Tuesday, March 03, 2015
Oleh: Roslan
SMS Corner
Benarkah Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang mahu
mengkhianati perjuangan Pakatan Rakyat? Benarkah Tuan Guru mahu berkerat rotan
berpatah arang dengan DAP dan PKR? Benarkah Tuan Guru kini mahu bercumbuan
dengan Umno dan BN?
Sekurang-kurangnya itulah yang cuba digambarkan oleh
pihak-pihak tertentu sehingga PAS dan Presidennya dilihat bagaikan “budak
nakal” atau “budak jahat” dalam PR.
Sesungguhnya Tuan Guru bukanlah seorang yang amatur dalam
berpolitik, bukan baru kenal politik sehari dua. Beliau seorang yang diiktiraf
ilmu Islamnya, seorang intelek yang punya banyak pengalaman dalam perjuangan
khasnya dalam lingkaran gerakan Islam, bukan sekadar peringkat nasional malah
sudah tahap internasional.
Beliau telah melalui dan mengharungi susah payah dan pahit
getir dalam perjuangan politik tanahair, khasnya melalui wadah PAS, jatuh dan
bangun bersama, dan kini berada diteraju kepimpimnan perjuangan yang beliau anggotai
sejak zaman muda.
Anehnya ramai yang melemparkan tuduhan-tuduhan terhadap
beliau sebagaimana di atas kalau nak disenaraikan seorang demi seorang, ramai
mereka yang belum pun panas duduk atas kerusi PAS. Kebetulan Allah swt
takdirkan dizaman mereka, kebetulan jadi calon terus menang dan menjadi ahli
yang berhormat. Tidak melalui dan merempuh jalan susah sebagaimana Tuan Guru
dan ramai yang lain.
Kalau PAS padam di bumi Terengganu sekitar tahun 1961,
beliaulah yang menebus maruahnya kembali apabila mengetuai kemenangan PAS
dengan 5 kerusi di DUN Terengganu bermula PRU 1982 (bersama Almarhum Ustaz
Harun Taib, Ustaz Bakar Chik, Mustaffa Ali dan Wan Mutalib) setelah 21 tahun
tiada wakil di dewan (tak termasuk zaman PAS dalam BN). Tuan Guru kekal di
kerusi DUN nya itu sehingga hari ini.
Dari Terengganu PAS merayap meneguhkan kedudukan di Kedah
dan kembali menang di Perlis, Pulau Pinang
dan Perak, melebarkan sayap di Pahang dan Selangor seterusnya Johor,
Melaka dan Negeri Sembilan. Mereka tidak sedar pencapaian ini semua ketika Tuan
Guru samada sebagai Timbalan Presiden mahupun sebagai Presiden hari ini.
Hari ini sebahagian besar mereka ini yang usia keahlian PAS
mereka masih terlalu muda, atau menumpang tuah beroleh kedudukan hasil dari
titik peluh perjuangan Tuan Guru dan sahabat-sahabat terdahulu, mereka ini yang
“meliar” bangkit mencetuskan pelbagai onar, termasuklah dakwaan-dakwaan
berangkai di atas tadi.
Dimana mereka semasa Allahyarham Othman Talib mati “syahid”
dipukul oleh orang-orang Umno di FELDA Lubuk Merbau, dalam Pilihanraya Kecil
Padang Terap 18 Januari, 1985. Dimana mereka ketika para syuhada bergelimpangan
di Memali, Baling 19 November 1985.
Tuan Guru Presiden PAS sudah berada dalam saf kepimpinan PAS
ketika itu. Tekanan dan kezaliman tahap maksima tidak menggugat komitmen
seluruh pimpinan dan ahli PAS ketika itu.
Pada 14 April 1986, jalan-jalan Kuala Lumpur dipenuhi dengan kenderaan yang
tidak bergerak –sesak. Ketika itu Allahyarham Sudirman mengadakan konsert
terbuka di Jalan Chow Kit. Orang mengaitkan “jam” di KL itu dengan konsert
berkenaan semata-mata. Sebenarnya separuh warga KL tertumpu di Chow Kit sedang
separuh membanjiri Taman Melewar ketika Tuan Guru berceramah bersama mangsa
Memali termasuklah adik kepada Assyahid Ibrahim Libya ketika itu.
Di mana mereka ini?
Sesungguhnya:
Tuan Guru tidak khianati pun perjuangan PR malah sentiasa
meniti di bibirnya untuk mengukuhkan PR, namun PAS punya hak bersuara sebagai
parti komponan, dasar dan matlamat perjuangan PAS perlu dihormati rakan-rakan.
Tuan Guru tidak pernah menyerang pimpinan DAP dan PKR secara
terbuka, menghormati mereka, tetapi Tuan Gurulah yang diserang secara terbuka
sehingga ada yang menyuruh beliau meletak jawatan dan membantu pula
anasir-anasir subversif dalam PAS.
Terakhir Tuan Guru tidak pernah pun duduk berunding dengan
Umno, apalagi mahu berbaik dengan mereka sebagaimana ditohmah. Terakhir yang
duduk berunding dengan Umno adalah kawan-kawan dari PKR sehingga ditawar
jawatan TPM dan Menteri kabinet.
Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini sering menjaja
kononnya keputusan Muktamar PAS adalah bahawa hubungan Pakatan Rakyat perlu
dikukuhkan. Itu tidak dinafi, malah hakikat sebenarnya keputusan Muktamara PAS
adalah memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan memperkukuhkan PAS sendiri dari sudut
dalaman.
Memperkukuhkan hubungan dalam PAS adalah mutlak tanpa
syarat. Setiap ahli PAS bertanggungjawab memperkukuhkan hubungannya dalam PAS
dengan taat dan patuh pada segala adab dan peraturan berjemaah. Keputusan
mesyuarat mesti dipatuhi, panduan dan pengarahan Majlis Sura mesti diterima dan
akur padanya.
Memperkukuhkan hubungan antara PAS dan Pakatan pula adalah
bersyarat iaitu sebagaimana dijelaskan dalam kaedah tahaluf siyasi yang kita
pegang yang diperjelaskan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS, Ustaz Dato Ahmad Yakob
baru-baru ini:
“Perlu diingatkan kepada seluruh ahli PAS, di kala kita
bertahaluf jangan sampai ada berlaku wala’ (ketaatan) kepada rakan tahaluf
(bermakna wala’ hanya pada pimpinan PAS dan PAS). Kita bekerjasama untuk
mencapai tujuan yang disepakati tanpa mengetepikan dasar PAS,”
Hubungan PAS dan Pakatan tidak terjejas, akan diteruskan,
tiada bermasalah selagi mana dasar dan prinsip perjuangan PAS tidak disentuh
atau diubah dan pinda, jika tidak, tidak ada sebaba Tuan Guru Presiden dan
ahli-ahli PAS mahu memutuskan hubungan mereka dengan Pakatan.
No comments:
Post a Comment