NASIHAT LUKMAN HAKIM: "WAHAI ANAKKU, TIADA AMALAN SOLEH TANPA KEYAKINAN DENGAN ALLAH TAALA. SESIAPA YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN YANG LEMAH MAKA AMALANNYA JUGA MENJADI CACAT."

Blogger Widgets Blogspot Tutorial

Saturday, 21 March 2015

DALIH SAJA BAHASA MELAYU TAK DIDAULAT DI MAHKAMAH




Posted on Saturday, March 21 @ 17:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol


MAHKAMAH memang telah mengambil langkah bagi mendaulatkan Bahasa Melayu di mahkamah sekalipun ia tidak begitu progresif.
     
Dalam keadaan  mengesot dan merangkak, sehingga ke pentadbiran Tun Hussein Onn, ia hampir terpakai sepenuhnya, hinggalah tiba ke pertengahan pentadbiran Dr. Mahathir, timbul isu generasi selepas merdeka sudah tidak menguasai bahasa Inggeris.

Maka macam-macam langkah diambil bagi memertabatkan semula penggunaan bahasa Inggeris, antaranya ialah melupakan tumpuan menggunakan bahasa Melayu dalam banyak tempat, tinggallah ia  sebagai bahasa sidang Parlimen dan Dun.
      
Jadilah ia bahasa yang dilupakan. Bila ia akan dimartabatkan sebagai kehendak perlembagaan, mungkin tunggu kucing bertanduk.
     
Pentadbiran Dr. Mahathir hampir menginggeriskan semula semua mata pelajaran di sekolah. Apabila ia ditentang, maka dia mahu juga pengajaran matematik dan sains diInggeriskan. Bermulalah hanyut dasar bahasa Melayu.
    
Dalih masa itu justeru mutu pengunaan Inggeris merosot. Dalih lama buku dan persuratan amat kurang dalam pasaran. Tetapi tidak mustahil pelobi bukan Melayu meyakinkan kerajaan bahawa orang bukan Melayu yang anak-anak mereka tidak lagi mampu menguasai Inggeris akan tidak lagi memberi undi kepada Umno/BN. Mereka akan mengundi parti yang boleh mengembalikan penguasaan bahasa Inggeris.
     
Peratus bukan Melayu yang suka bahasa Melayu didaulatkan adalah minoriti. Mereka terima dasar bahasa itu kerana tidak ada parti politik yang berpotensi memperjuangkan kedaulatan semula Inggeris dan isu kelemahan penggunaan Inggeris tidak timbul lagi.
     
Apabila potensi pengundi lari dari BN bertambah, maka ia mendorong BN melunakkan dasar bahasanya supaya mengekalkan sokongan mereka kepada BN. Akhirnya cincailah usaha mendaulatkan bahasa nasional.
    
Maka mahkamah pun lupa hendak mengutamakan pengunaan bahasa Melayu dan alasan sekarang ialah lulusan undang-undang dari England tidak menguasai bahasa Melayu dan istilah undang-undang yang diterjemahkan ke bahasa Melayu tidak sempurna dan lain-lain masalah lagi.
    
Semuanya itu adalah dalih dari dasar pemimpin Umno yang tidak tegas soal bahasa kebangsaan, dan ia tidak mengambil langkah secukupnya bagi menyediakan bahasa Melayu boleh menggantikan Ingggeris.
     
Perlembagaan memberi tempoh sepuluh tahun selepas merdeka untuk persiapan memartabatkan bahasa itu. Justeru Malaysia dibentuk tahun 1963, maka tarikh penggunakan bahasa Melayu sepenuh dilanjutkan hingga tahun 1973. Bagi Sabah dan Sarawak peluang sepuluh tahun juga membuat persiapan. Tidak lagi tarikh bermula kedaulatan itu tahun 1967.
     
Bagi pelajar undang-undang di England atau mana-mana negara barat, maka tanggungjawab masing-masinglah berusaha menguasai bahasa itu. Mereka boleh menguasainya semasa belajar dan menjalani kursus intensif setelah pulang.
     
Dawan Bahasa dan Pustaka sejak ditubuhkan telah mengadakan kerjasama dengan Indonesia bagi menyelaraskan semua istilah dalam apa bidang jua. Mungkin sandaran undang-undang di Malaysia dan Indonesia tidak sama kerana kita banyak ke England, tetapi tidak tidak boleh langsung apa yang terpakai di Indonesia itu diselaraskan oleh mahkamah kita.
    
Masalah yang timbul mengapa mahkamah tidak dapat bersidang sepenuhnya dalam bahasa  kebangsaan bukan disebabkan oleh halangan yang tidak boleh diatasi, tetapi dalihnya banyak.
     
Sekali pun bahasa Melayu tidak diutamakan, BN tidak juga dapat meraih undi bukan Melayu. Itulah namanya politik buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Nasihat Lukman Al-Hakim: “Anakku, apabila sesiapa datang kepada kamu dengan aduan bahawa si anu telah mencabut kedua-dua biji matanya dan kamu lihat dengan mata kepala sendiri bahawa kedua-dua biji matanya tercabut, namun janganlah kamu sampai kepada sesuatu kesimpulan sebelum kamu mendengar pihak yang lain. Tidak mustahil orang membuat aduan itulah yang mula-mula mencabut mata orang lain, boleh jadi sebelum kehilangan kedua-dua biji matanya dia telah mencabutkan empat biji mata orang lain.”