Diterbitkan: 26 Mac 2015 Ditulis oleh ABDUL HADI AWANG
Saudara dan saudari yang dihormati,
Dengan rasa rendah diri, surat ini saya tujukan kepada semua umat
Islam dengan semangat saling ingat memperingati sesama kita.
Antaranya menyebut perkataan-perkataan seperti “Siyasah Syari’yyah”, “Maqasid Syari’ah”, “Fiqh Aulawiyyat”, “Maslahah” dan lain-lain.
Ketika membicarakan tajuk yang berat seperti ini, maka
tentunya sangatlah tidak manis sekiranya kita menjadi laksana burung kakaktua
yang pandai hanya menyebut kalimah yang diajar oleh tuannya, namun tetap
berstatus binatang tanpa akal tanpa memahami hakikat atau tasawwur daripada
perkataan yang diucap. Maka menjelaskan maknanya dengan ilmu yang bersumberkan
al-Quran dan as-Sunnah adalah sangat penting.
“Hudud” adalah cabutan daripada salah satu daripada hukum
jenayah yang banyak dan menyeluruh. Mungkin sengaja dijadikan hujah yang
difikirkan bagi menolak syari’at. Mereka menganggap Hudud paling sesuai
dijadikan sasaran kerana pandangan mereka paling ganas, tanpa mengetahui secara
detail dan objektif. Tanpa menyedari pula betapa ganasnya undang-undang ciptaan
manusia yang masih dibanggakan, seperti hukuman bunuh secara kuno: menjerut
tali ke leher secara menggantung, begitu juga hukuman sebat sehingga menyeksa tanpa kesan mendidik masyarakat.
Penjelasan ini khusus bagi penganut Islam yang jahil tanpa
dimaafkan, kerana beriman tanpa ilmu dan tidak berbudiman terhadap agama
sendiri, serta tanpa peduli terhadap batas-batas iman dan kufur yang wajib
diketahui dan dipelihara secara fardu ‘ain.
Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitabnya تيسير الفقه للمسلم المعاصر [Memudahkan kefahaman (terhadap agama )
kepada Muslim Semasa atau terkini] di halaman 102 menjelaskan:
Terdapat tiga madrasah (pandangan) apabila menghadapi masalah semasa:
1- Kalangan yang berpegang kepada nas juzi’i yang zahir
secara jumud tanpa menterjemahkannya secara ijtihad melalui ilmu Siyasah
Syariyyah, Usul dan Maqasid.
2- Kalangan yang menyalahggunakan Siyasah Syariyyah, Usul
dan Maqasid sehingga membelakangi nas yang nyata.
3- Kalangan yang mengambil kira kedua-dua aspek yang penting
dalam ilmu Islam.
Nas yang nyata adalah ilmu Allah yang difirmankan atau
ucapan Rasul S.A.W. yang bersifat ma’sum. Adapun yang lain dari nas yang nyata
adalah keizinan Allah bagi ruang ijtihad di kalangan para ulama bagi
melaksanakan syariat Islam dengan bijak dan adil, bukannya meninggal syariat
Allah dengan alasan sehingga boleh
digantikan dengan undang-undang ciptaan manusia yang dianggap lebih baik.
1- Siyasah Syari’yyah
Perkataan “siyasah”
daripada bahasa Arab yang bermaksud mentadbir, mengurus dan memandu atau
memimpin yang disebut terkini dengan perkataan politik atau pentadbiran atau
panduan. Dicampur dengan perkataan Syara’ dengan maksud kaitannya dengan urusan
pelaksanaan syariat mengikut jadual, pelaksanaan, dan pengurusan melaksanakan
hukum Islam, bukannya meninggalkan hukum Islam untuk diganti dengan yang lain.
(Sila lihat huraian secara khusus dalam kitab-kitab Ahkam Sultaniyyah Karangan al-Mawardi dan Ghiath karangan Imam Haramain daripada Mazhab Syafei; al-Sair
al-Kabir daripada mazhab Hanafi; Siyasah Syariyyah Ibnu Taimiyyah dan Turuq
Hukmiyyah Ibnu Qayyim daripada mazhab
Hambali dan Muqaddimah Ibnu Khaldun daripada mazahab Maliki).
Tegasnya ialah melaksanakan Syariat dengan betul, bukannya
meninggalkan Syariat Allah dengan gantian hukum yang lain.
2- Maqasid Syari’ah
“Maqasid” bermakna tujuan-tujuan, maksudnya ialah tujuan
pelaksanaan syariat. Objektifnya ialah cara mencapai matlamat membawa maslahat
kebaikan kepada manusia secara umum dan khusus secara adil dan istiqamah dan
menolak kemudaratan. Di sini pula ada tujuan yang telah ditetapkan oleh
syara’ dan ada juga yang tidak disebut
di mana Allah memberi keizinan mengikut kemampuan akal dan ilmu manusia.
