NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Sunday, 29 March 2015

CONCERNED LAWYERS FOR JUSTICE JAWAB WAN FAYHSAL PASAL PERLEMBANGAAN



Concerned Lawyers for Justice jawab Wan Fayhsal Pasal Perlembangaan

Posted on Friday, March 27 @ 22:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenorehGetah

Respon: Rujuk tulisan Wan Fayhsa ( di sini )

Concerned Lawyers for Justice (CLJ) merujuk kepada kenyataan saudara Wan Ahmad Fayhsal yang dibuat di laman Facebooknya, yang dikongsikan bersama-sama di sini. CLJ memahami bahawa Wan Ahmad Fayhsal membuat kenyataan ini berikutan debat kebangsaan yang sedang berlangsung berikutan tindak-tanduk Kerajaan Negeri Kelantan dalam percubaan mengenalkan hukum Hudud di negeri berkenaan baru-baru ini.

CLJ mengesali dan membantah keras kenyataan tersebut, yang jelas melanggar Prinsip Rukunegara yang diamalkan rakyat Malaysia sekian lama, yang mana prinsip ketiganya adalah keluhuran Perlembagaan manakala prinsip keempatnya pula adalah kedaulatan undang-undang.

CLJ mengingatkan saudara Wan Ahmad Fayhsal serta yang sehaluan dengannya bahawa menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan ini adalah undang-undang tertinggi dan mana-mana undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka adalah tidak sah sekiranya bercanggah dengannya.

Antara kandungan Perlembagaan ini adalah kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia (Perkara 3(1)), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara (Perkara 152), hak bangsa Melayu dan Pribumi lain serta kepentingan sah bangsa lain (Perkara 153) serta kedudukan raja-raja Melayu (Perkara 181). Keempat-empat perkara ini merupakan asas struktur (basic structure) Perlembagaan, dan juga dilindungi Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948.

Justeru itu, dan memandangkan peruntukan Perlembagaan menjamin kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam dengan begitu baik sekali, adalah tidak benar dan tidak berasas untuk melabelkan Perlembagaan Persekutuan sebagai "perlembagaan penjajah (occupation constitution)" yang gagal membela hak, kepentingan dan agama serta amalan orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu. Dakwaan ini bukan sahaja salah, malah mampu mengelirukan rakyat jelata. CLJ menyeru agar Wan Ahmad Fayhsal menarik balik kenyataan ini sesegera mungkin.

Berikutan perkara ini juga, CLJ ingin meletakkan di sini sangkalan-sangkalan bagi membalas serta mematahkan argumentasi-argumentasi yang dikemukakan Wan Ahmal Fayhsal seperti berikut:-

1. Hukuman Hudud tidak dihalang pelaksanaannya oleh Perlembagaan Persekutuan. Sepertimana yang dinyatakan oleh CLJ dalam kenyataan rasminya membidas Majlis Peguam baru-baru ini, hukuman Hudud mampu dilaksanakan dalam bentuk Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Apa yang perlu dilakukan hanyalah meminda beberapa undang-undang persekutuan tertentu, antaranya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang membataskan keupayaan Mahkamah-Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman Hudud. Halangan ini bukanlah berpunca dari Perlembagaan tetapi Akta Parlimen yang biasa. Sekiranya ia dan undang-undang berkaitan lain dipinda kelak, maka tentunya tidak ada apa jua halangan bagi negeri Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut.

2. Perlembagaan Malaysia bukanlah sekular seperti yang didakwa sesetengah pihak. Keputusan Mahkamah Agung dalam kes Che Omar Bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55 yang kononnya memutuskan kedudukan sekular Perlembagaan telahpun dijelaskan dalam kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors [2007] 4 MLJ 585 dan Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur [2013] 6 MLJ 468 yang mana telah diputuskan mahkamah bahawa kedudukan Islam dalam persekutuan meletakkan obligasi pada pihak kerajaan untuk memberikan kesan (give effect) terhadap seruan-seruannya dan memungkinkan rakyat Muslim hidup di Malaysia berdasarkan kehendak Islam. Berikutan ini, perbankan Islam telah dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia serta terdapat begitu banyak agensi kerajaan seperti JAKIM yang menjaga kebajikan umat Islam. Ini tidak mungkin berlaku sekiranya negara dan Perlembagaan adalah sekular.

3. Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan input yang diberikan Majlis Raja-Raja Melayu dan juga Perikatan yang diketuai parti Melayu iaitu UMNO dan cadangan kedua-dua ini telahpun diberikan pertimbangan oleh Suruhanjaya Reid yang ditugaskan dengan penggubalan Perlembagaan. Oleh itu dakwaan bahawa Perlembagaan disediakan orang asing yang mana wakilnya "tiada satu pun Melayu" adalah salah. Orang Melayu telah diwakili oleh Majlis Raja-Raja serta Perikatan.

4. Orang Melayu tidak dirugikan dengan takrifan di bawah Perkara 160 dan hak mereka dijamin di bawah Perkara 153 Perlembagaan yang memungkinkan kerajaan memperkenalkan polisi yang membantu orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan undang-undang seperti Akta Universiti Teknologi MARA 1976 yang menubuhkan Universti Teknologi MARA untuk orang Melayu serta peribumi lain melanjutkan pelajaran dan memperoleh ilmu bagi memajukan bukan sahaja taraf hidup mereka sebagai bangsa malah juga peradaban mereka.

5. Kedudukan Islam (Perkara 3(1)), Bahasa Melayu (Perkara 152), Hak Melayu (Perkra 153) dan Raja-Raja Melayu (Perkara 181) di bawah Perlembagaan dilindungi Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 yang mana sesiapa pun yang mempersoalkan peruntukan-peruntukan ini melakukan jenayah hasut dan ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa Perlembagaan adalah "dokumen kompromi" yang mana kebanyakkan kerugian adalah orang Melayu. Perlembagaan sebaliknya meletakkan kedudukan Islam dan Melayu sebagai terjamin buat selama-lamanya di Tanah Melayu.

6. Sistem demokrasi berparlimen yang diperuntukkan Perlembagaan tidak bercanggah dengan cara hidup orang Melayu malah bertepatan dengan konsep syura yang ditekankan agama Islam yang dianuti masyarakat Melayu.

Berdasarkan sangkalan-sangkalan yang dikemukakan di atas, CLJ menolak sepenuhnya kenyataan Wan Ahmad Fayhsal serta mengajak beliau serta yang sehaluan berhenti dan mencegah dari melakukan apa-apa lagi percubaan untuk menyahhulurkan Perlembagaan Persekutuan dan bersama mendokong dokumen asas negara Malaysia ini bagi menjamin kedudukan Melayu serta Islam di tanah ini.

- Concerned Lawyers for Justice


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”