukan Islam berikutan tindakan ‘fasakh’ politik dengan DAP.

Satu faktor yang menyokong hujahnya, kata Mat Sabu, ialah hakikat bahawa PAS kini dipimpin oleh tokoh dari Pantai Timur yang jarang bersemuka dengan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Mat Sabu berkata, pemimpin Pantai Timur dari Kelantan dan Terengganu mungkin berfikir mereka tidak memerlukan sokongan bukan Islam kerana mereka hanya berinteraksi dengan orang Melayu setiap hari.

"Mereka tidak akan merasa seperti apa yang kita lakukan di sini di Pulau Pinang dan Selangor. Pemimpin Kelantan juga berkata adalah bagus melakukannya tanpa PR kerana mereka membuat penilaian berdasarkan lokasi mereka sendiri.

"Mereka boleh menang di kawasan mereka tetapi bagaimana pula Selangor, Melaka dan Johor? Di Kedah, ada juga kawasan Parlimen di mana undi bukan Islam membentuk kira-kira 40 peratus," katanya.

Mat Sabu berkata pemimpin PAS tidak realistik jika mereka fikir parti boleh bergerak sendirian dalam pilihan raya umum.

"Dalam pilihan raya, anda mesti mempunyai gabungan, melainkan jika anda hanya mahu menjadi parti serantau di Kelantan dan Terengganu.Ini semua sudah terkebelakang," katanya.

Bagaimanapun dalam ucapan penggulungannya di Muktamar PAS ke-61 tempoh hari, Haji Hadi menggariskan keperluan untuk mencergaskan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dari kalangan bukan Melayu.

Selain mahu menjadikan sistem jaringan usrah di peringkat Ranting, Kawasan dan Negeri sebagai tulang belakang pengurusan PAS, mencergaskan DHPP dilihat wawasan untuk memastikan sokongan bukan Melayu berkekalan.

Belum sebulan golongan ulama mengambil alih kepimpinan PAS, mereka kini disindir, cemuh dan gertak oleh kalangan ahli dan bekas pemimpin parti itu sendiri.

Soalnya, apa sudah jadi pada iltizam dan tarbiyah yang pemimpin-pemimpin profesional PAS anuti selama ini? Tindak tanduk mereka ‘bak api dalam sekam’ yang boleh membakar kewibawaan dan keutuhan PAS.

Benarkah dakwaan bahawa kepimpinan ulama sudah tersasar dari strategi mahu menumbangkan Umno-BN?

Atau, adakah golongan profesional kini terlalu taksub dengan ‘silat politik’ rakan-rakan Pakatan Rakyat lain sehingga merumuskan ulama tidak bijak memimpin?

Kemana pergi rasa kasih sayang pada jemaah? Adakah perselisihan pandangan dengan golongan ulama hari ini begitu meruncing hingga soal apa akan jadi pada jemaah PAS sudah tidak lagi penting bagi mereka.

Atau, adakah luka kecundang dalam pemilihan lalu terlalu pedih sehingga mereka sudah hilang pedoman dan alpa bahawa kenyataan-kenyataan itu hanya akan melemahkan lagi PAS?

Mungkin benar persoalan yang dilontarkan oleh ulama sebelum muktamar tempoh hari bahawa yang jadi isu politik terkini bagi PAS ialah wala’ atau kesetiaan golongan tertentu yang terkesima dengan strategi PKR dan DAP.









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”