Inilah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu ‘monotonous’ itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak. Walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.
BANGAU OH BANGAU DAH MERESAPI MASYARAKAT KITA
pada 8hb September 2013 pukul 12.04 ptg
Bangau oh bangau,
Kenapa engkau kurus?
Macam-mana aku tak kurus,
Ikan tak mahu timbul,
Ikan tak mahu timbul.
Ikan oh ikan,
Kenapa engkau tak timbul?
Macam-mana aku nak timbul,
Rumput panjang sangat,
Rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput,
Kenapa engkau panjang?
Ana aku tak panjang,
Kerbau tak makan aku,
Kerbau tak makan aku.
Kerbau oh kerbau,
Kenapa tak makan rumput?
Macam-mana aku nak makan,
Perut aku sakit,
Perut aku sakit.
Perut oh perut,
Kenapa engkau sakit?
Macam-mana aku tak sakit,
Makan nasi mentah,
Makan nasi mentah.
Nasi oh nasi,
Kenapa engkau mentah?
Macam-mana aku tak mentah,
Api tak mahu menyala,
Api tak mahu menyala.
Api oh api,
Kenapa engkau tak mahu menyala?
Macam-mana aku nak menyala,
Kayu api basah,
Kayu api basah.
Kayu oh kayu,
Kenapa engkau basah?
Macam-mana aku tak basah,
Hujan timpa aku,
Hujan timpa aku.
Hujan oh hujan,
Kenapa timpa kayu?
Macam-mana aku tak timpa,
Katak panggil aku,
Katak panggil aku.
Katak oh katak,
Kenapa panggil hujan?
Macam-mana aku tak panggil,
Ular nak makan aku,
Ular nak makan aku.
Ular oh ular,
Kenapa nak makan katak?
Macam-mana aku tak makan,
Memang makanan aku,
Memang makanan aku.
Inilah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam
bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi
hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya.
Rentak lagu ‘monotonous’ itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak.
Walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi
unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka
salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak
berlepas diri daripada dipersalahkan.
Mengapakah lagu ini mengambil binatang-binatang seperti
bangau, ikan dan katak sebagai pesalah? Begitu juga dengan alam semula jadi
seperti rumput, hujan dan nasi? Mengapakah ia tidak menggunakan manusia sebagai
karektornya? Adakah pencipta lagu ini juga termasuk ‘pesalah’ yang suka
menyalahkan orang lain sehingga meletakkan pesalahnya kepada tumbuhan dan
haiwan?
Mungkin agaknya beliau hendak menjaga hati manusia, maklumlah
justeru terdapat ramai manusia yang begitu sensitif bila ditegur dan tidak mahu
mengaku pula kesalahan yang dibuat.
Lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan
lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat
kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada
bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya.
Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya.
Pastinya, sikap salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan
selesai.
Iktibarnya, kisah ini mengajar kita apabila berlaku satu
masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya
sehinggalah ke sebesar-besarnya (sama
ada dari segi kedudukan atau pengaruh) sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan,
peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita
hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari.
Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah
dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun
masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut
kemampuan dan pada lingkungan pengaruh kita. Ubahlah dan betulkanlah diri
dahulu maka barulah kita akan berjaya membetulkan orang lain.
Secara sinisnya, ‘bangau’ hendaklah belajar menangkap ikan
dalam keadaan rumput yg panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan
rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, “Oh bangau, kenapa kau kurus?"
Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu
datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan
itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang
mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa
usul periksa.
Dalam masyarakat apabila berhadapan dengan masalah, terdapat
dua golongan iaitu golongan yang proaktif dan golongan yang reaktif. Golongan
reaktif ialah golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering
menyalahkan orang lain. Dan dia suka menumpukan masalah kepada lingkungan
pengaruh orang lain. Jarang dia mahu memfokus pada lingkungan pengaruhnya.
Misalnya apabila seseorang anak itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang
dilakukannya maka dengan pantas ia menyalahkan ibu-bapanya.
Jika ditanyakan kepada sianak, “Kenapa awak jadi begini?”
Dia pun menjawab, "Ini bukan salah saya. Ayah dan ibu saya
yg salah!”
Manakala apabila ditanya kepada ibu-bapanya pula, lantas
mereka pula menjawab, “Ini bukan salah kami tetapi ini salah guru.”
Begitulah seterusnya.
Masing-masing melihat dan berlegar dalam lingkungan pengaruh
orang lain yang tidak boleh dikawal. Kalau begini, sampai bila-bila pun masalah
tidak akan selesai. Inilah bahana budaya menuding jari. Kenapa jadi bodoh, guru
tidak pandai mengajar. Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah
sifat orang yang reaktif. Dan inilah yang sedang membudaya dalam masyarakat
kita sekarang, terutama orang-orang politik.
Lawan kepada sikap reaktif ialah proaktif. Proaktif
maksudnya apabila ia berhadapan dengan
sesuatu masalah, berdepan dengan suatu peluang, dia akan menumpukan kepada apa
yg dia boleh buat. Yakni dalam lingkungan pengaruh yang mampu dikawalnya.