(Kepada yang mampu berbahasa Arab sila rujuk kepada dua
tokoh ilmu Maqasi: Al Syatibi: Al Muwafaqat: J:2, muka surat 391. Ibnu ‘Asyur: muka surat 19)
Contohnya, apabila khalifah Umar R.A. tidak memotong tangan
pencuri di tahun melesetnya ekonomi kerana berlakunya kemarau panjang, dan
bukannya kerana meninggalkan hudud, tetapi disebabkan melihat keadaan desakan
hidup apabila dibayar gaji yang tidak mencukupi, menjadikan seseorang itu
melakukan jenayah secara terdesak. Maka kerana itu hukuman potong tangan adalah
haram dilaksanakan, kerana Hadis Rasulullah S.A.W.: “Hukuman Hudud ditolak
(kerana adanya syubuhat”.
Ditolak hukuman hudud ini pula bukan bermakna terlepas
begitu sahaja. Tetapi hendaklah dipindahkan kepada hukuman takzir yang termasuk
dalam ruang Syariat Islam. Hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan kerana tidak
memenuhi syarat yang mencapai adil dan mendidik masyarakat mengikut kemampuan.
Mudarat daripada kemelesetan ekonomi yang menimpa penjenayah adalah lebih
besar. Sebaliknya kalau pencuri itu seorang berpendapatan tinggi sudah tentu
dihukumkan.
Maqasid Syari’ah tidak bermakna membatalkan penguatkusaan
undang-undang Hudud. Maqasid Syari’ah dalam hal ini bermakna hukuman tidak
boleh dijatuhkan kerana menafikan tindakan secara adil yang menjadi matlamat
syariat. Kalau dijatuhkan hukuman juga, bermakna kita tidak melaksanakan
syariat kerana tidak mencapai matlamatnya. Meninggalkan syariat secara total
menghilangkan segala maqasidnya.
Contohnya juga ialah mengenai kalimah Allah dibenarkan
penggunaannya pada asalnya oleh penganut bukan Islam walau pun salah mengikut
penafsiran kita, tetapi apabila tujuan penggunaannya bagi mengelirukan penganut
Islam yang jahil, maka pihak berkuasa berkenaan agama Islam berhak
menghalangnya. Mengikut Qaedah الأمور بمقاصدها (Semua
perkara dilihat juga kepada tujuannya).
3- Fiqh Aulawiyyat
Bermaksud melihat keutamaan secara fiqh (faham mengikut
panduan Syariat).
Contohnya Islam meletakkan perkara keperluan rukun hidup
bagi manusia ialah memelihara (1) Aqidah agama, (2) Nyawa, (3) Akal, (4)
Keturunan dan (5) Harta.
Contohnya tidak dijatuhkan hukuman hudud terhadap pencuri
kerana lapar adalah kerana keutamaan memelihara nyawa hendaklah didahulukan
daripada memelihara harta. Hukuman hudud ditangguh dalam keadaan perang kerana
menghalang penjenayah melarikan diri kepada musuh, kerana keselamatan negara
diutamakan. Bukan bermakna penjenayah dibebaskan, tetapi diturunkan kepada
hukuman takzir.
Orang bukan Islam dikecualikan dahulu kerana berdakwah dalam
konsep tiada paksaan dalam agama adalah lebih aulawiyyat.
Contohnya juga seperti pengambilan tanah untuk mendirikan
hospital atau jalan raya adalah diizinkan kerana kepentingan umum hendaklah
didahulukan daripada kepentingan individu atau segelintir, dan hendaklah
diganti tanah itu secara yang adil pula.
“Aulawiyyat” itu pula hendaklah dalam ruang lingkup hukum
syariat terlebih dahulu, bukannya bermakna meninggalkan hukum syariat.
Apabila segala syarat tidak ada bagi hukum Hudud dan Qisas
maka hendaklah dipilih dalam ruang hukum takzir yang sangat luas.
Bukannya melarikan diri kepada hukum ciptaan Barat yang
banyak kelemahannya. Perlu disedari bahawa di sana ada juga tidak yang sama dengan undang-undang yang sedia ada, perbezaannya tidak ada roh seperti syariat Islam.
(Sila lihat Dr Yusuf Al Qardhawi dalam Siyasah Syariayyah
halaman 284-297)
4- Maslahah
“Maslahah” dengan maksud tujuan membawa kebaikan. Sama ada
mendapat faedah atau menolak kemudaratan.
1- Maslahah Mu’atabarah
Ialah dalam perkara yang telah ditetap oleh Allah Yang Maha
Mengetahui dan Rahmat terhadap makhluknya. Maka ada yang diwajibkan dan ada
pula yang diharamkan. Maka percayalah bahawa semua yang diwajibkan tetap
membawa kebaikan dunia dan akhirat. Perkara yang diharamkan tetap mendatang
mudarat kepada diri atau masyarakat. Contohnya ialah seperti wajibnya berpuasa
kepada yang mampu dan haramnya arak dan judi. Ianya adalah ketetapan Allah SWT.
