Abdul Hadi Awang |
DAP keterlaluan gelar
Pas pengkhianat – Hadi
WAN ZULKIFLI WAN YAACOB DAN ISWAN SHAFIQ MAT ISA | 23
Mac 2015 1:04 AM
MARANG 22 Mac – DAP bersikap keterlaluan apabila menggelar Pas sebagai pengkhianat dalam pakatan pembangkang kerana berkeras untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, soal
khianat tidak berbangkit kerana DAP menerusi Penasihatnya, Lim Kit Siang
menandatangani kenyataan bersama Penasihat Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri
Anwar Ibrahim pada 2011 yang ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam
pelaksanaan hudud.
“Kami buat kenyataan bersama bahawa kami (pakatan
pembangkang) menerima hakikat itu adalah hak kerajaan Kelantan (untuk
melaksanakan hudud) dan kami memberi ruang kepada DAP untuk tidak bersetuju.
“Kami tidak halang mereka untuk tidak setuju. Kami bukan
orang Melayu yang mudah lupa. Kami orang Islam yang tidak lupa.
“Macam dalam isu pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan),
kami (Pas) tidak setuju, tapi DAP tetap kemukakan dalam sidang Dewan Undangan
Negeri (DUN). Kami diam, tapi mereka tidak diam (dalam isu hudud). Itu
bezanya,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang akhbar selepas
program Pidato Kemuncak sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-3,
di sini malam tadi.
Beliau diminta mengulas tuduhan DAP bahawa Pas khianat dan
sengaja melakukan provokasi untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang kerana
terus berkeras melaksanakan hudud di sebalik bantahan parti-parti sekutu.
Menyentuh mengenai pendirian rasmi PKR yang diterajui oleh
kalangan pemimpin Islam yang turut memutuskan tidak menyokong pembentangan rang
undang-undang persendirian mengenai hudud di Dewan Rakyat, Abdul Hadi
membayangkan itu juga tidak akan menghalang langkah Pas.
Abdul Hadi berkata, kewajipan Pas setakat ini adalah untuk
membentangkan apa yang dipersetujui sebulat suara oleh pucuk pimpinan parti
khususnya di Kelantan dan pihaknya tidak boleh memaksa PKR memberi sokongan.
Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy
Shukri bahawa rang undang-undang persendirian itu mungkin tidak dapat
dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang, beliau
berkata, itu boleh diputuskan mengikut budi bicara Speaker (Tan Sri Pandikar
Amin Mulia).
Katanya, mengikut peraturan, rang undang-undang persendirian
hendaklah diusulkan dan perlu mendapat keizinan daripada seorang menteri
terlebih dahulu sebelum boleh dibentangkan.
Pas hanya perlukan majoriti mudah melalui 21 ahli
Parlimennya dengan sokongan penuh 88 Ahli Parlimen UMNO untuk membolehkan
pelaksanaan hudud di Kelantan.
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/politik/dap-keterlaluan-gelar-pas-pengkhianat-8211-hadi-1.72580
No comments:
Post a Comment