NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Monday 22 June 2015

KEBARANGKALIAN KAPAL TANGKI MT ORKIM HARMONY DIROMPAK LANUN - APMM



Kebarangkalian kapal tangki MT Orkim Harmony dirompak lanun - APMM


Bernama | Kemas kini: Jun 15, 2015
(Diterbitkan pada: Jun 15, 2015 22:30 MYT)

Kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu membawa 22 orang kru dengan 16 daripadanya adalah warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.
PUTRAJAYA: Kehilangan kapal tangki MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik muatan petrol RON95 dianggarkan bernilai RM21 juta menjurus kepada rompakan lanun, kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Beliau berkata ini kerana tiada panggilan kecemasan diterima daripada kapal itu selain tiada tanda ia menghadapi kemalangan ketika hilang pada 8.57 malam Khamis lepas.

Beliau juga menolak kemungkinan kapal itu dirampas dan anak kapal dijadikan tebusan memandangkan sehingga 3.30 petang tadi tiada mana-mana pihak menghubungi untuk meminta wang tebusan.

"Kalau kapal bocor sekalipun mesti kru kapal sempat membuat panggilan kecemasan. Jika karam atau kemalangan pasti ada tumpahan minyak.

"Tetapi setakat ini tiada tanda-tanda seperti itu. Jadi kebarangkalian kapal itu dirompak (lanun) adalah besar setakat ini," katanya pada sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal itu, di sini hari ini.

Kapal MT Orkim Harmony sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan apabila ia dilaporkan hilang.

Kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu membawa 22 orang kru dengan 16 daripadanya adalah warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

Ahmad Puzi berkata MT Orkim Harmony adalah kapal milik syarikat Magna Meridian Sdn Bhd dan muatan petrol yang dibawa adalah milik Petronas.

Menurutnya berdasarkan modus operandi kes rompakan terdahulu, muatan minyak akan dipindahkan ke kapal lain di tengah laut dan kru akan dilepaskan untuk mengendalikan semula kapal tersebut ke pelabuhan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya, muatan petrol RON95 dibawa kapal MT Orkim Harmony adalah sukar dan berisiko untuk dipindahkan memandangkan ia mudah terbakar.

"Kami percaya mereka masih mencari kemudahan untuk memindahkan minyak kepada pelanggan mereka," kata Ahmad Puzi sambil menambah bahan bakar kapal itu boleh bertahan selama 22 hari.

Beliau berkata kapal itu dilengkapi pelbagai alat perhubungan dan sistem pengesan yang boleh memberikan kedudukannya sepanjang masa namun sehingga kini ia gagal dikesan.

Katanya operasi SAR besar-besaran melibatkan 10 buah kapal, tiga bot dan satu pesawat milik APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kira-kira 1,500 anggota yang meliputi kawasan pencarian seluas 50,000 kilometer persegi diyakini akan membuahkan hasil sedikit masa lagi.

"Jika keadaan cuaca baik ia akan berada pada kelajuan konsisten. Kalau kapal menuju ke utara, pada ketika ini ia dijangka berada di perairan Vietnam, kalau ke timur ia akan berada di perairan Sabah.

"Tetapi jika sebelum sampai perairan Sarawak ia (kapal) belok ke kanan ia akan ke Pontianak (Kalimantan) atau lebih jauh ke Tanjung Priok berhampiran Jakarta," jelasnya.

Ahmad Puzi juga tidak menolak kemungkinan kapal itu bersembunyi di perairan kepulauan Anambas dan Natuna (Indonesia).

Sehubungan itu APMM dan TLDM telah membuat sekatan di semua laluan keluar daripada perairan negara , katanya.

Katanya APMM juga telah berhubung dengan semua pihak berkuasa negara-negara ASEAN serta mendapatkan kerjasama Amerika Syarikat dan Australia bagi menjejaki kapal itu.

Beliau berkata kehilangan kapal MT Orkim Harmony adalah kes keempat di Laut China Selatan pada tahun ini dengan tiga daripada kes itu merupakan rompakan.

Katanya APMM menyiasat kes kehilangan kapal itu daripada semua sudut termasuk latar belakang anak kapal serta laluan kapal tersebut.

Sehubungan itu beliau menggesa semua syarikat perkapalan untuk membuat laporan kepada pihaknya secepat mungkin sekiranya berlaku kecemasan atau kehilangan kapal bagi memudahkan pencarian.

Berikut senarai anak kapal MT Orkim Harmony:-


MALAYSIA

Nor Fazly Sahat, 39  (Kapten)
Mohd Kholil Ashari Mohd Rozar, 27
Mohd Awis Aiman Abdullah, 26
Mohd Nur Firdaus Nawawi Akihito, 24
Ooi Jan Tong, 64
Nurul Hafis Abdul Rauf, 34
Khaw Hock Aun,61
Muhammad Hasren Ellaney Mohd Nasir, 24
Ariff Adnan Mohd Tajudin, 24
Nor Zaini Ahmad Bustaman, 22
Osman Khalid, 23
Amirul Azim Zabarudin, 21
Mohd Ridzuan Suhaimi, 23
Mohamad Adib Jamaludin, 22
Tan Chee Hau, 23
Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 20

INDONESIA

Bambang Suryawan, 43
Iwan Asriadi, 39
Nelson Hasiholan Sitorus, 35
Ntan Kombongan, 30
Mawit Matin, 46


MYANMAR

Myint Oo, 49







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”