Walaupun pengaruh itu kecil, lama kelamaan ia akan bertambah. Jika kita
mengubah diri kita, maka perubahan itu akan mampu mengubah orang lain. Sikap
lebih berkesan daripada cakap. Jangan harapkan perubahan orang lain untuk
mengubah diri kita. Orang yg proaktif
ialah orang yang punya keyakinan diri, disiplin diri dan self-esteem (harga
diri) yang tinggi. Ia bukan sahaja mampu mengawal diri bahkan akan mampu
mengawal orang lain. Manakala orang yg reaktif pula ialah orang yang dicorakkan
oleh keadaan. Ke mana dia pergi, dia akan dicorakkan kerana tiada kekuatan
dalaman untuk berhadapan dengan setiap masalah.
Dalam kes masalah sosial remaja setiap pihak hendaklah bersikap proaktif.
Budaya ‘bangau oh bangau’ hendaklah dihentikan. Sebagai manusia yang telah akil
baligh, yakni berfikiran waras, remaja tidak seharusnya terus menyalahkan
ibu-bapa atas kesilapan dan kesalahannya. Firman Allah swt:
“Dan
apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan
oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut
apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka
menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang
perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”
( Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat: 170 )
Begitulah juga masyarakat dan para pemimpin-masing-masing
hendaklah melihat dan bercermin pada hati nurani masingmasing. Apa akan jadi
jika pemimpin menyalahkan rakyat dan rakyat pula menyalahkan pemimpin? Ingat-ingatlahlah,
kita bukan bangau, kerbau atau ikan yang tidak punya akal fikiran. Allah
sendiri mengiktiraf hak dan pilihan individu, maka atas dasar itu masing-masing
akan ditanya mengikut peranan, kemampuan dan tanggung-jawab masing-masing. Kita
tidak boleh menyalahkan sesiapa, hatta menyalahkan syaitan sekalipun! Jika kita
terpedaya akan tipu dayanya itu bukan salahnya, tetapi itu adalah salah kita…
Kenapa kita boleh ditipu? Rasulullah saw bersabda:
“Setiap kamu adalah
pengembala (pemimpin), dan setiap pengembala akan ditanya akan gembalaannya.”
Terdapat juga segolongan masyarakat yang tidak mengambil
kisah tentang apa yang berlaku di sekelilingnya. Golongan ini bersikap in-aktif
yakni tidak ambil kisah atau tidak mahu ambil tahu langsung tentang apa yang
berlaku dalam masyarakat. Katakanlah,
jika dia melihat masalah remaja, dia mungkin kata, “Biarkanlah, asalkan jangan terkena pada anak aku.” Dia lebih rela
bersikap ‘tidak apa’ dengan apa yang
telah berlaku. Hatinya buta, tidak prihatin dan tidak sensitif. Dia hanya
menjaga kepentingan dirinya sahaja. Dia akan tercabar hanya apabila ada orang
yg mengganggu ‘tepi kainnya.’
Katakanlah, jika berlaku sesuatu tragedi buruk, dia akan berkata, “Itu di negeri lain, bukan di negeri aku.
Jika berlaku di negerinya, dia akan kata, “Itu di negeri lain, bukan
kampungku.” Apabila terjadi di kampungnya, dia boleh kata, “itu di kampung sebelah utara, saya kampung
sebelah selatan.” Bila dia sedar? Apabila terkena batang hidungnya, barulah
dia tersentak dan meminta pertolongan orang lain. Individu yang in-aktif ini
tidak sedar bahawa hakikatnya manusia umpama penumpang sebuah kapal yang besar,
yang mana kebocoran di mana-mana tempat akan menenggelamkan seluruh kapal jika
kebocoran itu tidak ditampal bersama-sama. Sikap in-aktif sebahagian masyarakat
ini mengingatkan kita pada ungkapan “Siluncai
terjun dengan labu-labunya… biarkan, biarkan….”
Akhir sekali, bagi mengatasi masalah budaya reaktif ‘Bangau oh bangau’ dan sikap in-aktif ‘Siluncai terjun dengan labu-labunya’
maka kita perlulah bersikap berani. Berani mengakui kesalahan dan kelemahan
diri. Berani menanggung risiko akibat pilihan dan perlakuan kita sendiri. Dan
kemudian berani pula untuk memperbaiki kelemahan itu dengan meningkatkan ilmu,
kemahiran dan sikap kita terhadap sesuatu perkara.
Kedua, kita perlu tahu akan kekuatan-kuatan yang ada pada
diri. Kita yakin pada kekuatan itu dan menambah serta mempertingkatkannya dari
semasa ke semasa. Yakinlah setiap insan dilahirkan dengan keistimewaan
masing-masing. Kita adalah unik dan terbaik dalam bidang-bidang tertentu.
Kenali bidang itu dan terokailah dengan yakin. Bukankah bangau punya tengkuk yang
panjang dan ikan mempunyai ketangkasan berenang dan menyelam? Dan dengan tengkuk yang panjang bangau boleh menyusup ke
celah-celah rumput yg panjang dan dengan ketangkasan berenang dan menyelam ikan
boleh timbul ke permukaan. Lihat pada apa yg ada, barulah kita bersyukur.
Jangan dikenang apa yang tiada, nanti kita kufur …
No comments:
Post a Comment