NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Tuesday 18 August 2015

KUNCI SEBUAH PEMBEBASAN



Kunci sebuah pembebasan
HARAKAHDAILY  I  07 Ogos 2015.


ISLAM adalah agama yang memenuhi keperluan manusia dari aspek mental, fizikal dan spiritual melalui panduan wahyu dengan Iman, Islam dan Ihsan. Sesungguhnya, kecemerlangan setiap individu Muslim adalah dengan pencapaian sifat ketakwaan. Sifat ketakwaan diperolehi dengan kesepaduan dan penghayatan aspek Iman, Islam dan Ihsan dalam kehidupan. Justeru, marilah bersama kita mengukuhkan ketakwaan kepada Allah SWT agar kita beroleh kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali Imran ayat 102:


 A102


“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”


Mimbar pada hari Jumaat yang mulia ini akan membicarakan khutbah bertajuk:

“KUNCI SEBUAH PEMBEBASAN”.


Jerusalem, al-Quds dan Baitulmaqdis merupakan kota suci bersejarah bagi penganut Agama Yahudi, Kristian dan Islam. Bagi setiap Muslim, bumi Palestin secara umumnya memiliki kedudukan istimewa sebagai tanah suci yang diberkati melalui peritiwa Israk dan Mikraj. Selain itu, Masjid al Aqsa merupakan kiblat pertama bagi umat Islam. Bumi Palestin atau bumi Syam juga merupakan tanah kelahiran dan kematian serta bersemadinya para nabi dan rasul. Kini, kota lama dan Ibukota bersejarah bagi Negara Palestin ini ditadbir oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sejak kemenangan Israel pada perang tahun 1967, dikuasai sepenuhnya oleh Israel walaupun masyarakat dunia tidak mengiktirafnya. Berlanjutan sehingga kini, pertikaian demi pertikaian, perebutan demi perebutan dan peperangan demi peperangan berlaku dalam usaha Israel untuk menguasai keseluruhan bumi Palestin.

Sesungguhnya, kota suci bersejarah ini pernah berdaulat di bawah pimimpinan para pemerintah Islam bermula dari zaman khalifah Islam kedua iaitu Sayidina Umar RA. Para penduduk dan rakyat kota suci ini hidup harmoni, aman dan damai walaupun mereka terdiri dari kalangan masyarakat majmuk yang berlainan anutan dan agama. Inilah dasar kerajaan Islam yang sentiasa menjamin keamanan dan kesejahteraan setiap masyarakat, agama dan bangsa di bawah naungannya. Kerana Islam itu adalah agama damai dan cintakan perdamaian serta perkataan Islam itu sendiri membawa maksud salam atau perdamaian.

Namun, tabiat musuh Islam tidak akan berhenti dari memerangi Islam sehinggakan mereka bercita-cita memurtadkan umat Islam. Dengan alasan membebaskan al-Quds dan Kota Suci ini dari penguasaan Islam serta membebaskan orang-orang Kristian daripada pemeritahan Islam. Maka berlakulah peperangan demi peperangan. Siri peperangan bersejarah dalam perebutan al-Quds ialah Perang Salib yang pertama, kedua dan ketiga. Perang Salib Pertama berlaku antara tahun 1095 hingga tahun 1099.

Seterusnya Perang Salib Kedua pada tahun 1145 hingga tahun 1149 tercetus sebagai kesinambungan daripada siri Perang Salib pertama setelah tentera Salibiah berjaya menawan banyak negeri yang berada di bawah naungan Islam. Namun, setelah hampir 91 tahun dan di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayubi, Islam berjaya menawan kembali al-Quds. Akhirnya, tercetus Perang Salib Ketiga pada tahun 1189 hingga tahun 1192 melalui pakatan raja-raja Kristian iaitu Henry II dari England dan juga Philip II dari Perancis terhadap tentera pimpinan Salahuddin al-Ayubi.

Apabila membicarakan Perang salib, Salahuddin al-Ayubi adalah individu yang paling diingati dalam peristiwa bersejarah ini. Bagaimanakah Salahuddin al-Ayubi berjaya menawan Baitulmaqdis? Apakah kekuatan yang dimiliki beliau dan tenteranya sehingga berjaya menawan Baitulmaqdis? Apakah pengajaran yang boleh diperolehi dari peristiwa bersejarah ini?

Kejayaan Salahuddin al-Ayubi dan tenteranya menawan Baitulmaqdis bukanlah usaha yang mudah dan diperolehi dengan harga yang murah. Tetapi Baitulmaqdis diperolehi dengan ilmu, kesungguhan, kesabaran dan kesatuan daripada seluruh umat Islam.