2- Maslahah Mulghah
Dalam perkara yang diharamkan kerana mudaratnya lebih besar
atau manfaatnya tidak ada .Contohnya seorang yang mencuri atau merompak atau
mengedar dadah dengan maslahat mengumpul duit untuk kebajikan atau nafkah
keluarga. Maslahat ini dibatalkan kerana mudaratnya sangat besar sehingga
menimbus segala kebaikannya.
3- Maslahah mursalah atau Masoleh mursalah
Dalam perkara yang didiamkan oleh al-Quran dan Hadis maka
ruangnya adalah terlalu luas kepada manusia di sepanjang zaman.
Melaksanakan Syariat adalah maslahah yang telah ditetapkan
oleh Allah Yang Maha Mengetahui dan Penyayang kepada makhluknya.
Isu undang-undang
jenayah Syariat menjadi hangat sejak kedatangan penjajah apabila mereka
menghapuskannya. Seterusnya menjadi hangat di kalangan umat Islam sendiri
kerana kejahilan agama dan pendekatan, sehingga berlakunya isu kafir mengafir
dalam masyarakat sendiri kerana kejahilan hukum dan kejahilan cara pendekatan berdakwah.
Apabila keadaan dapat diredakan, maka PAS mengambil langkah
ke depan melalui kemenangannya di Kelantan, kemudiannya di Terengganu secara ilmu
dan demokratik.
Langkah pertama ialah menubuhkan pasukan daripada Parti dan
kerajaan. Pasukan ini melibatkan Ketua Dewan Ulama dan kalangan ahli majlis
Syura Ulama, Tun Saleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara), al-Marhum Prof Ahmad
Ibrahim salah seorang pengasas UIA (mantan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tahun
lima puluhan daripada Singapura dan mantan Peguam Negara Singapura yang
pertama), al-Marhum Dr Mahmud Saedon Awang Osman dari UIA dan Pakar Syariah
Negara Brunei Darussalam, al-marhum
Datuk Abdul Halim Muhammad mantan Penasihat undang-undang negeri Kelantan dan
Exco kerajaan negeri, dan Datuk Daud Mohamad Kadi Besar negeri Kelantan.
Sebelum enakmen ini dibawa kepada DUN Negeri Kelantan, ianya
terlebih dahulu dibentangkan kepada umum di berbagai forum-seminar dan
dialog. Akhirnya enakmen berkenaan dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan
pada tahun 1993 dan DUN Terengganu pada tahun 2000. Manakala Kelantan pula
memperkukuhkannya secara mengadakan seminar dan sambutan mengenainya secara
tahunan.
Kini setelah lebih dari 20 tahun (dua puluh tahun) PAS
memperkenalkan enakmen ini, disamping melaksanakan proses pendidikan mengenai
KJS dalam masyarakat, dialog dan sebagainya, maka PAS ingin bergerak setapak
lagi dalam proses mendidik masyarakat untuk mengenali hukum-hakam syariat Islam
yang menyeluruh. Hasilnya kini suara yang mengeji hukum Islam ini semakin hari
menjadi terpencil.
Maka dengan sedikit ruang yang ada ini, Enakmen KJS ini
mengalami beberapa pindaan- pindaan memperkemaskannya dengan mengambil kira
cabaran dalam perlembagaan dan masyarakat majmuk, tanpa paksaan, dan bagi orang
Islam sahaja setelah mengambil kira pandangan para ulama daripada semua mazhab
dan sejarah pelaksanaan yang berjaya di sepanjang zaman.
Dalam masa yang sama, apa yang ingin dicadang dan akan
dibawa oleh PAS menerusi Private Members Bill nanti pula bukanlah rang
undang-undang hudud, tetapi pindaan dalam akta Mahkamah Syariah untuk membuka
sedikit ruang bagi membolehkan satu-dua aspek syariah itu dilaksanakan terhadap
penganut Islam sahaja.
Kita adalah makhluk yang berilmu, bertamadun dan matang.
Maka dengarlah dahulu apa yang ingin dikemukakan. Jangan terus melompat dan
bertempik gegak gempita memberikan kritikan tanpa mengetahui hujung pangkalnya.
Firman Allah:
"(Dan hendaklah kamu melaksanakan kalangan mereka hukum yang
telah diturunkan oleh Allah,dan jangan sekali-kali engkau mengikut hawa nafasu
mereka (meninggalkan hukum Allah) sehingga engkau meninggalkan sebahagian
daripada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Maka jika sekiranya
mereka berpaling (enggan) maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak
mengenakan mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka. Dan
sesungguhnya sebahagian daripada maknusia itu adalah orang-orang yang jahat).
Adakah mereka mahukan hukum jahiliyyah, padahal siapakan lagi yang paling baik
hukumnya daripada Allah kepada
orang-orang yang percaya dengan yakin)." ( Al-Quran, surah al-Maaidah ayat 49-50 )
Semoga semua kita mendapat manafaatnya dan mencapai
keredhaan Allah SWT.
Saudaramu dalam Islam,
ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS
No comments:
Post a Comment