Ilmu adalah asas utama dalam setiap tindak tanduk umat Islam. Jihad itu lahir dari ilmu dan pengetahuan bukan lahir dari emosi dan perasaan. Bahkan, persoalan jihad dalam Islam dibicarakan secara tuntas dan khusus di dalam kitab-kitab fiqah. Peperangan berdasarkan perspektif Islam tidak membenarkan membunuh kanak-kanak, ibu-ibu atau orang-orang tua. Bahkan, tidak dibenarkan membunuh sama sekali sekiranya tiada penentangan. Rumah ibadat tidak boleh diceroboh apa lagi diroboh. Sejarah membuktikan banyak kota-kota Islam dibuka tanpa sebarang peperangan dan pertumpahan darah.

Dalam membicarkan keperluan ilmu, Salahuddin al-Ayubi sendiri menghabiskan zaman mudanya mencari ilmu dan pengetahuan daripada menghadiri latihanlatihan peperangan. Ketika berumur 31 tahun, barulah beliau bersama-sama tentera Islam ke Kaherah untuk menawan Mesir daripada Kerajaan Fatimiyyah. Keilmuan yang dimiliki Salahuddin al-Ayubi terserlah di atas kebijaksanaan tokoh ini memimpin tentera Islam. Penduduk Kristian dibenarkan meninggalkan al-Quds dengan segala keperluan mereka kecuali hanya senjata. Manakala penduduk Islam ketika al-Quds ditawan oleh tentera Salibiah dibunuh begitu sahaja. Paling diingati dalam sejarah Perang Salib, Salahuddin al-Ayubi pernah menawarkan khidmat perubatan kepada seterunya Raja Kristian.

Kesungguhan dan kesabaran pula adalah antara sifat penting yang perlu ada bagi setiap umat Islam. Baitulmaqdis bukan sahaja berjaya ditawan semula oleh Islam di bawah usaha dan kepimpinan Salahuddin al-Ayubi seorang. Tetapi telah melalui lebih dari satu kurun dan berada di bawah beberapa generasi kepimpinan seperti Imad al-Din Zinki, Nur al-Din Mahmud Zinki dan Salahuddin al-Ayubi. Bahkan, al-Quds ditawan semula di bawah kepimpinan Salahuddin al-Ayubi pada Perang Salib Kedua selepas tentera Salibiah menguasainya dari Perang Salib Pertama.

Kesatuan umat Islam adalah aspek yang amat penting selepas ilmu, kesungguhan dan kesabaran. Kerana itu, pepatah Melayu yang menyebutkan "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh" seharusnya menjadi peringatan kepada kita bersama. Islam dengan mudah akan disekat dan umat Islam akan diperkotak-katikkan kerana tiada kesatuan daripada kita bersama. Sejarah memperlihatkan, Tentera Salibiah berjaya menawan al-Quds kerana umat Islam meminggirkan penghayatan kehidupan berasaskan ajaran Islam yang sebenar, dalam masa yang sama sering berbalah, berperang dan saling menjatuhkan.

Kejayaan, kemajuan dan kecemerlangan umat Islam adalah apabila mereka bersatu padu dan saling membantu. Rasulullah s.a.w. menggambarkan keadaaan ini di dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada al-Nu’man bin Basyir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:


Bermaksud: “Perumpamaan orang yang menjaga hukum Allah dan orang yang melanggarnya ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala sebahagian lagi di tingkat bawah. Maka apabila mereka yang berada di bawah inginkan air, mereka terpaksa pergi meminta kepada mereka yang berada di tingkat atas. Lalu mereka yang di bawah itu berkata: “Jika kita membuat lubang pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas kita.” Jika mereka yang berada di tingkat atas itu membiarkan mereka yang berada di tingkat bawah melakukan perbuatan tersebut (melubangkan kapal), pasti semuanya akan musnah (tenggelam). Sebaliknya jika mereka yang berada di tingkat atas menegah perbuatan mereka, pasti mereka yang di tingkat atas akan selamat dan akan selamat juga semuanya termasuk di tingkat bawah.”


Rumusan daripada khutbah yang disampaikan pada hari ini antaranya ialah:

Pertama: Setiap perlakuan individu Muslim mestilah berasaskan ilmu kerana ilmu sahaja yang dapat menjamin kebenaran daripada kebatilan, penyelewengan dan kesesatan.

Kedua: Kesungguhan dan kesabaran adalah antara sifat penting yang perlu ada bagi setiap individu Muslim untuk mencapai kecemerlangan, kemajuan dan kebahagian dunia serta akhirat.

Ketiga: Kemajuan dan kemunduran umat Islam adalah kerana hati-hati umat ini tidak bersatu teguh untuk sama-sama memacu ke arah kemajuan.

Keempat: Keilmuan, kesungguhan, kesabaran, kesatuan dan ketokohan Salahuddin al-Ayubi dan bala tenteranya wajar dijadikan model dalam memahami erti jihad dan tuntutannya di dalam Islam.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah surah al-Haj ayat 40:


 A040


“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

  
Artikel di atas ialah teks khutbah Jumaat JAWI pada 7 Ogos 2015M/ 22 Syawal 1436H.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”